Friday 8 May 2015

Pemeriksaan fizikal kanak-kanak di TASKA

Nama : Nor Azura Ismail
Emel : pnnorazuraismail@gmail.com

Entri : 29 

Pemeriksaan fizikal wajib dijalankan ke atas bayi dan kanak-kanak yang dihantar ke TASKA. Ini bagi memastikan hanya kanak-kanak yang sihat dan bebas dari sebarang jangkitan penyakit sahaja dibenarkan berada di TASKA sepanjang hari. Ia juga adalah untuk memastikan samada ada@tidak ada sebarang tanda kemalangan, kecederaan atau pun penderaan pada fizikal kanak-kanak ketika mereka tiba di TASKA.

Kebanyakan kanak-kanak yang dihantar ke Taska menghabiskan banyak masanya dengan pelbagai aktiviti rutin dan juga aktiviti perkembangan di TASKA. Pelbagai aktiviti yang menyeronokkan disediakan oleh pengasuh untuk kanak-kanak di samping aktiviti rutin harian. Justeru itulah  kanak-kanak perlu sihat untuk menjalankan aktiviti seharian di TASKA
.
Memandangkan itu, sewajarnya ketika kanak-kanak di hantar ke TASKA  pada awal pagi, pengasuh perlu menjalankan pemeriksaan kesihatan & fizikal ke atas kanak-kanak untuk tujuan di atas.  Sekiranya kanak-kanak sakit atau terdapat kecederaan dan kesan luarbiasa di anggota badannya tentulah ianya telah ada sejak dari rumah lagi. Oleh itu penting untuk pihak TASKA membuat pemeriksaan dan seterusnya merekodkan hasil pemeriksaan itu. Dengan kata lain, pihak TASKA  tidak bertanggungjawab atas sebarang kecederaan pada diri kanak-kanak yang dibawa dari rumah. Sekiranya kanak-kanak tidak sihat, pihak TASKA boleh mengambil langkah yang sewajarnya untuk memantau keadaan kesihatan kanak-kanak.

Pemeriksaan fizikal kanak-kanak biasanya dilakukan oleh pengasuh di hadapan ibubapa sendiri.



CARA  MENJALANKAN PEMERIKSAAN FIZIKAL  KE ATAS BAYI
i.              Sediakan  alas bayi dan baringkan bayi di atas alas tersebut.
ii.            Sangat digalakkan untuk menjalankan pemeriksaan bayi di hadapan ibubapa.
iii.           Cuci tangan terlebih dahulu sebelum menjalankan pemeriksaan.
iv.           Periksa suhu badan bayi dengan menggunakan jangkasuhu yang sesuai.
v.             Catatkan bacaan jangkasuhu tersebut. Bacaan suhu badan bagi kanak-kanak yang normal ialah 37 C. Sekiranya suhu badan kanak-kanak melebihi bacaan normal, maklumkan pada ibubapa dan dapatkan makluman lain seperti ubatan yang dibawa.
vi.           Sekiranya bacaan suhu badan kanak-kanak mencecah tahap yang tinggi  
           ( melebihi 39.4C dan melebihi 38.3C jika anak berusia kurang dari satu tahun) , pihak TASKA  tidak boleh membenarkan kanak-kanak tinggal di TASKA. Sebaliknya pihak Taska perlu menasihatkan ibubapa untuk membawa kanak-kanak berjumpa dengan doktor.
vii.           Tanggalkan keseluruhan pakaian bayi termasuk lampin pakai buangnya. Periksa di seluruh anggota badan bayi untuk mengenalpasti sebarang kecederaan pada anggota badan bayi. Contoh, kesan calar, lebam atau luka.
viii.         Cara periksa secara terperinci:
-       Angkat tangan bayi ke atas
-       Periksa antara jari tangan, jari kaki dan di setiap pelipat bayi
-       Periksa di bahagian kemaluan bayi
-       Terlentangkan bayi seketika dan periksa bahagian belakang bayi.
-       Periksa sekitar bahagian muka dan kepala bayi.
ix.           Periksa juga jika terdapat tanda-tanda penyakit berjangkit atau sebarang tanda luarbiasa. . Sekiranya ada tanda, kenalpasti jenis penyakit dan sekiranya ia merupakan tanda penyakit berjangkit seperti campak atau cacar air, bayi tidak dibenarkan tinggal di TASKA.
x.             Catatkan semua pemeriksaan di dalam rekod kesihatan kanak-kanak.
xi.           Pastikan juga ibubapa mencatatkan maklumat kesihatan dan pemeriksaan fizikal dalam buku log harian kanak-kanak.


** Lampiran log harian kanak-kanak berpandukan format dalam 
modul kurikulum PERMATA

Contoh catatan pemeriksaan fizikal dalam
buku log harian kanak-kanak


Kesihatan Anak :
Anak anda sihat? YA /TIDAK
Jika tidak, kenapa? _____________________________________________________
Suhu_______________________________Ubat____________________________

Pemeriksaan fizikal kanak-kanak (Tanda dan catat di bahagian berkaitan)

Hadapan                                                                                                        Belakang



CARA MENJALANKAN PEMERIKSAAN FIZIKAL  KE ATAS KANAK_KANAK
i.              Sediakan  ruang yang sesuai untuk menjalankan pemeriksaan fizikal
ii.            Pastikan bahan dan peralatan telah disediakan.
iii.           Sangat digalakkan untuk menjalankan pemeriksaan fizikal kanak-kanak di hadapan ibubapa.
iv.           Minta kanak-kanak 3-4 tahun berdiri tegak.
v.             Untuk kanak-kanak 1-2 tahun, pengasuh boleh memangku kanak-kanak di atas ribanya.
vi.           Periksa suhu badan kanak-kanak dengan  menggunakan jangkasuhu yang sesuai.
vii.          Catatkan bacaan jangkasuhu tersebut. Bacaan suhu badan bagi kanak-kanak yang normal ialah 37 C. Sekiranya suhu badan kanak-kanak melebihi bacaan normal, maklumkan pada ibubapa dan dapatkan makluman lain seperti ubatan.
viii.         Sekiranya bacaan suhu badan kanak-kanak mencecah tahap yang tinggi, pihak Taska tidak boleh membenarkan kanak-kanak tinggal di Taska. Sebaliknya pihak Taska perlu menasihatkan ibubapa untuk membawa kanak-kanak berjumpa dengan doktor.
ix.            Tanggalkan baju kanak-kanak. Periksa bahagian badan nya. Selak seluarnya dan periksa. Periksa di seluruh anggota badan untuk mengenalpasti sebarang kecederaan pada anggota badan kanak-kanak. Contoh, kesan calar, lebam atau luka.
x.             Periksa juga jika terdapat tanda-tanda penyakit berjangkit atau sebarang tanda luarbiasa. . Sekiranya ada tanda, kenalpasti jenis penyakit dan sekiranya ia merupakan tanda penyakit berjangkit seperti campak atau cacar air, kanak-kanak tidak dibenarkan tinggal di Taska.
xi.           Catatkan semua pemeriksaan di dalam rekod kesihatan kanak-kanak.
xii.          Pastikan juga ibubapa mencatatkan maklumat kesihatan dan pemeriksaan fizikal dalam buku log harian kanak-kanak. (contoh; sama seperti di atas)


Dalam menjalankan pemeriksaan fizikal ke atas kanak-kanak, kerjasama antara pihak pengasuh dan juga ibubapa sangatlah penting.  Ibubapa perlu meluangkan masa sebentar untuk pengasuh menjalankan pemeriksaan fizikal ke atas anak.  Manakala pengasuh sangat perlu untuk peka dan menjalankan pemeriksaan ke atas setiap kanak-kanak yang baru tiba di TASKA. Kerjasama ibubapa dan kepekaan pengasuh TASKA memang sangat penting untuk mengelakkan berlakunya tuduh menuduh di antara pihak TASKA dan ibubapa sekiranya sesuatu berlaku pada anak.

Cuba lihat situasi di bawah ini.

 Pn. Salmah dan En. Ali tergesa-gesa menghantar bayinya yang berusia 7 bulan ke TASKA. Sebaik tiba di TASKA , Pn. Salmah terus menyerahkan anaknya kepada Siti, seorang pengasuh bayi di TASKA. Pada ketika itu bayi Pn Salmah sedang tidur.  Siti terus mengambil bayi tersebut dan meletakkan bayi di atas tilam tidur di bilik bayi tanpa menjalankan apa-apa pemeriksaan ke atas bayi tersebut. Selang satu jam bayi pun bangun dari tidur dan bermain-main di dalam bilik bayi tersebut sementara menunggu giliran untuk dimandikan. 

Tibalah waktu untuk mandi. Ketika bayi tersebut sedang dimandikan, Siti terlihat kesan calar yang panjang di kaki bayi. Siti terkejut dan tidak pasti samada kesan calar tersebut dari rumah atau berlaku ketika bayi bermain tadi. Siti sendiri tidak boleh pastikan samada kesan calar tersebut telah lama ada atau baru sahaja berlaku pada bayi.

Baiklah dalam kes ini, siapa yang akan dipersalahkan terhadap kesan calar tersebut. Ibubapa yang menghantar anak ke TASKA sekarang ini memang sangat cerewet. pantang terlihat sebarang kesan calar atau kecederaan ringan pada anak mereka, tentu mereka akan melenting marah dan menuduh pihka TASKA tidak prihatin atas penjaagaan anak mereka.

Dalam kes tadi, sepatutnya Siti jalankan pemeriksaan fizikal atas bayi di depan ibubapanya dan jika ada kesan calar, rekodkan dan tunjuk pada ibubapa. Mungkin ibubapa sendiri pun tak perasan akan kesan calar tersebut. Akibat tidak jalankan pemeriksaan fizikal dan tiada sebarang rekod bukti mungkin saja ibubapa bayi tersebut akan menyalahkan pihak TASKA atas kesan calar pada bayi mereka.

Kesimpulannya, menjalankan pemeriksaan kesihatan dan fizikal di TASKA memang sangat penting dan harus dimasukkan di dalam SOP TASKA.

*** Jadikan TASKA anda TASKA yang berkualiti. 
*** Pastikan pengasuh anda , pengasuh yang professional.

Nak order ebook ini. 50 KOLEKSI IDEA KREATIF PERMAINAN KANAK-KANAK.


 TEMPAH DENGAN KLIK DI  BORANG TEMPAHAN INI.



No comments:

Post a Comment