pnnorazuraismail@gmail.com
Anak-anak berjaya bukan semestinya cerdik akademik. Benarkah kenyataan saya ini?
Suatu waktu dulu, ketika saya mengusahakan perniagaan TADIKA sendiri, salah satu objektif penting untuk saya capai ialah memastikan anak-anak didik yang rata-rata berusia antara 4, 5 dan 6 tahun ini boleh membaca dengan baik sebelum memasuki tahun satu di sekolah rendah. Bagi memastikan objektif tersebut tercapai, saya akan selalu latih tubi dan buat kelas tambahan untuk anak-anak ini. Ibu bapa pula akan menyambung latih tubi membaca di rumah bagi sama-sama merealisasikan objektif saya tadi.
Ketika itu, saya sangat baru dalam dunia pendidikan awal kanak-kanak. Saya rasa itulah bentuk pendidikan yang terbaik untuk anak-anak awal usia. Tambahan lagi, ibu bapa sendiri sangat teruja untuk melihat anak-anak boleh membaca di awal usia.
Hari ini,usia pengalaman saya dalam dunia pendidikan awal kanak-kanak ini telah menjangkau lebih dari 17 tahun. Sungguh, saya tidak lagi mempunyai persepsi objektif seperti dulu. Kini, saya tidak lagi mengusaahkan TADIKA sebaliknya saya terjun ke bidang kemahiran pengasuhan dan pendidikan awal kanak-kanak yang lebih luas lagi. Saya belajar memahami kanak-kanak sedari usia sejak dalam kandungan ibunya lagi. Saya juga memperolehi ilmu dan pengalaman yang lebih luas lagi melalui setiap pengalaman sebenar yang saya lalui sepanjang karier saya dalam dunia pendidikan awal kanak-kanak ini.
Rupa-rupanya anak-anak mempunyai pelbagai potensi dan kecerdikan yang perlu dilihat dan dinilai dari pelbagai sudurt dan aspek. Rupa-rupanya masih ramai lagi, kita orang dewasa tidak memahami maksud sebenar pendidikan awal kanak-kanak.
Tidaklah betul sama sekali, jika kita hanya menilai kebolehan dan kecerdikan anak-anak dari sudut pencapaian akademik sahaja atau jika di peringkat TADIKA, kita rasa anak yang cerdik adalah anak-anak yang pandai membaca. Realitinya tidaklah benar sama sekali. Itulah pandangan saya bahawa anak-anak berjaya bukan semestinya cerdik akademik.
Saya masih ingat lagi dulu, ketika saya buat kelas insentif membaca secara fonik, anak-anak akan 'one to one' duduk di sebelah saya dan saya akan latih tubi mereka menyebut bunyi huruf dalam setiap helaian buku fonik tersebut, Anak anak akan diminta fokus pada sesi belajar dan ulang sebut berulang kali hingga dapat. Hasilnya anak-anak ini memang boleh membaca kerana otak anak-anak umpama span yang cepat menyerap apa sahaja ilmu yang diberi . Lalu, seronoklah dan turut teruja kita sebagai ibu bapa maupun pendidik bila anak boleh membaca seawal usia lagi.
Akan tetapi, kita lupa yang anak tersebut dapat kebolehan membaca tersebut dalam keadaan dipaksa dalam dalam emosi sebagai kanak-kanak yang telah dicantas oleh kita sebagai orang dewasa. Contohnya, anak didik TADIKA saya itu memang boleh membaca, tapi dia jadi anak yang pendiam, malu berkata-kata, kurang keyakinan diri dan tak reti bergaul dengan kanwan-kawan sebaya kerana dunianya hanyalah membaca.
Kadang-kadang kita tidak belajar menghormati hak kanak-kanak tetapi kita lebih ingin anak-anak jadi dan buat apa yang kita ingini.
Kebetulan saya terdengar tadi Menteri Pendidikan kita menyeru supaya pelajar-pelajar di Sekolah Berasrama Penuh(SBP) perlulah cemerlang secara holistic (menyeluruh) iaitu perlu tunjuk kecemerlangan dari pelbagai sudut dan aspek kemahiran kehidupan bukan hanya tunjukkan kecemerlangan dalam pencapaian akademik sahaja.
Anak-anak berjaya bukan semestinya cerdik akademik.
Yang pandai bukan hanya yang cerdik akademik.
Yang berjaya dalam hidup bukan hanya yang cemerlang dalam peperiksaan.
Yang pandai, yang berjaya ialah yang potensi dalam dirinya telah dikenalpasti dan digilap sedari kecil lagi.
Jom,samada kita sebagai ibu bapa atau pendidik sama-sama fikir dan renungkan.
Siapa saya?
Norazura Childcare Practitioner
#Jurulatih/Fasilitator Kursus Asuhan dan Didikan Awal Kanak-Kanak
#Coaching Penubuhan TASKA/TADIKA
#Coaching Persijilan Kemahiran Malaysia
#Penulis EBOOK;
- Panduan Perniagaan TASKA
- 50 Koleksi Idea Kreatif Permainan Kanak-Kanak
- Panduan SOP Pengendalian Kanak-Kanak di TASKA