Saturday 11 April 2015

Tip kendali anak malas solat

Nama : Nor Azura Ismail
Foto : Carian Google

Entri: 15


Solat merupakan tiang agama yang diwajibkan ke atas seluruh umat Islam sejak mereka mula mencapai umur akil baligh.Tiada alasan untuk seseorang meninggalkan solat 5 waktu sehari semalam. Solat yang sempurna dapat mencegah seseorang dari berbuat dosa dan maksiat. Jadi adalah penting dalam sesebuah institusi kekeluargaan,  ibubapa memastikan yang setiap anak yang telah pun baligh tadi melaksanakan solat 5 kali sehari semalam. Adalah menjadi tanggunjawab pula kepada si ayah sebagai ketua keluarga untuk memahamkan anak tentang kewajipan solat  dan seterusnya mendidik@malatih anak solat sedari dari mereka kecil lagi.

Biasakan anda dengar,  apabila  lahir sahaja seorang anak  ke dunia, si ibu dan si ayah akan mendoakan anak ini membesar menjadi anak yang soleh dan solehah. Tiada yang lebih tepat untuk menjadi anak soleh dan solehah selain dari menjadikan  anak ini sebagai hamba yang sentiasa  menjaga kesempurnaan solatnya. Tidak tepat  dikatakan berjaya seseorang anak  itu,  apabila dapat belajar hingga ke tahap PHD tetapi culas serta malas mendirikan solat 5 waktu.

Adakah anda mempunyai anak yang telah remaja @ yang telah pun akil baligh? Adakah anda pernah perhatikan solat mereka? Adakah mereka telah mendirikan solat? Jika mereka solat, bagaimanakah pula kesempurnaan  solat mereka?  Selalu-selalulah peka dan prihatin terhadap solat  anak kita.

 Saya sangat ingin berkongsi tip kendali anak malas solat bersama anda semua. Jom kita sebagai ibubapa, sama-sama membuat perubahan. Sebelum itu , sudikanlah membaca sebentar secebis kisah dari saya, kisah anak-anak remaja saya.

Saya mempunyai 5 orang anak remaja yang sudah tentu telah pun  baligh, berumur dari 14 tahun hingga 20 tahun.  Syukur kerana sejak dari mereka kecil lagi,   suami saya terutamanya  sangat menekankan amalan  solat dengan memberi pendedahan awal tentang solat kepada mereka .  Suami saya  akan memastikan setiap kali waktu solat mereka akan mendirikan solat tersebut. Bila mereka berada di luar jauh dari pandangan mata suami, dia akan bertanya samada anak-anak telah pun bersolat ataupun belum.  Jarang saya dengar suami saya keras memarahi anak-anak ini mengenai perkara lain selain dari marah jika mereka tidak solat. Biasanya suami saya akan bersyarah panjang jika anak culas  untuk solat. Itu ketika mereka di sekolah rendah.

Kini anak-anak saya telah meningkat remaja.  Mereka tinggal di asrama,  seorang di kolej, seorang di asrama penuh dan 2 orang di sekolah agama. Mengikut cerita anak-anak saya, bila di asrama ustaz akan rotan kaki mereka jika mereka culas untuk solat berjemaah di surau sekolah. Bila masuk waktu subuh, dengar saja suara lantang  ustaz, bergegas mereka bangun dari katil untuk solat subuh berjemaah.

Masalahnya anak-anak remaja saya ini, bila merka balik bercuti, saya lihat mereka suka bersikap malas  dan sering berlengah-lengah  dalam mendirikan solat. Kekadang itu sampai berkali-kali kena suruh, terutamanya oleh saya. Kalau bersolat, sangat  suka melambatkan  waktu solat. Jika waktu subuh, selagi tak dikejutkan, mereka tak akan bangun sendiri untuk solat. Mereka bukan tidak tahu kewajipan solat  tapi sengaja  suka berlengah-lengah dalam mendirikan solat. Mereka solat juga tetapi asyik perlu diingatkan dan disuruh berkali-kali. Oleh kerana itu, jika mereka di luar bersama kawan-kawan, suami akan tetap kena terus ingatkan mereka supaya bersolat bila telah masuk waktu nanti. Itulah cabaran mendidik anak-anak ini agar manjadi insan yang mendirikan solat.

Ada sesiapa yang menghadapi masalah seperti saya? Inilah cabaran hebat dalam mendidik generasi hari ini. Hasil dari pembacaan saya  dan juga dari penelitian saya dan suami, akhirnya saya rasa saya perlu mengambil dan memperbaiki lagi  beberapa pendekatan bagi memastikan amalan solat ini terus segar, mekar bersemi dalam jiwa dan hati nurani anak-anak ini. Nak tahu apa tip saya, baca lagi di bawah ini ye.

Cadangan  tip kendali anak malas solat:

AJAK, DIDIK  DAN ASUHAN BERTERUSAN

Sebagai langkah awal, kepada anda yang masih mempunyai anak yang masih kecil, mesti ingat untuk mendedahkan anak kecil kepada dunia solat ini dari awal ya. Anda boleh solat di depan anak-anak, bawa anak-anak ikut anda solat di masjid atau pasangkan VCD tentang solat kepada anak-anak kecil. Biasakan anak-anak yang masih kecil ini dengan budaya solat. Anda boleh suruh anak-anak  ikut@tiru  gerakan anda dalam solat.  Anak-anak kecil yang ibarat kain putih ini sebenarnaya sangat mudah dilentur dan diwarnakan. Mereka akan ikut apa yang anda buat.

Yakinlah dan ikutlah panduan dalam agama yang menyuruh anak solat apabila umurnya telah 7 tahun. Ajak dan suruh anak solat dan boleh rotan mereka jika tidak solat ketika umur memasuki 10 tahun. ( Rotan di kaki ya dan jangan merotan mengikut perasaan tetapi merotanlah kerana mendidik ya). Bila anak telah akil baligh anda boleh gunakan pendekatan yang lemah lembut ketika mengajak anak solat. Yang penting,  anda sudah didik mereka dari awal. Jangan pula anda tidak pernah didik mereka tentang solat, tiba-tiba anda melenting bila mereka tidak tahu mendirikan solat.

ANDA SEBAGAI ROLE MODEL

Solat yang didirikan oleh ibubapa di hadapan anak kecil akan sentiasa menjadi perhatian anak dan akan terlekat pada minda dibawah sedar mereka. Percayalah.
Maksudnya anda sendiri sebagai ibubapa mesti tunjukkan contoh teladan yang baik kepada anak-aank dalam menjaga solat. Bila mereka kecil anda tunjukkan yag anda mendirikan solat. Bila mereka semakin remaja, tunjukkan pula betapa anda sangat menjaga solat terutama solat di awal waktu. Bila keluar beriadah atau bermusafir bersama keluarga, berhentilah di masjid berdekatan sebaik masuk sahaja waktu solat. Bawa anak dan isteri mendirikan solat. Amalan ini akan sentiasa menjadi contoh kepada anak-anak anda.  Janganlah anda cakap tak serupa bikin yaitu bila anda sibuk bercakap tentang solat tapi anda sendiri sebagai ibubapa tidak menjaga solat anda.

SELALU BERI KEFAHAMAN TENTANG SOLAT
Dari kecil anak suka ikut-ikut anda solat tetapi banyak perkara yang mereka masih kurang faham. Justeru itu,  bila anak sudah berumur 10 tahun lebih lebih lagi jika telah baligh,  anda perlu memberi kefahaman kepada anak mengapa mereka perlu menjaga solat 5 kali sehari. Jangan anda lepas  tangan dan menyerahkan ustaz di sekolah untuk memahamkan anak tentang kewajipan solat ini.

WUJUDKAN  BILIK SOLAT DI RUMAH
Kalau rumah anda mempunyai banyak bilik atau jika ada ruang yang sesuai, cuba untuk khaskan satu bilik atau ruang ini sebagai tempat solat. Jadikan seperti seolah-olah sebuah surau di dalam rumah. Ini adalah untuk mewujudkan aura melakukan ibadah. Pastikan anda tegas dalam mendisplinkan anak untuk bersolat. Tutup televisyen dan radio dan minta anak tinggalkan segala gajet  bila masuk sahaja  waktu solat. Suruh  anak mendirikan solat. Biarlah banyak kali anda suruh , biar sampai beratus malah beribu  kali anda masih perlu menginggatkan anak-anak ini.

SOLAT BERJEMAAH
Jangan lupa. Jika anda seorang bapa , ajak anak-anak lelaki anda untuk sama-sama mendirikan solat berjemaah di masjid berdekatan. Sesekali anda digalakkan menjadi imam solat berjemaah bersama isteri dan anak-anak anda di rumah. Jangan suruh anak cepat bersolat tetapi anda sendiri masih leka berbuat perkara lain.

BERI NASIHAT DAN TERUS MENASIHATI
Anak-anak remaja zaman sekarang tak sama seperti anda dahulu. Kepantasan dan kecanggihan teknologi menyebabkan mereka sangat mudah terpengaruh kepada perkara-perka yang negatif di luar. Pengaruh kawan, tiada kawalan dari sudut penggunaan gajet menyebabkan anak-anak sangat mudah leka, lalai dan seronok. Dari itu sangat penting untuk anda yang mempunyai anak meningkat remaja untuk menjadi  kawan rapat kepada anak-anak anda. Dekati dan selami jiwa remaja mereka. Anda perlu terus memberi dorongan dan nasihat kepada mereka lebih-lebih lagi perihal solat.  Nasihatilah mereka secara berhemah. Ingat,  anda perlu nasihat bukannya berleter.  Carilah waktu yang sesuai untuk mendekati dan menasihati anak-anak anda.

RANGSANG ANAK
Sesekali  usik emosi anak dengan memberitahu jika mereka tak solat maka anda sebagai ibubapa akan susah di akhirat kelak.Beritahu anak  Jika mereka tak solat, siapalah yang akan mendoakan anda berdua jika anda telah tiada di atas muka bumi ini. Beri juga ganjaran berpatutan  kepada anak-anak jika mereka serius menjaga solatnya. Ganjaran boleh dalam bentuk pujian dan dorongan. Apa salahnya sesekali berikan juga mereka hadiah kerana menjaga solat.  Tentu mereka akan merasa dihargai dan berkobar serta terkesan untuk terus menjaga solat. Bukan anak kecil sahaja sukakan ganjaran tetapi anak-anak remaja yang hidup dengan pelbagai cabaran teknologi masakini juga sangat menginginkan ganjaran berpatutan daripada kedua ibubapanya.

DOAKAN ANAK
Akhir sekali sebagai ibubapa yang inginkan  yang terbaik dari anak-anak, jangan lupa untuk mendoakan anak anda. Sebutkan nama anak satu persatu dalam setiap kali doa anda. InsyAllah , Allah mendengar rintihan dan doa anak.
Amakan Doa Nabi Ibrahim,
“ Wahai Tuhanku! Jadikanlah aku orang yang mendirikan solat dan demikian jugalah zuriat keturunanku. “  Amin.

Semuga tulisan saya kali ini dapat mengingatkan diri saya sendirilebih-lebih lagi  dan memberi kebaikan kepada anda yang membacanya.
Sebelum saya beredar, kepada anda yang mempunyai anak kecil dan ingin memahirkan ilmu mendidik anak anda saya sangat sarankan untuk anda cuba dapatkan ebook
Panduan Mendidik Anak seperti di bawah ini. InsyAllah sangat memanfaatkan anda.




No comments:

Post a Comment