Tuesday 1 September 2015

Pendidikan awal ialah pendidikan akhlak

Teks : Nor Azura Ismail.


Pendidikan awal ialah pendidikan akhlak? Betul ke? Bukan ke pendidikan awal ialah pendidikan untuk inginkkan  anak-anak cepat pandai membaca, menulis dan mengira? Biasanya inilah harapan ibubapa yang menghantar anak seawal usia ke pusat-pusat perkembangan anak-anak.

Menurut pendapat ahli pendidikan, pada peringkat umur  anak 3 – 7 tahun, pendidikan utama yang perlu diterapkan dan didedahkan kepada anak-anak ialah pendidikan yang membina sahsiah, jiwa dan akhlak anak dan seharusnya menjadi tanggungjawab ibubapa itu sendiri.

Para ilmuwan juga berpendapat bahawa  bimbingan dan tunjukajar  mengenai akhlak serta adap sangat pentig diberi kepada  anak-anak semenjak dari kecil lagi kerana di peringkat ini tingkahlaku mereka mudah dibentuk  maka bentuklah tingkahlaku dengan acuan yang baik sejak kecil lagi.

Keluarga adalah institusi yang paling dekat dan berkesan serta penting dalam mendidik dan mencorakkan sahsiah yang baik pada diri anak-anak. Ibubapa pula  adalah insan yang paling mampu memberi  didikan terbaik untuk anak-anak kerana adanya fitrah kasih sayang dalam diri ibubapa terhadap anak-anaknya.

Berdasarkan beberapa fakta di atas, pada pandangan saya memang benarlah pendidikan utama untuk anak-anak di  awal usia sekitar  3 – 7 tahun ini adalah seharusnya pendidikan yang membina akhlak, sahsiah , jati diri, keperibadian serta moral diri anak-anak apatah lagi di zaman serba berteknologi dan semuanya  hanya di hujung jari.

Jadi, sejauh manakah kita sebagai ibubapa mengambil berat dan sedar akan perkara serta situasi ini.? Adakah kita telah mengambil tanggungjawab  dan berlumba lumba untuk menggunakan tangan dan kudrat kita sendiri dalam memberi pendidikan  sahsiah dan kerohanian yang terbaik untuk anak-anak?  Adakah kita menjadikan keutamaan pendidikan berbentuk ini kepada anak-anak?

Hakikatnya apa? Hakikatnya , tanpa kita sedari kita telah  berlumba-lumba untuk memberikan pendidikan akademik kepada anak-anak biarpun anak kita sekadar berusia 3 tahun. Memasuki sahaja umur anak 3 tahun maka kita akan sibuk memilih TADIKA yang terbaik untuk anak-anak dengan harapan anak akan cepat pandai membaca, menulis , mengira dan menguasai ilmu  tertentu seawal usia. Objektif utama ibubapa menghantar anak ke TADIKA ialah untuk anak pandai dan bukan untuk yang lain-lain.  Maka akan banggalah kita dengan pencapaian anak-anak. 

Anak-anak tahu apa? Mereka sebenarnya hanya tahu seronok dan tahu nak main. Anak-anak diusia 3 tahun suka kalau dapat baca doa beramai-ramai, suka ikut ikut ibubapa kerjakan solat, suka sangat kalau kita ajar mereka tentang adap. Senang sahaja mereka nak ikut perkara-perkara baik yang kita ajar. Tapi, anak-anak seperti terpaksa bila ibubapa sibuk hantar anak-anak ke kelas-kelas tertentu, sibuk latih tubi anak-anak membaca buku, sibuk minta anak siapkan pelbagai buku-buku tugasan walaupun anak-anak sekadar berusia 3, 4, 5 tahun ? Dan bila nampak hasilnya pada anak-anak, maka akan berbanggalah kita. Itulah realitinya.

Pada saya, bersederhana sahajalah dalam memberi pendidikan akademik pada anak ketika anak dalam usia 3 ke 7 tahun, jangan di paksa-paksa, Jangan marah anak kalau tak dapat A ketika baru di tahun satu. Masih banyak peluang  menunggu mereka. Biarkan mereka puas dengan dunia anak-anak mereka. Isikan ruang usia muda mereka  dengan didikan membina akhlak dan sahsiah diri.

Saya pernah membaca satu fakta di Jepun yang mangatakan bahawa di sekolah mereka tidak menekankan akademik atau memberi  homework  kepada anak-anak sehingga usia anak  10 tahun. Apa yang ditekankan ialah pendidikan akhlak anak-anak. Mereka bina dulu teras dan benteng dalam kehidupan anak-anak. Bina keperibadian anak  grade A, maka anak-anak akan membesar sebagai insan yang berperibadi A juga. Itu di Jepun, di negara kita pula , macamana?

Kalau mengikut pengalaman saya sendiri, saya juga  kurang menekankan pendidikan akademik ketika anak di awal usia @ di bawah 10 tahun. Saya tak marah kalau anak-anak kurang menunjukkan prestasi  baik di sekolah dalam akademiknya . Apa yang saya buat   cuma bagi galakan sahaja.  Suami saya  pula tak lah melenting bila anak tak dapat A dalam pelajarannya sebaliknya akan  marah jika anak-anak leka untuk solat sedari umur mereka 7 tahun lagi.  Yang paling ketara,  kebanyakan anak-anak saya yang telah remaja kini, hanya mula menunjukkan prestasi dalam pelajaran akademiknya setelah bersekolah menengah. Ketika itu mereka dah mula matang untuk berfikir dan berlumba dalam pembelajarannya. Ada juga akanak-anak saya yang lebih cenderung kepada kemahiran berbanding akademiknya.




Kesimpulannya, pada pandangan saya, anak-anak yang masih kecil, usahlah dipaksa dan dibebankan dengan pendidikan akademik di awal usia. Biarkan anak puas main. Jangan stress kan anak-anak awal usia dengan bebanan belajar.  Biarkan mereka dengan kerja hakiki mereka iaitu bermain. Mereka sebenarnya belajar banyak perkara sambil bermain. Mereka mendapat ilmu melalui pengalaman bermain. Sambil main sambil berikan didikan akhlak kepada anak-anak . Itu yang paling baik. Insyallah anak-anak akan membesar bersama teras jiwa yang kental, sahsiah dan jati diri yang positif  walaupun mungkin anak-anak kurang berjaya dalam pendidikan akademiknya.  Yang utama, pendidikan awal ialah pendidikan akhlak.

Perlu diingat juga bahawa kejayaan anak-anak tidak seharusnya diukur dari pencapaian akademik semata, mungkin anak-anak boleh juga berjaya dalam kemahiran tertentu  maupun dalam kehidupan peribadinya kelak. Banyakkan berdoa  untuk kejayaan anak-anak. Dan kejayaan yang utama ialah bila anak-anak dapat  meneruskan kehidupannya bersama akhlak, keperibadian dan sahsiah diri yang terserlah.  Itulah benteng utama yang menyelamatkan kehidupannya  dan bakal membahagiakan kita sebagai ibubapanya kelak.

Semoga anak-anak adalah rezeki yang terbaik buat kita.

Jom, dapatkan Ebook Panduan Mendidik Anak ini, baik untuk menambahkan ilmu keibubapaan anda.



RM 30. Klik DI SINI

No comments:

Post a Comment