Friday 3 April 2015

Kanak-kanak belajar melalui bermain

Teks : Nor Azura Ismail
Foto : Koleksi peribadi
Entri : 7


Salam pertemuan buat semua. anda mempunyai anak di bawah 4 tahun?  Apakah agaknya yang sedang dilakukan oleh anak-anak anda? Kepada surirumah tentu sekali anak-anak sentiasa ada bersama dengan anda di rumah. Bagaimana dengan wanita yang berkerja? Tentu sekali buat masa ini anak anda samada berada di Taska ataupun di rumah pengasuhnya atau mungkin datuk dan nenek yang menjaganya. Dimana pun anak anda berada, agaknya apa yang sedang mereka lakukan selain dari waktu tidur? Ya, jawapannya tentulah mereka sedang bermain. Tak kiralah samada mereka main bersama kawan-kawan di Taska, atau sesama adik beradik di rumah ataupun dengan anak-anak jiran sebelah.

Bermain adalah antara ciri semulajadi tingkahlaku seseorang kanak-kanak sejak dari lahir lagi. Suka bermain dan sukakan sesuatu yang menghiburkan adalah naluri semulajadi seorang kanak-kanak. Apa yang kanak-kanak tahu sedari celik sahaja mata dari tidur ialah bermain. Mereka tidak puas-puas bermain kerana itulah kanak-kanak. Kalau kanak-kanak hanya duduk diam sahaja, tentu ada sesuatu yang peik sedang berlaku, mungkin mereka tidak sihat. Kebiasaannya kanak-kanak yang cerdas ialah kanak-kanak yang  tidak tahu duduk diam dan sangat aktif. Mereka akan sentiasa mencuba, memegang, menyentuh, menghidu,  memulas, menuang, mengasingkana benda, menguji, membongkar, meramas dan sebagainya.  Mereka akan meneroka apa sahaja di persekitaran mereka melalui cara bermain . Ini adalah kerana kanak-kanak mempunyai perasaan ingin tahu yang tinggi.

Sekali lagi ingin saya tekankan bahawa bermain adalah tugas hakiki kanak-kanak. Sebenarnya mereka bukan hanya bermain tanpa faedah tetapi  melalui bemain kanak-kanak akan dapat mempelajari pelbagai perkara di persekitaran mereka. Mereka sebenarnya sedang belajar melalui bermain. Belajar melalui bermain sebenarnya akan dapat menggalakkan perkembangan pembelajaran kanak-kanak. Bermain adalah asas kepada pembelajaran kanak-kanak.


Apakah yang  sebenarnya kanak-kanak dapat melalui bermain?
  • kanak-kanak dapat meluahkan perasaan dan mezahirkan rasa gembira serta seronok.
  • bila bermain kanak-kanak seolah-olah dapat melibatkan diri bagi menyelesaikan sesuatu perkara,
  • melalui bermain bersama-sama kawan-kawan,  kanak-kanak dapat membentuk sahsiah diri yang positif.
  • kanak-kanak akan mempunyai lebih keyakinan diri,
  • dapat mengembangkan kemahiran deria dan motor.
  • meningkatkan kecergasan badan.
  • menanamkan tabiat suka melakukan aktiviti.
  • meningkatkan kebolehan berfikir kanak-kanak.dan menyelesaikan masalah 

Secara umumnya kanak-kanak boleh main apa sahaja tetapi faktor keselamatan persekitaran dan peralatan perlulah sentiasa dititikberatkan dan diperhatikan oleh orang dewasa.  Justeru itu,  peranan ibubapa , pemgasuh @pendidik ialah;

  • Menyediakan persekitaran tempat bermain  yang sesuai,selamat dan selesa mengikut umur dan tahap perkembangan kanak-kanak.
  •  Menyediakan dan memastikan juga peralatan permainan yang sesuai dan selamat. Peralatan permainan tidak semestinya dibeli tetapi boleh disediakan oleh anda dengan menggunakan bahan-bahan yang terpakai.
  • Sentiasa memberi peluang dan ruang kepada kanak-kanak untuk bermain.
  • Bermain bersama kanak-kanak

Apa yang kanak-kanak boleh main? Berikut saya kongsikan antara jenis-jenis main yang sesuai dengan kanak-kanak yang boleh anda praktikkan kepada anak-anak samada di Taska maupun di rumah sendiri.



Main Bebas - kanak-kanak diberi peluang memilih barang atau jenis permainan yang mereka suka. Dengan ini kanak-kanak dapat meneroka, mencuba serta mengembangkan kreativiti mereka, Bila bermain bebas, kanak-kanak berpeluang memupuk potensi kecerdasan tertentu kerana kanak-kanak akan bermain mengikut minatnya sendiri.
Bila bercakap tentang main bebas ini, saya teringat anak-anak saya ketika kecil. Disebabkan saya tinggal di persekitaran kampung jadi anak saya bebas meneroka sekeliling rumah. Macam-macam permainan yang mereka cipta sendiri. Cuba ingat dan imbas kembali kenangan sewaktu anda kecil. Apa yang anda main? Tentu anda akan jawab apa yang anda main tentu berbeza dengan apa yang anak anda sekarang main. Ada sesiapa pernah merasai pengalaman memanjat pokok rambutan di depan rumah? 

Main manipulatif - permainan yang melibatkan penggunaan blok dan binaan, puzzle, main ranting,atau menyusun kotak. Permainan seperti ini membolehkan kanak-kanak melahirkan idea, fantasi dan kreativiti sendiri. Tidak semestinya anda perlu beli blok atau puzzle yang mahal yang ada di pasaran. Cuba buatkan untuk anak anda blok-blok yang diperbuat daripada pelbagai saiz kotak yang terpakai.
Mulai sekarang jangan buang kotak ubat gigi atau kotak kasut atau apa pun jua kotak. Simpan dan balut kotak tersebut dengan kertas majalah. Beri pada anak-anak. Anda tentu akan melihat betapa kreatifnya anak anda bermain dengan bahan terpakai ini. Permainan tak perlu dibeli pun, jimat bukan?


Main pondok-pondok - Masihkah anda ingat ketika kecil , anda selalu bermain pondok-pondok bersama dengan adik beradik atau kawan kawan sebaya anda? Main pondok sangat melekakan dan menghiburkan kanak-kanak.  Kanak-kanak boleh berfantasi dan seterusnya dapat menggalakkan emosi positif dan juga dapat menggalakkan perkembangan bahasa kanak-kanak. Sekali lagi jangan buang kotak jika anda membeli peti sejuk atau telivisyen. Bantu anak untuk membuat rumah olok-olok dari kotak tersebut. Selain itu jika ada bekas-bekas plastik yang tidak digunakan lagi, beri pada anak untuk main masak-masak. Tentu sekali mereka akan berasa seronok dan teruja untuk bermain. 

Main  aktiviti fizikal - permainan  sebegini boleh  dijalankan di luar rumah atau bangunan. Permainan fizikal tentu sahaja  melibatkan pergerakan fizikal dimana knak-kanak menggunakan tenaga dan meneroka persekitaran di luar.  Biarkan mereka berlari dalam kawasan persekitaran yang selamat.













Permainan Sensori - Main air dan main pasir
Dengar sahaja perkataan main air dan main pasir tentu ramai ibubapa yang tidak bersetuju untuk membenarkan anak mereka bermain dengan air atau main dengan pasir. Biasanya ibubapa akan berkata yang main air atau main pasir mengotorkan, Takut ada pula anak yang terkena kuman atau penyakit dek kerana dibiarkan bermain dengan air dan pasir.
Kalau di Taska adalah menjadi satu keperluan pihak Taska  perlu menyediakan sudut permainan air dan juga sudut permainan pasir ini. Kalau untuk ibubapa , bagaimana? Senang sahaja, Kalau di rumah anda tiada persekitaran yang sesuai untuk main air dan main pasir, apa kata bawa anak selalu ke tepi pantai. Biarkan mereka main air dan main pasir sepuasnya.

Permainan pasir dan air bukan sahaja memberi keseronokan kepada kanak-kanak tetapi juga bersifat terapeutik. Aktiiviti main air dan main pasir juga dapat memperkenalkan dan mendekatkan kanak-kanak kepada alam semulajadi. Cuba tengok apa yang anak anda lakukan di tepi pantai? Mereka tentu leka mengulit atau membuat pelbagai acuan dari pasir. Mereka akan meramas-ramas pasir menggunakan jari jemari mereka yang sekaligus dapat menguatkan moto halus mereka. Melalui bermain dengan air pula, kanak-kanak akan dapat menerapkan konsep 'explore, experiement and experience' dimana mereka bebas mencuba membuat penerokaan dengan air.
Apa yang paling penting ketika bermain air atau pasir ini, ibubapa atau pengasuh hendaklah memastikan anak-anak dikawal dan diawasi sepanjang mereka bermain terutama kanak-kanak kecil.

Kesimpulannya anak-anak perlu bermain. Bermain adalah hak kanak-kanak. Biarkan mereka  bermain dan terus bermain. Sebenarnya banyak yang mereka pelajari dan perolehi melalui bermain. Apapun jangan dilupakan faktor keselamatan anak-anak anda ketika sedang bermain.
Sekian dulu dari sayauntuk perkongsian  kali ini. Semuga bermanfaat untuk anda.

Emel atau whatapp atau sms saya untuk perkhidmatan dan bimbingan penubuhan Taska.
pnnorazuraismail@gmail.com
016 7235080

No comments:

Post a Comment