Pages

Thursday, 23 April 2015

Diari kisah si kecil - sebelum kami pergi

Nama : Nor Azura Ismail
Catatan : Nor Azura Ismail
Emel : pnnorazuraismail@gmail.com
Foto : Carian Google

Dimanakah kami? Dimanakah kami?

Mengapa tiada tangan-tangan mesra yang menyambut kedatangan kami? Mengapa sunyi dan sepi sahaja di sekeliling kami? Mengapa kami dibiarkan kesejukan begini tanpa sesuatu menutupi tubuh kecil kami? Baru sebentar tadi kami meronta-ronta untuk keluar dari dunia kandungan ibu, tidak sabar-sabar untuk menjengah dunia ini. Paling kami tidak sabar ialah untuk menatapi wajah insan yang sudi menumpangkan kami di dalam perutnya dan tidak sabar pula ingin berada di dalam pelukan kasihnya.  Kami hairan, mengapa tiada insan  menangis kegembiraan menerima kelahiran kami  sebentar tadi? Mengapa tiada kedengaran suara seorang lelaki melaungkan azan di telinga kami?

Persoalan demi persoalan menghujani  fikiran kami yang kecil dan lemah ini. Sebenarnya kami sendiri tidak mengetahui jawapannya. Buat masa ini, yang  kami tahu, kami kesorangan di sini, di bumi Tuhan yang masih asing dan baru bagi kami ini. Mana ibu? Mana ayah? Mana insan-insan yang sepatutnya bertungkus lumus menyambut kelahiran kami?

Mungkin juga kami datang tanpa diundang dan mungkin sebentar lagi kami akan kembali semula tanpa sesiapa pun mengiringi kami. Mungkin cuma sebentar lagi dan  kami akan  kembali semula ke tempat asal kami datang. Jika itu yang terbaik untuk kami maka kami redha dan pasrah menerimanya.

Sebelum kami pergi, dalam tangisan dek kerana gelap, sejuk dan tidak selesa, kami sempat membayangkan keindahan hidup sebagai si kecil penghias kebahagiaan dua insan yang bergelar ibu dan ayah. Kami terus terbayang betapa hari demi hari, minggu demi minggu dan bulan demi bulan kami akan terus melalui setiap tahap perkembangan seorang bayi.  Pada setiap tahap kami terus belajar dan berkembang untuk menjadi seorang insan yang sempurna. Dari hanya berbaring kami akan mula menggiring, selepas itu meniarap, merangkak, duduk dan langkah demi langkah kami akan boleh berjalan. Alangkah indahnya hidup bertemankan gelak tawa seisi keluarga.  Namun sebentar lagi, semuanya hanya tinggal angan-anagn kami sahaja. Kami tidak mungkin akan diberi keizinan untuk melalui zaman kanak-kanak kami. Hak kehidupan kami telah dinafikan. Sedihnya.

Tidak mengapa,kami yakin dan teramat yakin, Tuhan bersama dengan kami.  Sebelum kami pergi dari dunia yang asing buat kami ini, cubalah dengarkan sebentar cetusan rasa hati kami.

Siapa kami?
Kami sama seperti anak-anak kecil yang lain yang telah ditakdirkan Tuhan lahir ke dunia untuk meneruskan serta menikmati kehidupan di dunia ini. Sama juga seperti si kecil yang lain, kami lahir dari perut seorang manusia yang bergelar ibu? Kami juga sayangkan ibu-ibu kami. Kami sebenarnya telah dipilih Tuhan menjadi insan istimewa.  Selama dalam kandungan ibu lagi kami telah banyak belajar tentang arus getir kehidupan ini.

Selama  sembilan bulan di dalam kandungan ibu. kami amat mengenali dan memahami ibu kami. Oleh kerana kami istimewa maka  ibu kami  juga berbeza dari ibu-ibu yang biasa. Kenapa? Jawapannya ialah kerana sepanjang bersama ibu  di dalam kandungan,  kami dapat merasakan gelombang perasaan ibu. Seperti ada yang tak kena pada ibu. Kami selalu dapat merasakan tangisan dan rintihan ibu. Ada kesedihan yang berpanjangan jauh di sudut hati ibu sehingga kami  juga turut merasai. Akibatnya  perasaan kami jua sering  terganggu ketika di dalam perut ibu. Kami memang tidak tahu mengapa ibu sedih selalu.

Apa yang kami tahu, kami telah ditakdirkan menumpang di perut ibu. Terimakasih wahai ibu yang telah bersusah payah mengendong kami di dalam perutmu  setiap waktu dan ketika.  Terimakasih kerana telah bersusah membesarkan  kami dalam kandungan ibu. Sungguh kami tidak banyak kerenah kerana kami tahu kesedihan dan penderitaan jiwa  ibu. Dan begitu juga kelahiran kami, telalu mudah buat ibu.

Kami juga sama seperti si kecil yang lain, kami inginkan seorang ayah. Tapi, kedengaran ibu selalu marah pada seseorang sehingga kami sendiri tidak jelas dan tidak pasti adakah kami juga mempunyai ayah.  Benar, kami tidak  tahu.

Aduhai, sepinya hati. Apalah yang dapat kami lakukan dalam keadaan serba lemah dan serba tidak tahu ini. Tanyalah pada seisi langit dan bumi, pada kegelapan dan kesunyian malam yang mendengar tangisan kami tanpa henti- henti ini. Hanya itu yang kami tahu buat. Menangis dan menangis supaya ada insan yang terdengar tangisan kami. Aduh rasanya telah lama berlalu tapi kami masih di sini lagi, di tempat sunyi dan gelap. Kami terus  tidak pasti di mana kami.

Tangisan kami kian perlahan, makin perlahan  dan terus lemah. Akhirnya, kami terdiam seketika kerana rasanya tiada kudrat lagi untuk kami menangis. Ah, biarkanlah, biarkan kami pergi. Seketika  kesejukan  dan kedinginan malam mula menggigit tubuh kecil kami. Terasa bisa dan sejuk sekali.

Rasanya telah kian tiba masa itu. Sebelum kami pergi dan memejamkan mata kami buat selamanya, sekadar pesan kami buat ibu yang sudi melahirkan kami. Terimakasih kerana mengizinkan kami menjadi sebahagian dari diri ibu. Tuhan sahaja yang tahu bagaimana kami ketika bersama ibu di dalam kandungan. Walaupun ibu selalu sedih, tapi kami tetap tenang dan damai di dalam kandungan ibu. Walau apa berlaku, kami tetap sayangkan ibu. Setiap detik kami sama-sama dapat  merasakan denyutan nadi ibu. Memang ada getaran di hati ibu. Antara rasa bersalah, kekesalan kekecewaan dan ketakutan. Kami turut merasa semua itu wahai ibu.

Sebelum kami pergi, duhai ibu, andai kegusaran hati ibu menunjukkan kesilapan ibu dalam meniti kehidupan ini, kembalilah ibu ke pangkal jalan. Walau ibu mungkin bersalah, bertaubatlah. Bukanhkah Tuhan Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Bukankah Dia  Maha menerima taubat hambaNYa. Insaflah ibu. Tidakkah ibu teringin untuk berjumpa dan bersama-sama  dengan kami di negeri abadi kelak. Tidakkah ibu teringin mendengar kami memanggil nama ibu kelak?

Seketika bayangan syurga kian menghampiri kami. Terdengar sayup-sayup suara memanggil kami pergi. Sebelum kami pergi, sedikit pesanan akhir kami, jka ada si kecil lain yang senasib dengan kami, wahai insan, izikanlah mereka merasai nikmat  bernafas di muka bumi ini. Izinkan mereka membesar menjadi anak soleh dan solehah. Mereka juga ingin merasai kehidupan seperti insan lain. Bukankah kehidupan hak yang telah diberikan Tuhan kepada hambaNya.

Dalam kegelapan dan kedinginan  ini, tiada lagi tangisan kami. Kami sudah tidak peduli apa yang datang menggigit kami. Tiada insan yang sudi bersama kami lagi. Hanya sang nyamuk dan sang semut  yang menghampiri kami seperti ingin mengiringi pemergian kami.  Apa yang terdaya kami lakukan, biarkan sahaja.

Dalam kesamaran kami terus tenang dan damai. Lalu kedengaran Tuhan menjanjikan kebahagiaan buat kami di sana. Kami perlu pergi buat selamanya dan tak akan kembali lagi. Biarlah kami dinafikan untuk merasai kenikmatan hidup di atas muka bumi ini kerana sesungguhnya  Tuhan  telah menjanjikan kebahagiaan lain yang  tidak terhingga kepada kami di sana.


 Selamat tinggal semua. Semuga berjumpa lagi wahai ibuku. Kami tunggu ibu di sana.

1 comment:

  1. Dalam permainan poker dan domino 99 online membutuhkan banyak strategi untuk menang,
    memanfaatkan kartu bagus, ronde, waktu, taktik mengertak dan menipu lawan anda.
    seperti dalam semua varian poker, setiap individu bersaing untuk sejumlah uang atau chip yang diberikan oleh para pemain,
    dengan proses pembagian kartu secara acak. (PIN BBM: 7AC8D76B)

    ReplyDelete