Thursday 16 April 2015

Kanak-kanak asuhan TASKA mengalami penderaaan emosi?

Nama : Nor Azura Ismail
Teks : Nor Azura Ismail
Foto : Carian Google

Entri 17


Kanak-kanak asuhan TASKA  mengalami penderaaan emosi? Betulkah kenyataan ini?

Bagi saya, kurang  bersetuju dengan kenyataan di atas  kerana sebagai salah seorang yang pernah berpengalaman  menggendalikan TASKA , saya rasa  di TASKAlah kanak-kanak melahirkan keseronokan melalui pelbagai aktiviti yang ada kalanya tidak diperolehi di rumah. Bermain bersama, bercerita , meneroka,  mencuba sesuatu, bergembira, mendapat pengalaman dan segala-galanya boleh diperolehi di TASKA  yang berdaftar dan tentunya para pengasuhnya memahami perkembangan kanak-kanak. Cuba lihat kanak-kanak di TASKA, biasanya mempunyai sifat yang berani, yakin diri, pandai berkawan dan pandai pula berbual serta bercerita. Jadi, mana betulnya kenyataan tadi?

Pihak TASKA  yang mengikuti peraturan dan memahami setiap perkembangan kanak-kanak menyediakan persekitaran serta kemudahan khas untuk  untuk anak-anak bagi merangsang perkembangannya. Tapi yang sedihnya apabila ada  ibubapa sendiri terlepas pandang dengan menyerahkan segala urusan anak kepada pihak Taska. Maksudnya ada ibubapa  yang bersikap lepas tangan dan mahu pihak Taska sendiri yang memastikan asuhan, kebajikan dan perkembangan anak mereka.

Jom ikuti rentetan situasi anak-anak setiap hari di Taska.
Awal pagi (adakalnya sebelum pukul 7 pagi) ibubapa telah bergegas, ada kalanya kelihatan kelam kabut menghantar anak ke TASKA  dek kerana mengejar masa untuk punch card awal ke  tempat kerja. Anak-anak yang di hantar dalam keadaan belum dimandikan ini, menjadi kebiasaan pihak TASKA menerima dengan hati yang terbuka dan bertanggungjawab. Akan tetapi ada masanya anak itu dihantar dalam keaadaan lampin pakai buangnya telah penuh atau penuh najis. Dengan selamba, alasan ibubapa tak sempat nak tukar dari rumah. Kesian anak, manakala tanggungjawab menukarkan kain lampin buang yang penuh sejak dari rumah itu beralih tangan kepada para pengasuh di TASKA.

Siap anak dimandikan, maka bermulalah rutin harian kanak-kanak di TASKA. Semua anak di TASKA dalam situasi yang sama iaitu masing-masing ditinggalkan sementara  oleh ayah dan ibu yang sibuk keluar bekerja mencari nafkah untuk keluarga. Pada siapa tempat mereka mengadu dan berkasih sayang? Jawapannya tentulah para pengasuh menjadi pengganti sementara  ibubapa mereka. Kawan-kawan pula menjadi tempat untuk mereka merasa seronok bermain hingga tidak disedari lamanya mereka ditinggalkan oleh ibubapa di TASKA. Dengan penuh rasa tanggungjawab pula, para pengasuh ini mengasuh anak, menjaga kebajikan anak. melayani setiap kerenah anak,bermain bersama dan menjalankan pelbagai aktiviti sehinggalah tiba waktu kanak-kanak balik.

 Saya akui, para pengasuh sememangnya seorang yang tabah  kerana jika dilihat nisbah pengasuh dengan anak-anak, saya memang cukup tabik dengan pengasuh-pengasuh yang telah menjalankan amanah yang baik di TASKA.

Nisbah pengasuh dengan kanak-kanak

1 pengasuh : 3 bayi
1 pengasuh : 5 kanak-kanak  berumur  1- 2 tahun
1 pengasuh : 10 kanak-kanak berumur 3-4 tahun
1 pengasuh : 10 kanak-kanak transit ( 5/6 tahun)

Kebiasaanya kanak-kanak  akan berada di TASKA  sehingga pukul 6 petang,  barulah mula dijemput oleh ibubapanya. Hah, itu belum termasuk lagi anak-anak yang diambil lewat, pukul 7 dan kekadang ada yang sampai malam berada di TASKA. Kesimpulannya, sebahagian waktu siang anak-anak ialah di TASKA.

Aduh, memang pening  kepala nak jaga anak-anak ini. Tak sama sekali dengan bekerja di pejabat . Yelah, berhadapan  dengan anak-anak yang sedang aktif membesar ini.  Cukuplah kita menghadapi kerenah anak-anak kita sendiri di rumah, itu pun sudah cukup menguji kesabaran dan memenatkan. Bagaimana pula jika terpaksa menjadi ramai anak? Sekali lagi, para pengasuh telah memikul peranan yang besar dan sungguh murni. Tidaklah benar sama sekali jika kanak-kanak asuhan TASKA  mengalami penderaaan emosi ketika di asuh di TASKA.

Pernah saya bertanya pada anak-anak yang di Taska yang pernah saya kendalikan,
“ Suka tak datang Taska’  ada anak akan menjawab,

 “ Suka dan seronok sebab dapat main dan jumpa kawan, kat  rumah tak  dapat main sesuka hati, nanti mama marah”.

Begitulah  lebih kurang apa yang ingin diluahkan oleh kanak-kanak dengan ayat kanak-kanaknya. Jadi, sekali lagi saya tak bersetujulah dengan kenyataan bahawa kanak-kanak asuhan TASKA  mengalami penderaan emosi.


Bagaimana  sebenarnya anak-anak asuhan Taska  boleh mengalami penderaan emosi? Ini akan berlaku  sekiranya pihak TASKA  mengambil alih peranan hakiki bubapa. Mengapa terjadi demikian? Ini pula boleh berlaku bila ibubapa tidak melaksanakan peranan mereka yang sebenarnya sebagai ibubapa. Mungkin cuma segelintir sahaja yang bersikap sedemikian tetapi  tetap memberi impak dan kesan yang besar dalam pembentukan generasi akan datang.

Nak tahu apa kesannya kepada anak-anak jika pihak ibubapa menyerahkan tanggungwab mereka kepada pihak TASKA serta  mengendahkan pula peranan hakiki mereka sebagai ibubapa? Bagaimana pula dikatakan anak-anak ini mengalami penderaan emosi kerana sikap ibubapa mereka sendiri?
Perkara di bawah ini mungkin penyebabnya:

ANAK-ANAK AKAN KURANG MENDAPAT KASIH-SAYANG

Kesibukan seharian ibubapa, hingga tiada masa menzahirkan kasih sayang kepada anak-anak yang memang memerlukan belaian dan sentuhan dari ibubapanya. Bila telah seharian di TASKA, pada waktu malamlah anak-anak rindukan kasih sayang dari ibubapanya. Anak-anak  tidak meminta tetapi mereka tunjukkan mungkin dengan membuat pelbagai kerenah@ragam. Semuanya untuk mendapatkan perhatian dari ibubapa. Sebaliknya anak-anak mungkin dimarahi pula.
 Dikuatiri kelak bila anak-anak ini mula meningkat remaja, mereka akan mencari dan mendapatkan kasih sayang daripada kawan-kawan atau dari mereka yang tidak sepatutnya. Mereka juga mungkin akan menjadi seorang yang pemarah dan suka berdendam.

ANAK-ANAK AKAN MERASAI KURANG DIHARGAI.

Bila waktu malam anak-anak ingin bercerita atau menunjukkan hasil aktiviti mereka ketika di TASKA, ibubapa yang kepenatan tidak dapat memberi ruang yang berkualiti untuk memberi ganjaran atau penghargaan kepada cerita atau hasil aktiviti anak-anak tersebut. Dikuatiri anak-anak akan membesar dengan rasa rendah diri dan tiada keyakinan.

KURANG KEMESRAAN DAN DAN KURANG MELAKUKAN AKTIVITI BERSAMA

Penat dan letih seharian bekerja. Tiada masa untuk bergurau dan bermesra dengan anak-anak yang seharian dijaga di TASKA. Dengan anggapan anak-anak suka menganggu ibubapa yang ingin berehat, anak-anak disuruh pula duduk diam sambil menonton tv sendiri atau lebih teruk lagi ibubapa akan beri anak-anak leka bermain dengan gajet. Kesannya nanti anak-anak akan membesar dalam suasana ikatan kekeluargaan yang longgar dan rapuh.

KURANG MENGAMBIL TAHU PERKEMBANGAN KANAK-KANAK

Alasan tiada masa juga menyebabkan ibubapa menyerahkan segalanya kepada pihak TASKA untuk memantau perkembangan anak-anak mereka. Amat kasihan kerana ibubapa ini tidak langsung mahu ambil peduli apa jua hasil pembelajaran yang  telah diperolehi oleh anak-anak . Bila di rumah mereka tidak peka untuk sama-sama membantu  merangsang serta menggalakkan perkembangan anak-anak mereka.

TIDAK MAHU MEMAHAMI KERENAH KANAK-KANAK

Bila penat, cepat sahaja ingin merasa marah. Kerenah anak-anak yang  tidak tahu duduk diam atau tiba-tiba mengamuk tak tentu pasal menyebabkan anak-anak ini sering dimarahi. Ada juga yang menjadi mangsa penderaan fizikal seperti dipukul atau dicubit.  Padahal semua itu adalah sifat semulajadi kanak-kanak. Ibubapa harus belajar memahami dan menangganinya.

TIADA KESINAMBUNGAN AKTIVITI TASKA DI RUMAH

Saya mengambil contoh kanak-kanak 3-4 tahun dimana  pihak TASKA amat prihatin mengasuh anak-anak ini  tentang kemahiran urus diri. Apabila ibubapa tidak ambil kisah maka mereka tidak akan memastikan apa saja kemahiran yang anak-anak belajar di TASKA  diteruskan dan dipantau  pula oleh ibubapa di rumah. Contohnya latihan ke tandas yang diajar di TASKA  sukar diaplikasikan oleh anak-anak berterusan kerana tiada kerjasama dan  kesinambungan di rumah.

KURANG KEMAHIRAN MENDIDIK ANAK YANG BETUL

Ibubapa yang sibuk, tentu sekali juga tiada masa untuk memahirkan lagi ilmu keibubapaan mereka samada mengikuti seminar atau membaca buku-buku berkaitan. Mungkin merasa tidak begitu penting untuk mengetahui tahap perkembangan anak-anak mereka.Kesannya begitu banyak berlaku kesilapan dalam mendidik anak-anak tanpa disedari.

Semua perkara di atas sangat memberi kesan kepada pembentukan peribadi, sahsiah dan emosi kanak-kanak.Penderaan emosi boleh berlaku bila kanak-kanak mula merasa kurang disayangi, kurang dihiraukan serta tidak dihargai oleh ibubapa mereka sendiri. Ibubapa mungkin tidak menyedari kerana mereka merasakan mereka telah memenuhi keperluan kebajikan anak-anak. Walhal lebih daripada itu yang diperlukan oleh seorang kanak-kanak. Adalah diharapkan perkara sedemikian tidak berlaku kepada kebanyakan daripada ibubapa yang terpaksa menghantar anak-anak ke TASKA dek kerana tuntutan mencari rezeki.

Mencari rezeki adalah penting untuk kewangan dan ekonomi keluarga yang stabil. Tetapi, tidak boleh hingga amanah yang telah dikurniakan Tuhan terabai. Mendidik anak bukan sekadar hanya memberi makan, minum dan pendidikan sahaja bahkan lebih dari itu. Anak adalah amanah untuk dididiik mengikut cara didikan yang betul. 

Andai hari ini kita semua telah  tersilap langkah, jom sama-sama  kita perbaiki lagi kemahiran didikan kita kepada anak-anak yang suci bersih ini. Mudah-mudahan mereka membesar menjadi generasi berkualiti dan membesar menjadi anak penyejuk mata ibubapanya. Sekian.


**Sekadar berkongsi , untuk anda yang tinggal berdekatan kawasan Seremban 2, jika sedang tercari-cari TASKA berkualiti untuk  menghantar anak , apakata singgah sebentar ke Taska Dual Permataku, Garden City Homes.

**Khas untuk anda yang ingin tahu dan belajar  tahap-tahap perkembangan menyeluruh kanak-kanak, tempah dari saya ebook  TAHAP-TAHAP PERKEMBANGAN KANAK-KANAK  DARI BAYI HINGGA 6 TAHUN DAN AKTIVITI YANG SESUAI.  Buat tempahan sekarang.

**Juga untuk anda yang ingin menambahkan lagi  ilmu mendidik anak pula, dapatkan ebook

1 comment:

  1. Dalam permainan poker dan domino 99 online membutuhkan banyak strategi untuk menang,
    memanfaatkan kartu bagus, ronde, waktu, taktik mengertak dan menipu lawan anda.
    seperti dalam semua varian poker, setiap individu bersaing untuk sejumlah uang atau chip yang diberikan oleh para pemain,
    dengan proses pembagian kartu secara acak. (PIN BBM: 7AC8D76B)

    ReplyDelete