Teks : Nor Azura Ismail.
Pendidikan awal ialah pendidikan akhlak? Betul ke? Bukan ke pendidikan
awal ialah pendidikan untuk inginkkan anak-anak cepat pandai membaca, menulis dan mengira? Biasanya
inilah harapan ibubapa yang menghantar anak seawal usia ke pusat-pusat
perkembangan anak-anak.
Menurut pendapat ahli pendidikan, pada peringkat umur anak 3 – 7 tahun, pendidikan utama yang perlu
diterapkan dan didedahkan kepada anak-anak ialah pendidikan yang membina
sahsiah, jiwa dan akhlak anak dan seharusnya menjadi tanggungjawab ibubapa itu
sendiri.
Para ilmuwan juga berpendapat bahawa bimbingan dan tunjukajar mengenai akhlak serta adap sangat pentig
diberi kepada anak-anak semenjak dari
kecil lagi kerana di peringkat ini tingkahlaku mereka mudah dibentuk maka bentuklah tingkahlaku dengan acuan yang
baik sejak kecil lagi.
Keluarga adalah institusi yang paling dekat dan berkesan
serta penting dalam mendidik dan mencorakkan sahsiah yang baik pada diri
anak-anak. Ibubapa pula adalah insan yang
paling mampu memberi didikan terbaik
untuk anak-anak kerana adanya fitrah kasih sayang dalam diri ibubapa terhadap
anak-anaknya.
Berdasarkan beberapa fakta di atas, pada pandangan saya memang
benarlah pendidikan utama untuk anak-anak di awal usia sekitar 3 – 7 tahun ini adalah seharusnya pendidikan
yang membina akhlak, sahsiah , jati diri, keperibadian serta moral diri
anak-anak apatah lagi di zaman serba berteknologi dan semuanya hanya di hujung jari.
Jadi, sejauh manakah
kita sebagai ibubapa mengambil berat dan sedar akan perkara serta situasi ini.?
Adakah kita telah mengambil tanggungjawab dan berlumba lumba untuk menggunakan tangan
dan kudrat kita sendiri dalam memberi pendidikan sahsiah dan kerohanian yang terbaik untuk
anak-anak? Adakah kita menjadikan
keutamaan pendidikan berbentuk ini kepada anak-anak?
Hakikatnya apa? Hakikatnya , tanpa kita sedari kita telah berlumba-lumba untuk memberikan pendidikan
akademik kepada anak-anak biarpun anak kita sekadar berusia 3 tahun. Memasuki sahaja
umur anak 3 tahun maka kita akan sibuk memilih TADIKA yang terbaik untuk
anak-anak dengan harapan anak akan cepat pandai membaca, menulis , mengira dan
menguasai ilmu tertentu seawal usia. Objektif utama ibubapa menghantar anak ke TADIKA ialah untuk anak pandai dan bukan untuk yang lain-lain. Maka akan banggalah kita dengan pencapaian anak-anak.
Anak-anak tahu apa? Mereka sebenarnya hanya tahu seronok dan
tahu nak main. Anak-anak diusia 3 tahun suka kalau dapat baca doa
beramai-ramai, suka ikut ikut ibubapa kerjakan solat, suka sangat kalau kita
ajar mereka tentang adap. Senang sahaja mereka nak ikut perkara-perkara baik
yang kita ajar. Tapi, anak-anak seperti terpaksa bila ibubapa sibuk hantar
anak-anak ke kelas-kelas tertentu, sibuk latih tubi anak-anak membaca buku,
sibuk minta anak siapkan pelbagai buku-buku tugasan walaupun anak-anak sekadar
berusia 3, 4, 5 tahun ? Dan bila nampak hasilnya pada anak-anak, maka akan
berbanggalah kita. Itulah realitinya.
Pada saya, bersederhana sahajalah dalam memberi pendidikan
akademik pada anak ketika anak dalam usia 3 ke 7 tahun, jangan di paksa-paksa,
Jangan marah anak kalau tak dapat A ketika baru di tahun satu. Masih banyak
peluang menunggu mereka. Biarkan mereka
puas dengan dunia anak-anak mereka. Isikan ruang usia muda mereka dengan didikan membina akhlak dan sahsiah diri.
Saya pernah membaca satu fakta di Jepun yang mangatakan
bahawa di sekolah mereka tidak menekankan akademik atau memberi homework kepada anak-anak sehingga usia anak 10 tahun. Apa yang ditekankan ialah pendidikan
akhlak anak-anak. Mereka bina dulu teras dan benteng dalam kehidupan anak-anak.
Bina keperibadian anak grade A, maka
anak-anak akan membesar sebagai insan yang berperibadi A juga. Itu di Jepun, di negara kita pula , macamana?
Kalau mengikut pengalaman saya sendiri, saya juga kurang menekankan pendidikan akademik ketika
anak di awal usia @ di bawah 10 tahun. Saya tak marah kalau anak-anak kurang
menunjukkan prestasi baik di sekolah
dalam akademiknya . Apa yang saya buat cuma bagi galakan sahaja. Suami
saya pula tak lah melenting bila anak
tak dapat A dalam pelajarannya sebaliknya akan
marah jika anak-anak leka untuk solat sedari umur mereka 7 tahun lagi. Yang paling ketara, kebanyakan anak-anak saya yang telah remaja
kini, hanya mula menunjukkan prestasi dalam pelajaran akademiknya setelah
bersekolah menengah. Ketika itu mereka dah mula matang untuk berfikir dan
berlumba dalam pembelajarannya. Ada juga akanak-anak saya yang lebih cenderung
kepada kemahiran berbanding akademiknya.
Kesimpulannya, pada pandangan saya, anak-anak yang masih
kecil, usahlah dipaksa dan dibebankan dengan pendidikan akademik di awal usia.
Biarkan anak puas main. Jangan stress kan anak-anak awal usia dengan bebanan
belajar. Biarkan mereka dengan kerja
hakiki mereka iaitu bermain. Mereka sebenarnya belajar banyak perkara sambil
bermain. Mereka mendapat ilmu melalui pengalaman bermain. Sambil main sambil
berikan didikan akhlak kepada anak-anak . Itu yang paling baik. Insyallah
anak-anak akan membesar bersama teras jiwa yang kental, sahsiah dan jati diri
yang positif walaupun mungkin anak-anak
kurang berjaya dalam pendidikan akademiknya. Yang utama, pendidikan awal ialah pendidikan akhlak.
Perlu diingat juga bahawa kejayaan anak-anak tidak seharusnya
diukur dari pencapaian akademik semata, mungkin anak-anak boleh juga berjaya
dalam kemahiran tertentu maupun dalam
kehidupan peribadinya kelak. Banyakkan berdoa
untuk kejayaan anak-anak. Dan kejayaan yang utama ialah bila anak-anak
dapat meneruskan kehidupannya bersama akhlak,
keperibadian dan sahsiah diri yang terserlah. Itulah benteng utama yang menyelamatkan
kehidupannya dan bakal membahagiakan
kita sebagai ibubapanya kelak.
Semoga anak-anak adalah rezeki yang terbaik buat kita.
Jom, dapatkan Ebook Panduan Mendidik Anak ini, baik untuk
menambahkan ilmu keibubapaan anda.
RM 30. Klik DI SINI
No comments:
Post a Comment