Sunday 7 February 2016

Hargai minat dan kemahiran anak-anak

Oleh : Nor Azura ismail
pnnorazuraismail@gmail.com
image : koleksi peribadi

Anak lelaki ke 7 saya, asyik berimiginasi dengan permainan helikopternya. Inilah hobinya. Adakah hobi ini akan bertukar menjadi minat dan seterusnya menjadi kerjayanya bila dewasa kelak? 


Walaupun pepatah melayu ada mengatakan “ Bapa Borek Anak Rintik”, tidak bermakna apa sahaja minat@kecenderungan anda sebagai ibu bapa,  bakal diwarisi oleh anak-anak. Dengan kata lain,  jika seorang bapa sangat meminati bidang sukan, tidak semesti anaknya mengikut jejak langkahnya. Perlu difahami, walaupun anak kita sendiri, mereka adalah individu yang berbeza dari kita. Mungkin minat dan kecenderungannya dalam sesuatu bidang adalah dari dalam dirinya tanpa dipengaruhi atau diwarisi dari diri kita sebagai ibu bapanya.
Oleh itu,  belajar hargai minat dan kemahiran anak-anak.

Hargai minat dan kemahiran anak-anak selagi mana minat tersebut bukan sesuatu yang sia-sia  atau tidak berfaedah. Inilah yang sebaiknya cara bagaimana ibu bapa dapat memberi galakan dan bimbingan kepada anak-anak. Mana tahu, kerana minat yang mendalam dalam sesuatu bidang kemahiran, anak-anak kelak, bakal menjana kerjaya yang cemerlang hasil dari minat tersebut.

Kata Ibn Sinu,
‘Bukan semua kemahiran yang diajar pada anak itu diterima olehnya, tetapi dia hanya akan mengambil apa yang sesuai dengan dirinya dan diminatinya’

Realiti ibu bapa sekarang ini, kalau boleh mereka mahu anak-anak pandai serba serbi. Sedari awal usia lagi iaitu bermula dari 4, 5 dan 6 tahun lagi, ibu bapa telah mula mengatur kelas-kelas tertentu yang perlu diikuti oleh anak. Belum lagi diambilkira faktor kecemerlangan dalam akademik, sambil dibebani dengan homework dan pembelajaran akademik, anak-anak kena pula ke kelas muzik, berenang, taekwando,  kreativiti dan sebagainya seperti yang telah diatur oleh ibu bapa. Dan hal ini terus berlarutan sepanjang tempoh persekolahan anak-anak, kekadang sehingga anak-anak meningkat remaja, semuanya disusun oleh ibu bapa.

Anak-anak bagaimana? Betulkah mereka berminat dengan apa yang telah diatur oleh ibu bapanya.
Pernahkah ibu bapa terfikir hak anak-anak di awal usia cuma ingin bermain dan merasa kebebasan berseronok. Pernahkah ibu bapa terfikir untuk melihat apakah potensi yang ada dalam diri anak-anak. Ya, waiaupun anak-anak ini masih kecil, mereka mungkin telah mula menunjukkan potensi dan minat dalam sesuatu bidang@kemahiran atau aktiviti.
Pernahkah ibu bapa sekadar bertanya pada anak –anak sekolah atau yang telah remaja, apa yang diminatinya.Lalu ibu bapa bersama memberi bimbingan dan galakan serta juga turut menunjukkan minat.

Jangan memaksa anak-anak terhadap sesuatu yang tidak diminatinya. Jangan meletakkan sesuatu yang tinggi di luar kebolehan anak-anak. Anak-anak anda sepatutnya anda yang lebih mengenali dan memahaminya.Hargai minat dan kemahiran anak-anak, nescaya insyAllah anda akan nampak perkara yang positif  bakal lahir dari minat mereka.

Sekadar berkongsi pengalaman saya dan suami dalam menyelami dan berkongsi sama dengan minat anak-anak. Secara peribadi, saya memang tak pernah memaksa anak melakukan sesuatu yang tidak diminatinya bahkan saya berusaha mengilap setiap potensi sesuatu kebolehan@kemahiran  yang mula ditunjukkan oleh anak saya tanpa mengira usia mereka.



Anak remaja pertama saya, kini berusia 21 tahun  sejak dari awal usia lagi telah menunjukkan minat yang sangat mendalam dalam bidang seni lukisan. Di peringkat sekolah, dari segi pencapaian akademk, dia merupakan seorang yang sederhana. Akan tetapi potensinya dalam bidang lukisan sangat menyerlah hingga asal ada sahaja lukisan moral di dinding sekolah, pasti dialah orang yang akan disuruh cikgu untuk melukisnya.
Kalau dilihat pada lukisannya, memang sukar difahami maksud dan imiginasi yang ingin ditunjukkannya. Setiap lukisan atau animasi yang dihasilkanya ada keunikannya yang dia sendiri tahu dan faham.  Katanya ingin mencuba untuk menjual hasil lukisannya kepada mereka yang berminat.
Sebagai ibu, saya sentiasa bersikap positif terhadap minatnya ini dan menunjukkan sokongan terhadap minat kecenderungan serta kemahirannya ini. Anak saya sekarang sedang menjalani latihan praktikal sebagai animator di sebuah syarikat animasi di Kuala Lumpur.





Bercerita mengenai  anak perempuan kedua saya, dia ‘ulat buku’ dan sangat fokus dan sentiasa cemerlang dalam akdemik hingga tidak nampak minat dan kecendungan dalam kemahiran tertentu sebelum ini. Sepanjang bergelar pelajar sekolah, saya ada juga bawa anak saya menjenguk- jenguk kemahiran dalam pendidikan awal kanak-kanak, tetapi namapak seperti tidak berminat. Jadi, saya biarkan dan tidaklah sekali memaksa dia membantu kerja-kerja saya.

Sekarang dia sedang menunggu keputusan STPM, tak pernah pula terfikir bahawa dia akan mengikuti kelas belajar menjahit dalam tempoh bercuti ini. Begitu konsisiten sekali mengikuti kelas menjahit sehingga sudah boleh menjahit skrit dan baju blouse. Saya sendiri pun tidak meminati apatah lagi untuk menjahit.



Tetapi, oleh kerana ingin sama-sama berkongsi dan menunjukkan sokongan terhadap  minat anak, sehingga  saya dan suami berkongsi duit membelikan dia  sebuah mesin jahit. Katanya nak menjahit seberapa banyak pakaian  sebelum diterima masuk universiti tahun ini.
Maka sekali lagi, secara tak langsung saya dan suami belajar sama –sama mendalami minat anak. Kami teman dia pergi membeli kain ela dan sentisa memberi galakan untuk dia teruskan kelas menjahitnya.  Hah, sekarang ini , dia sedang siapkan 2 helai tudung shawl untuk saya. Aduhai, tak payah beli tudung lepas ni, beli kain sahaja.
Anak lelaki saya yang ke 4, masa cuti sekolah baru-baru ini, turut belajar menjahit bersama kakaknya


Anak-anak yang lain pula, saya sedang belajar melihat potensi dan minat mereka. Dan seperti anak pertama dan kedua, saya sentiasa akan menyokong segala minat dan kecenderungan mereka.
Baru pula terperasan, anak lelaki ke 5 saya pula sangat meminati hiasan rumah dan masakan. Kenalah saya memberi dorongan.

Kesimpulannya, ketika anak kecil, lihat apa potensi dalam diri mereka. Jangan sesekali memandang bahawa kejayaan anak-anak terserlah dari sudut akademik semata. Jangan memaksa anak-anak mengikuti pelbagai kelas tanpa mengetahui sejauhmana minat mereka.
Sebagai ibu bapa yang bijak, selain minat anak, anda harus  juga mengambil kira kemampuan anak dalam setiap perkara yang diceburinya.

Sedari kecil, anak-anak adalah unik dan mempunyai pelbagai potensi dalam diri yang berbeza. Kenalilah potensi tersebut kerana dengan bimbingan dan dorongan  yang betul dari ibu bapa, anak-anak bakal mengilap potensi yang ada sehinggalah mereka dewasa kelak. Dan tidak mustahil, potensi yang digilap sedari kecil itulah kerjaya yang bakal diceburi oleh anak-anak nanti. 
Hargailah minat dan kemahiran anak-anak.


Bantu anak-anak anda mencipta peluang....


Norazura Childcare Practitioner
#Pakar Pengajar  Sijil Kemahiran Malaysia Asuhan dan Didikan Awal kanak-kanak
#Jurulatih/Fasilitator Asuhan dan Didikan Awal Kanak-Kanak
#Coaching Penubuhan TASKA/TADIKA
#Coaching Persijilan Kemahiran Malaysia
#Penulis EBOOK;
- Panduan Perniagaan TASKA
- 50 Koleksi Idea Kreatif Permainan Kanak-Kanak
- Panduan SOP Pengendalian  TASKA





Nak jemput saya memberi  ceramah/bengkel  keibubapaan @sebarang  Training/bengkel  untuk guru@pengasuh TASKA TADIKA, hubungi saya;

TEL : 016 7235080 / 019 2115642
EMEL : pnnorazuraismail@gmail.com

No comments:

Post a Comment