Pages

Saturday, 11 April 2015

Tip kendali anak takut tidur seorang diri

Nama: Nor Azura Ismail
Foto : Carian Google
Entri 13



Anda mempunyai anak yang takut untuk tidur seorang diri? Jom saya kongsikan beberapa tip kendali anak yang takut tidur seorang diri ini. Sebelum itu, cuba anda baca masalah anak di bawah ini.
Ahmad, anak bongsu dalam keluarganya,telah  berumur  5 tahun  tetapi bila tidur malam mesti tidur bersama di dalam bilik ibubapanya. Memang sejak dari bayi Ahmad tidur bersama ibubapanya akan tetapi bila menginjak umur  4 tahun,  ibubapanya telah mula melatih Ahmad untuk tidur berasingan dari mereka. Puas di suruh tidur bersama dengan abang-abangnya, Ahmad tetap merengek untuk tidur di bilik ibunya. Bukan sekadar di bilik ibunya bahkan dikatil ibubapanya.

Ini pula kisah anak saya Aqil yang akan berumur 6 tahun pada  bulan Oktober tahun in. Aqil telah berjaya tidur di bilik yang disediakan untuknya. Akan tetapi Aqil mempunyai kerenah  suka  pindah tidur di bilik saya jika dia terjaga di tengah malam. Jika saya  telah mengunci pintu bilik, dia akan bertalu-talu mengetuk pintu bilik meminta saya membuka pintu. Sesekali jika pintu bilik saya  tidak dikunci, tanpa disedari tiba-tiba sahaja  Aqil sudah berada di atas katil di sebelah saya.
Bagi  anda yang mempunyai masalah yang sama dengan anak anda seusia Ahmad dan Aqil, apakah anda rasa selesa anak-anak yang semakin besar itu tidur berhimpit bersama anda dan suami di atas katil? Atau mungkin anda mengambil pendekatan, biarkan anak tidur dahulu bersama anda, bila dia telah tertidur perlahan-lahan anda akan pindahkan anak ke biliknya. Adakah cara ini akan menyelesaikan masalah anak anda? Bagaimanakah cara yang sesuai untuk anda kendali anak takut tidur sendiri?

 Seharusnya apabila anak semakin besar, mereka perlu dilatih tidur berasingan tempat dari ibubapanya. Untuk memudahkan, ibubapa  harus melatih anak sejak kecil untuk tidak tidur bersama ibubapa bahkan tidak pula bermain-main dalam bilik ibubapanya. Mungkin anda boleh mula pada usia anak 3 atau 4 tahun. Terpulang pada anda.

 Dalam adap dan akhlak Islam sangat menyarankan agar seseorang anak  mengetuk dahulu pintu bilik tidur ibubapa jika mahu masuk apatah lagi di waktu-waktu tertentu. Anak-anak tidak digalakkan untuk bermain-main dan masuk sesuka hati dalam bilik tidur ibubapa tanpa kebenaran. Jadi, biarlah dari kecil kita didik dan latih anak ini supaya mereka faham kelak.

Untuk mengatasi atau untuk kendali anak takut tidur seorang diri, apakata anda cuba tip yang saya kongsikan disini.

ANAK  TAKUTKAN HANTU?
Pertama sekali anda perlu kenalpasti mengapa anak takut  tidur sendiri. Berkemungkinan besar  kerana anak ini takut kepada hantu?  Kenapa anak takut hantu? Siapa yang memperkenalkan hantu kepada jiwa anak-anak yang suci bersih ini?
Adalah perlu anda sebagai ibubapa menggelakkan dari bercerita kisah hantu kepada anak-anak. Juga, elakkan anak-anak kecil  terlalu kerap menonton cerita atau filem hantu di kaca tv atau dalam VCD. 

Dalam kebanyakan hal, seperti sudah menjadi kebiasaan ibubapa suka menakutkan anak dengan hantu atau selalu di sebut momok . Pernah terdengar percakapaan seperti  ini oleh seorang ibu kepada anak yang yang baru berusia 3 tahun?

“ Jangan main kat luar, hah nanti momok datang tangkap, eeeee  takutnya, jom cepat masuk rumah”

 Jadi, anda sendiri sebenarnya yang telah menanamkan perasaan  takut dalam diri anak-anak. Bila anak-anak selalu didedahkan dengan kisah hantu, anak akan menjadi seorang yang  penakut dan tiada keyakinan diri. Kadang-kadang di waktu siang terang benderang pun anak-anak akan takut. Oleh itu, berhentilah  berkongsi cerita hantu dengan anak-anak kecil.

Sebaliknya katakan pada anak-anak bahawa tiada hantu yang wujud di atas muka bumi Allah ini. Yang  ada cuma syaitan yang sering menakukan dan menipudaya manusia. Sebagai pilihan, ceritakan pula pada anak-anak kisah kebesaran Allah atau kisah-kisah tentang Malaikat dan juga Rasul. Bukankah lebih baik begitu?

ANAK TAKUT GELAP
Jika anak takut gelap,sekali lagi,  mungkin anak anda juga dipengaruhi oleh kisah hantu. Jadi, bila setiap kali anak hendak tidur, apakata anda temankan anak seketika. Duduk disebelah anak dan bacakan buku cerita yang menarik kepada anak-anak. Usap kepala anak sambil bacakan doa tidur kepada anak. Minta anak baca doa sekali.

Maksud doa tidur, Dengan namamu Ya Allah, aku hidup dan aku mati.

Beritahu pada anak secara lembut bahawa anak tidak perlu takut. Anak bukan tidur seorang diri tapi tidur satu bilik  bersama abangnya. Lagipun beritahu pada anak, yang Allah sentiasa ada melihat dan sentiasa bersama anak. Allah sentiasa menolong kita jadi anak tidak perlu takut.

Sebagaimana anda selalu menerapkan cerita hantu dalam minda anak-anak begitu jugalah kita harus tukar dengan menerapkan pula kisah-kisar kebesaran Allah, Malaikat dan Rasul  kepada anak-anak. Hiasi jiwa dan minda anak-anak anda dengan kisah berhemah yang positif. InsyAllah sangat membantu anak-anak membentuk imej keperibadiaan yang baik dan positif juga.

Jangan lupa juga . beritahu pada anak-anak, bila mereka telah tidur kelak,  anda akan tinggalkannya dalam bilik tersebut untuk tidur bersama abangnya. Pasangkan lampu tidur untuk menggelakkan daripada gelap atau anda boleh buka sedikit pintu bilik tidurnya.

Sebagai latihan berterusan, bila anak hendak tidur di waktu tengahari suruh anak tidur di bilik yang ditetapkan bukan di bilik anda. Sentiasa banyak bersabar menghadapi kerenah anak anda. Elakkan  daripada memarahi anak ketika anak hendak tidur. Sebaliknya ucapkan kata-kata yang positif kepada anak ketika dia hendak tidur. Jangan lupa untuk sealu puji anak bila dia sudah berjaya tidur sendiri. Sesekali beri ganjaran kepada anak atas sebab kejayaannya tidur dibiliknya sendiri.

Akhir sekali jangan lupa juga untuk mendoakan anak-anak anda ya.


No comments:

Post a Comment