Pages

Thursday, 19 March 2015

Pengenalan Diri

Teks : Nor Azura Ismail

Entri 1 : Pengenalan Diri

Assalamualaikum dan salam sejahtera serta salam perkenalan dari saya yang bernama Nor Azura Ismail. Dilahirkan di ibukota Kuala-Lumpur dan dibesarkan di beberapa tempat bergantung kepada dimana ayah bekerja mencari rezeki.  Saya mendapatkan pendidikan menengah yang terakhir di Sekolah  Menengah Methodist Anglo Chinese School  Seremban,  sebelum saya menyambung pelajaran dalam bidang Perbankan di Institut Teknologi Mara (ITM) (kini dikenali UiTM). Mengapa bidang perbankan? Jawapannya mudah sahaja, dimana saya sendiri tak pasti mengapa saya mengambil jurusan tersebut? Yang pastinya, saya telah memilih bidang yang sesuai dengan keputusan SPM saya pada waktu itu. Akhirnya apabila saya tamat belajar, saya tidak pun bekerja dalam bidang perbankan. Maklumlah pada ketika itu juga,  nak dapatkan kerja memang sukar, Alhamdullillah tidak lama mencari,  akhirnya dapatlah saya bekerja sebagai kerani jualan dan perakaunan di dua buah syarikat gergasi di  Petaling Jaya. Syukurlah juga kerana walaupun sekadar bekerja sebagai kerani, dapatlah juga saya  mempunyai duit poket sendiri tanpa menyusahkan kedua ibubapa . Waktu tu umur pun masih muda dan keinginan untuk menyambung pelajaran dalam bidang kewangan  juga meluap-luap. Akan tetapi  perancangan Allah telah menemukan jodoh saya terlebih dahulu dalam usia saya 23 tahun. Setelah berkahwin, saya hanya sempat bekerja selama  2 tahun sahaja sebelum saya meletakkan jawatan untuk pekerjaan saya yang terakhir dan terus bergelar surirumah sepenuh masa yang mempunyai  2 orang anak yang masih kecil ketika itu.


Tahun-tahun awal duduk di rumah saya rasa sangat selesa kerana dapat menguruskan anak dan rumahtangga sendiri. Akan tetapi lama-kelamaan saya terpanggil untuk memulakan satu perniagaan kerana saya ingin mempunyai pendapatan sendiri. Pada  saya ketika itu, sekurang-kurangnya saya mempunyai pendapatan sendiri dimana saya boleh beli apa yang saya mahukan tanpa menyusahkan si suami pula. Itulah saya, mungkin kerana sebelum itu telah terbiasa mempunyai duit sendiri.  Jadi, setelah berbincang dengan suami, perniagaan pertama saya akhirnya berjaya ditubuhkan dimana saya telah mengusahakan Tadika sendiri di samping menjalankan kelas fardhu ain untuk kanak-kanak.  Berbekalkan pengetahuan dan pengalaman yang minima dalam industri ini, saya memilih untuk menjalankan perniagaan Tadika dimana dalam masa yang sama saya dapat juga menguruskan anak-anak sambil dapat berada berdekatan mereka sepanjang masa. . Pada waktu itu, saya telah pun mempunyai anak seramai empat orang.


Mengusahakan Tadika, satu perniagaan yang sangat fleksible pada permulaannya. Seronok, bersemangat dan berkobar-kobar untuk menberikan  didikan  awal supaya kanak-kanak seawal usia boleh belajar asas membaca, menulis dan mengira dengan cepat. Semuanya berjalan lancar sehinggalah saya merasakan begitu banyak ranjau dan duri dalam perniagaan Tadika ini. Manakan tidak,  dalam waktu saya bertungkus lumus memberi pendidikan awal kepada kanak-kanak ini, saya diuji dengan kerenah pekerja dan paling memeningkan ialah cabaran berhadapan dengan pelbagai kerenah ibubapa. Cabaran pahit dan manis saya harungi jua sehingga sampailah ke penghujung genap lapan tahun perniagaan tersebut beroperasi  dan berakhir dengan saya tekad untuk menutup perniagaan tersebut. Bukan kerana tak suka atau tak minat lagi  dengan pendidikan  awal kanak-kanak tapi pada waktu itu saya belum cukup tabah untuk mengharungi  setiap perit dan jerih sebagai seorang  pengusaha Tadika. Walaupunbagaimanapun  selama lapan tahun mengurus dan megendalikan Tadika banyak memberi saya ilmu baru dan pengalaman berharga mengenai dunia pendidikan awal kanak-kanak. Dalam tempoh itu juga saya berkesempatan mengikut pelbagai kursus berkaitan. Alhamdullillah, terimakasih tuhan.


Memetik  kata-kata yang pernah diungkapkan  oleh  saudara Irfan Khairi,  kegagalan adalah guru yang terbaik  yang dapat mengajar kita  untuk bangkit semula. Bila kita gagal bukan bererti kita akan terus gagal bahkan kita perlu susuri semula segala kelemahan dan kesilapan yang pernah kita lakukan supaya ia tidak berulang lagi, bersikap positif dan berusaha  bangkit semula.  Seketika saya kembali semula menjadi sang suri di rumah dalam keadaan tak pasti nak buat apa. Boleh dikatakan, tertekan juga dengan situasi tersebut. Namun, akhirnya pada sekitar tahun 2009 , Allah telah merezekikan saya semula  untuk mencurahkan ilmu, pengalaman dan pengetahuan sebagai  seorang tenaga pengajar kemahiran di salah sebuah kolej kemahiran swasta. Jawatan saya pada ketika itu dipanggil Pegawai Penilai untuk program Sijil Kemahiran Malaysia (SKM)   dalam bidang  ‘Childcare Provider’ . Satu program kemahiran untuk asuhan kanak-kanak  yang pertama kali saya dengar pada waktu itu . Rupanya ia merupakan  satu program kemahiran yang baru diwujudkan di bawah Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia. Bermulalah episod   saya di  kolej ini. Walaupun saya bukan lagi pemilik sebuah perniagaan, tetapi sekali lagi saya sangat seronok memberi khidmat di sini. Pelajar saya kebanyakannnya terdiri dari pelajar perempuan lepasan SPM.  Saya dengan  sepenuh hati menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diberi apatah lagi minat saya memang telah sedia tertumpu sebelumnya dalam  bidang ini.


Dari seorang Pegawai Penilai saya dilantik pula sebagai ketua untuk program. Di samping itu saya turut  telah diberi peluang untuk mengikuti pelbagai kursus  untuk peningkatan diri dan kerjaya saya dalam bidang ini iaitu asuhan dan didikan awal kanak-kanak. Hingga kini saya sendiri tak ingat berapa banyak kursus yang telah saya hadiri. Antara pengalaman berharga yang saya perolehi ialah saya berpeluang mengendalikan  verifikasi akhir untuk pelajar kolej kemahiran  seumpama yang lain , menjadi panel kurikulum standard kemahiran  dan panel pembangunan soalan kemahiran bagi bidang asuhan dan didikan awal kanak-kanak.  Sesungguhnya  pada ketika itu, saya sayang dengan apa yang saya lalui di sini. Saya turut juga berpeluang menyelaras kursus Asuhan dan Didikan Awal kanak-Kanak PERMATA , turut menjadi jurulatih dan juga fasilitator kepada kursus tersebut. Kursus Asuhan dan Didikan Awal Kanak-Kanak PERMATA iaitu sebuah kursus dibawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)  yang diwajibkan kepada semua yang ingin mengusahakan Taska  dan bekerja di  Taska. Seperkara lagi saya juga telah diberi amanah untuk membantu menubuhkan serta menyelia  sebuah  Taska di kolej  tempat saya bekerja. Banyak betul tugas saya di sini. Tapi terus rterang  saya katakan yang saya memang suka dengan karier saya ini. Alhamdullillah, syukur juga ya Allah, hasil dari pengalaman dan ilmu saya melebihi sepuluh tahun dalam bidang ini, saya akhirnya telah didaftarkan sebagai Pakar Pengajar di dalam Direktori Pakar Industri Negara (DPIN) Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia.


Sesungguhnya banyak betul pengalaman yang saya perolehi di sini. Terimakasih tidak terhingga kepada puan pengurus kolej kerana memberi peluang kepada saya mempertingkatkan diri dalam bidang ini . Jasamu akan saya ingati. Namun, semua orang ada matlamat dan keinginan baru dalam kehidupan. Kita mesti berfikir untuk terus memajukan diri sendiri . Saya perlu ada wawasan untuk menjana pendapatan di masa depan yang berterusan.  Secara tiba-tiba saya terfikir saya ingin berbuat sesuatu yang baru untuk diri saya sendiri. Saya ingin mencapai kejayaan tersendiri . Bertolak dari situ, saya mula mencari buku dan ebook mengenai perniagaan internet.  Saya juga suka menghadiri seminar berkaitan perniagaan internet ini., Saya suka membaca kisah-kisah motivasi dan inspirasi jutawan internet , sambil sering berkata pada diri sendiri , saya ingin jadi seperti mereka. Tanpa disedari saya sangat meminati perniagaaan internet ini dimana saya bercadang untuk menjadikan bidang yang saya ceburi sebagai satu pilihan  untuk menjana pendapatan melalui perniagaan di atas talian. Lalu kali ini saya sangat teruja untuk menulis ebook . Sememangnya, sedari dulu,  saya memang minat untuk menulis tapi sayangnya tak kemana pun, sekadar  menulis untuk tatapan dan kepuasan diri sendiri sahaja. Saya mengikuti perkembangan pakar perniagaan internet saudara Irfan Khairi . Saya mula meminati beberapa jutawan internat seperti En  Jamal sifubads dan Ammar Zahar. Saya menjadi teruja membaca  mengenai kisah bagaimana mereka boleh menjadi jutawan hanya dengan menulis ebook. Lalu sekali lagi saya terfikir, untuk menggunakan internet bagi menjalankan perkhidmatan dan menghasilkan produk fizikal maupun digital melalui kepakaran saya dalam bidang asuhan dan didikan awal kanak-kanak ini.  Akhirnya inilah antara idea perniagaan yang ingin saya jalankan kini:


1.       Menjual ebook penubuhan dan pengurusan Taska dan Tadika
2.       Menjual ebook aktiviti dan rancangan mengajar di Taska
3.       Menjual ebook idea menyediakan bahan permainan kanak-kanak.
4.       Perkhidmatan penubuhan Taska & Tadika
5.       Perkhidmatan pengiktirafan persijilan kemahiran.
6.       Seminar dan kursus berkaitan asuhan dan didikan awal kanak-kanak

Banyak betul  idea yang saya fikirkan,  masaalahnya ilmu saya belum cukup banyak dan luas dalam perniagaan internet ini . Saya masih harus terus belajar dan memahami. Masih terlalu banyak lagi ilmu perniagaan internet ini yang saya kurang faham. Sebenarnya agak sukar juga nak faham sebab semuanya agak baru bagi saya. Blog, Affiliate, FB Adv , forum group dan lain-lain  semuanya baru saja mula menjengah dalam kehidupan saya. Saya memang perlu dan sangat perlu untuk terus belajar. Hingga saat ini rasanya saya telah berkorban wang simpanan saya bagi membeli ebook, mengikuti seminar dan kelas bimbingan online. Terbaru entah bagaimana saya terjumpa kelas penulisan blog secara online ini lalu saya tidak teragak-agak lagi untuk mendaftar. Harapan saya semuga kelas penulisan dan bisnes online ini boleh memberi ruang dan nafas baru untuk saya memulakan apa yang saya inginkan ini. Mudah-mudahan dapat menambah serta menguatkan lagi kefahaman yang telah sedia ada.


Seterusnya untuk menjayakan perancangan saya ini, saya terfikir untuk melepaskan semua jawatan saya sekarang ini. Kenapa? Saya mula memikirkan inilah masanya yang sesuai untuk saya lepaskan jawatan saya. Keadaan persekitaran dan situasi semasa kini di kolej  kini seolah mendorong saya untuk beria-ria  melepaskan jawatan saya dan seterusnya memulakan apa yang saya rancangkan. Mungkin tidak semudah itu. Selama hampir tujuh tahun di kolej, telah terbiasa menerima gaji hujung bulan, kali ini, jika saya lepaskan segalanya, saya perlu berusaha untuk mencari pendapatan sendiri semula.   Puaslah saya berfikir dengan sebaiknya. Tanpa disedari , walau dulu saya kata saya seronok bekerja di kolej, tapi hakikatnya saya masih seorang pekerja yang tetap tertakluk kepada pelbagai syarat dan peraturan kerja. Selari dengan peningkatan usia  saya mula ingin merasai kebebasan bekerja sendiri, menjadi boss dan kuli pada diri  sendiri. Saya benar-benar ingin bebas kini.Saya selalu bertanya dan berdoa dalam hati memohon kepada  Allah supaya  tetapkan hati saya dan tunjukkan pada saya  seterusnya jalan dan cara  yang harus saya lalui. Saya benar-benar  tekad untuk berhenti. Saya ingin memulakan perniagaaan saya sendiri semula dan saya akan mulakan ia di rumah saya sendiri. Kalau orang lain boleh, mengapa tidak saya. Sebagai permulaan, saya telah pun mencuba untuk menghasilkan blog dan fanpage saya sendiri. Selain dari itu, saya sudah mula menulis satu ebook yang bertajuk Panduan perniagaan  dan pengurusan Taska.



Secara rasminya pada waktu catatan pengenalan diri ini ditulis,   saya belum melepaskan jawatan saya tetapi saya telah memaklumkan kepada pihak pengurusan hasrat saya ini. Saya berkata pada diri saya insyallah apa yang saya kata akan saya tetap akan saya kotakan. Insyallah, sepertimana orang lain yang mengambil keputusan untuk berhenti bekerja, saya juga yakin rezeki kurniaan Allah  itu maha luas  dan ada dimana-mana,  cuma kita sebagai hamba perlu untuk berusaha  mendapatkannya. Semuga Allah memudahkan urusan saya kini akan akan datang. Semuga saya terus suksess berusaha semuanya demi untuk keluarga tercinta.  Biarlah perit  dan jerit mencari rezeki saya kongsi bersama si suami demi untuk kesejahteraan kewangan keluarga dan anak-anak yang kian membesar. Insyallah saya pasti boleh lakukan. Sekian dari saya Nor Azura Ismail. 

No comments:

Post a Comment