Pages

Monday, 22 July 2019

Amalan ziarah orang sakit


Oleh : Nor Azura Ismail
pnnorazuraismail@gmail.com


Apakah perkongsian ibrah kita hari ini? Ya, cer kita intai amalan ziarah orang sakit. Apa ibrahnya.
Mudahan dengan berziarah ini, dapat juga menginsafi diri kita yang sedang diberi nikmat sihat ini.

Tengahari tadi usai 'lunch hour' di ofis, saya berkesempatan ziarah orang sakit. Ibu kepada salah seorang staff di tempat kerja saya.

Dikhabarkan sebelum itu, ibunya sakit dan sukar untuk bangun. Hanya berbaring lesu di atas katil pesakit. Dipakaikan lampin pakai buang tapi dah melecet di semua bahagian berkaitan. Sakitnya bercampur-campur, telah tiada daya dan kekuatan lagi. Hanya mengharap kudrat belas anak-anak.
Kesian...


Patutlah Islam menganjurkan kita ziarah orang sakit. Mungkin asbab dari itu bakal terlahir rasa insaf.


Amalan menziarahi orang sakit adalah hak yang mesti ditunaikan buat orang yang sihat. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Hak seorang Muslim terhadap seorang Muslim yang lain ada lima iaitu menjawab salam, menziarahi yang sakit, mengiringi jenazahnya ke perkuburan, menerima undangan dan mendoakan orang yang bersin.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)​

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Ada lima perkara yang barang siapa melakukan salah satu daripadanya, ia akan menjadi jaminan terhadap Allah iaitu sesiapa yang menziarahi orang sakit atau keluar mengikuti jenazah, atau pergi untuk berperang atau mengiringi imam yang ingin​ men-hina atau mencederaka-nya atau berdiam di rumah sehingga orang ramai terselamat daripada kejahatannya dan dia sendiri juga selamat daripada kejahatan mereka.” (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Masya-Allah, seumpamanya diri saya...
tersentuh juga naluri hati saya yang melihat. Saya tahan rasa kelopak airmata yang ingin membasahi. Si ibu yang terlantar ditatang dijaga sepenuh hati.

Seketika saya melihat wajah anak-anak si ibu seolah berseri-seri dalam rahmat Allah. Sangat bertuah sang ibu itu memiliki anak-anak perempuan yang tabah menyantuni sang ibu yang sakit. Baik sahaja mereka berbincang mencari solusi tentang ibunya. Si ibu yang bukan sahaja sakit, katanya akhir-akhir ini dah mula pula buat pelbagai kerenah. Selalu juga menguji kesabaran anak-anak. Namun setia sahaja mereka menghadapinya.
"Ngah, angah mana..?
Suara si ibu tenggelam timbul memanggil anaknya perlahan. Tangannya mengapai ingin dipegang mungkin.


Cepat sahaja si angah datang menghampiri ibunya. Tangan sang ibu dipegang seolah mengerti hasrat si ibu. Badannya direndahkan ke tempat si ibu berbaring. Telinganya dirapatkan ke ibunya, ingin mengamati apa yang ingin dicakapkan oleh sang ibu.


Saya tak kenal rapat dengan keluarga ini, dan tentunya saya bukan duduk melihat bagaimana mereka adik beradik menyantuni si ibu yang sakit dan sering merenggek laksana anak kecil itu. Tapi sekilas memandang, setaut rasa saya melihat jutaan keikhlasan di hati adik beradik yang bergilir menjaga si ibu itu tanpa jemu. Teingat arwah ibu saya.  Terkenang arwah mak mertua saya. Keduanya pun memberi peluang pahala untuk direbut oleh anak-anak tika mereka sakit.
Masya-Allah, saya terkedu..! rasanya sedikit sangat bakti saya buat kedua-dua insan ini. Otak saya bercelaru memikir cerita lalu.


Benarlah kan...
Anak-anak mana yang akan tulus menjaga kita kita kelak tika tiba saat kita tidak berdaya nanti!
Adakah anak-anak yang berpangkat dan kaya itu.  Atau anak-anak yang kita sanjung-sanjung kepandaiannya. Atau anak-anak yang berkira kira menjaga kita sambil menghitung-hitung pula mengharapkan balasan harta dunia kita dek kerana menjaga kita. Atau anak-anak yang tulus ikhlas soleh solehah suci murni bersih hatinya dalam menitipkan kasih sayang buat insan bergelar ibu itu.

Wahai Tuhan, kurniakan segala kebaikan kepada hati kami dan hati anak-anak kami.
Al fatihah, buat kedua dua mak saya, semoga tenang abadi di alam sana.

Catatan,
Norazura
Trainer & Fasilitator

No comments:

Post a Comment