Teks : Nor Azura Ismail
Foto : Koleksi Peribadi
Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca
yang budiman,
Masa berlalu begitu cepat sekali sehingga sedar tak sedar
saya telah pun mempunyai empat orang anak yang telah meningkat remaja. Mereka terdiri dari tiga orang teruna dan
seorang gadis remaja. Kali ini saya ingin bercerita sedikit mengenai kisah 4 orang anak-anak remaja saya ini yang kesemuanya sedang belajar dan
tinggal di asrama. Apa yang ingin saya fokuskan dalam kisah ini ialah pengalaman
menghantar anak-anak ini balik ke asrama masing-masing dalam satu hari. Kisah ini ialah coretan cerita saya pada hari
Ahad lepas , 22 Mac 2015 iaitu pada hari terakhir cuti persekolahan suku
penggal pertama baru-baru ini.
Sebelum itu, saya ingin memperkenalkan anak-anak remaja
saya. Yang pertama, Muhammad Nabil Al Hakim sedang mengikuti program Diploma
Multimedia – Animasi di Kolej Kemahiran Tinggi Mara , di Kundur, Negeri
Sembilan. Anak remaja yang kedua ialah Siti Sarah Adibah, sedang mengikuti
pembelajaran dalam Tingkatan 6 di Sekolah Menengah Agama Labu. Anak remaja yang
ketiga pula diberi nama Muhammad Tsaqif
Al Mukmin, sedang belajar dalam Tingkatan 5 di MRSM Pengkalan Hulu, Perak
bersempadan dengan Baling. Manakala anak remaja saya yang keempat ialah
Muhammad Naqib Al Hariz, sedang belajar
dalam Tingkatan 4 di Maahad Ahmadi
Gemencheh. Sesungguhnya mereka berempat
tidaklah jauh jarak usia antara satu sama lain. Bila keempat-empatnya balik
bercuti bersama, banyaklah cerita dikalangan mereka adik beradik. Sebenarnya
saya mempunyai empat orang lagi anak yang berusia di antara 6 hingga 14 tahun.
Tapi kali ini, seperti yang saya maklumkan tadi, fokus kisah saya kali ini
ialah mengenai empat orang anak remaja saya tadi.
Cuti sekolah selama seminggu telah kian hampir
berakhir. Anak-anak remaja saya ini seperti
tidak menunjukkan reaksi seperti tidak sabar untuk balik ke asrama setelah bercuti hampir
seminggu di rumah. Semuanya kelihatan
rilek seperti cuti lama lagi akan
berakhir. Maksud saya di sini sepanjang cuti dan berada di rumah mereka
tidak pun sibuk nak basuh baju atau beli barangan atau buat apa-apa
persediaan sebelum balik termasuklah dalam hal memberi cadangan
atau berbincang mengenai bagaimana
mereka akan balik. Macam saya tulis tadi, semuanya rilek sahaja seperti tidak
mahu balik.Mereka seolah berkata biarlah
ibu dan ayah yang fikir semua perkara itu. Sepanjang di rumah, anak yang
pertama, kerjanya asyik melukis dan
berimiginasi, yang kedua , ulat buku
sikit, jadi kerjanya asyik membaca, menelaah dan menyiapkan tugasan sekolah. Sementara yang
ketiga dan keempat kerjanya pula asyik bermain dan mengusik @ menyakat adk-adik
yang kecil. Riuh sekejaplah rumah saya yang dimana apabila hari biasa
kekurangan ramai penghuni rumahnya.
Untuk makluman rumah saya bukan di kawasan perumahan, sebaliknya ia terletak di
tanah lot dalam kawasan kampong.
Memandangkan keluarga saya yang besar, saya dan suami memang dari awal
telah mencari tanah dan membina rumah sendiri. Semuanya kerana kami mahu
anak-anak di dibesarkan dalam kawasan persekitaran yang luas supaya sewaktu mereka
kecil mereka dapat pelbagai pengalaman sebenar dari persekitaran. Ini sekaligus
dapat menggalakkan perkembangan menyeluruh mereka dari pelbagai aspek
perkembangan kanak-kanak. Jika dalam bidang kanak-kanak, mereka perlukan persekitaran yang kondusif untuk mereka menjalanakan pelbagai aktiviti dunia kanak-kanak dengan meneroka, merasai pengalaman sebenar dan mencuba. Inilah pendekatan yang dapat menyumbang kepada perkembanagn yang positif kepada kanak-kanak.
Berbalik pada kisah yang ingin saya ceritakan, tibalah hari Ahad dimana semua anak-anak ini perlu balik dan
perlu sampai di asrama masing-masing sebelum pukul 6 petang. Seperti biasa, sayalah
insan yang akan sibuk menyusun bagaimana anak-anak ini harus balik. Sememangnya
telah menjadi kebiasaan bagi saya dan suami untuk menghantar sendiri anak-anak
kami ini balik ke asrama. Dari anak yang pertama hinggalah yang keempat, dari
hal persediaan barang yang hendak dibeli, perancangan untuk balik,sehinggalah tiba waktu
untuk dihantar balik, kamilah yang
uruskan. Bukan tidak mahu memberi anak peluang urus semua itu sendiri, tapi anak-anak
seolah seolah-olah yang memberi kami ruang tersebut dan kami seperti merasa yang
anak-anak itu masih memerlukan kami sebagai ibubapa untuk membuat keputusan
bagi mereka. Berbalik semula pada kisah hari
dimana mereka berempat perlu balik, kebetulan malam sebelumnya kami sekeluarga
bermalam di rumah adik saya di Sg Buluh. Nak dijadikan cerita, disebabkan pada
malam minggu itu kami ada program makan malam bersama keluarga, jadi semuanya kepenatan
sehinggalah keesokan hari anak-anak saya menyambung tidurnya semula selepas
dikejutkan dari solat subuh. Jam telah menunjukkan pukul 9 pagi. Saya bergegas
menyuruh semua bangun tapi arahan dan panggilan dari saya entah didengar atau
tidak oleh anak-anak yang masih terpejam matanya ini. Seperti halnya seorang ibu yang suka memberi
arahan berkali-kali, maka berkali kali jugalah saya sergah seorang demi seorang
untuk bangun mempersiapkan diri. Suami saya, seperti perihalnya sikap seorang lelaki, juga kelihatan rilek dan sabar dengan situasi tersebut. Saya melihat jam di dinding rumah adik. Begitu
cepat jarum jam bergerak. Dengan terhegeh-hegeh seorang demi seorang menunggu
giliran untuk mandi seterusnya mempersiapkan diri masing-masing. Saya makin
risau melihat jam di dinding. Sambil dalam hati berkata, masih adakah bas untuk
ke MRSM pengkalan hulu ini? Selalunya
bas pada waktu pagi ialah pada pukul 11 pagi, sedangkan jam sudah menunjukkan pukul 10 pagi.
Sempatkah menuju ke Hentian Jalan Duta
ini, aduh makin pening kepala memikirkan. Saya saja yang kecoh dan kelam kabut
tapi anak saya yang akan balik ke MRSM itu
benar-benar tenang . Semuanya sudah siap, tepat pukul 10. 20 pagi kami bersepuluh
pun keluar dari rumah adik untuk menuju ke Hentian Jalan Duta. Oleh kerana
bilangan kami yang ramai, saya memandu satu
kereta manakala suami pula memandu satu lagi kereta . Maknanya kami sekeuarga
menaiki dua buah kenderaan yang berlainan. Untuk keluar dari kawasan Sg Buluh
saya dan suami tidak berapa mahir jalannya, jadi kami menggunakan aplikasi waze untuk
menjadi penunjuk jalan kami. Kereta saya menyusur kereta suami dari belakang
akan tetapi entah macam mana setelah susur keluar dari tol Jalan Duta kami
telah terpisah. Apa lagi, saya ikut
jalan lain manakala suami saya pula ikut arah lain untuk ke destinasi yang sama
iaitu Hentian Bas Jalan Duta. Saya memandu dalam keadaan kurang tenang apatah
lagi saya memang kurang mahir dengan jalan di sekitar Kuala-Lumpur. Aduh,
memang berpusing-pusing dan sesat dibuat oleh cikgu’waze’ ini. Akhirnya
sampai juga ke Hentian Duta tepat pukul
11 pagi. Tempat untuk parkir kereta pula penuh, maka berlegar-legar sekali lagi mencari parkir. Dalam pada itu, anak lelaki saya yang akan balik MRSM (namanya
Tsaqif) berada di dalam kereta lain bersama suami saya , yang sesat juga dan belum
sampai ketika itu. Setelah dapat parkir,
saya bergegas turun dari kereta dan terus
menuju ke kaunter tiket. Anak-anak lain menunggu di dalam kereta bersama kakak dan abangnya.
Belum sempat tiba ke kaunter tiket, sudah
ada yang bertanya pada saya, ‘kakak nak tiket bas ke mana?’. Lalu saya nyatakan
yang saya mahu membeli satu tiket bas menuju ke Pengkalan Hulu. Kata adik
tiket bas tu, ’ Tiket bas ke pengkalan hulu pukul 11 pagi dah penuh kak, tunggulah kalau ada penumpang lain
yang tak jadi naik.’ Aduh, mana pula
suami saya ini? Sementara itu saya
meninjau –ninjau ke kaunter tiket bas
lain . Rupanya, bas ke Pengkalan Hulu cuma
satu sahaja, yang lain yang berhampiran
ialah bas ke Baling dan juga Sg Petani tetapi semuanya pun sudah kehabisan tiket.
Pengkalan Hulu merupakan sebuah daerah kecil di Perak Hulu
yang bersempadan dengan Baling, Kedah
dan juga Betong, Thailand. Perjalanan
dari Kuala Lumpur menuju Pengkalan Hulu melaiui Gerik cuma mengambil masa selama lebih kurang 6 jam.
Manakala perjalanan ke Pengkalan Hulu
melalui Baling atau Sg. Petani mengambil
masa lebih lama lagi. Berbalik pada cerita tadi, beberapa minit menunggu
kelihatan kelibat suami saya bersama dengan anak saya, Tsaqif
dan adik- adiknya yang lain berjalan menuju ke kaunter tiket tempat saya menunggu. Lalu kami terus
mendapatkan adik tadi. Adik tersebut seperti menghubungi seseorang, akhirnya
berkata, ‘Maaflah kak, bas tak ada yang kosong semuanya dah penuh.’ Jadi, macam mana ni? Hendak dihantar balik jauh sangat sebab kami ada 3
lagi tugas menghantar anak yang perlu diselesaikan pada hari itu juga. Mahu tak
mahu terpaksalah beli tiket bas pukul 11 malam sebab perjalanan cuma ada pagi
dan malam sahaja. Kesian sungguh , maknanya Tsaqif tidak akan sampai sekolah
sebelum pukul 6 petang. Saya sungguh risau tetapi raut wajah Tsaqif selamba
sahaja. Memang budak-budak zaman sekarang ni tak kisah dengan peraturan yang
dibuat oleh sekolah, iaitu kena sampai asrama sebelum atau pada pukul 6 petang.
Akhirnya saya minta suami menghubungi cikgu sekolah untuk memaklumkan bahawa
Tasqif hanya akan tiba di sekolah pada keesokan paginya. Habis satu
cerita, jadi sekarang ini terpaksalah
kami hantar Tsaqif ke rumah adik saya di
Sentul, Kuala-Lumpur, sementara menunggu jadual perjalanan bas pada puku 11 malam nanti. Naik semula
kenderaan asing-masing, sekali lagi bepusing-pusing di bandaraya Kuala Lumpur dek kerana tak mahir jalan di Kuala Lumpur.
Tiba di rumah adik , waktu itu sudah pun hampir pukul 1 tengahari. Pagi ke
tengahari yang memenatkan, adik
saya pula memurahkan rezekinya
dengan membawa keluarga besar kami makan
tengahari di luar setelah setengah hari kami yang mencabar. Tepat pukul 2.30 pm
setelah selesai mengamanahkan Tsaqif
kepada ibu saudaranya, kami pun meneruskan misi kami yang kedua untuk
menghantar anak kedua saya, Siti Sarah
Adibah pula ke sekolahnya. Sebelum meninggalkan Tsaqif, semua bersalaman sambil
suami saya memeluk Tsaqif lalu berpesan, supaya Tsaqif jangan nakal dan belajar
rajin –rajin. Tsaqif yang tak banyak
bercakap ( memang anak ini banyak suara yang tersirat) hanya tersenyum sambil
mengganggukkan kepalanya tanda faham.
Misi diteruskan dengan masih menaiki dua kenderaan
berasingan dimana misi seterusnya ialah ke Labu
yang terletak dalam perjalanan balik kami ke Negeri Sembilan. Kereta
berjalan menyusur bersama tetapi
terpisah sekali lagi seterusnya melepasi Tol Sg, Besi. Suami saya
menalipon saya untuk berjumpa semula dan bersolat di persimpangan susur
keluar ke Nilai selepas Tol Nilai. Setelah solat bersama, misi diteruskan lagi
melalui Nilai menuju ke Labu. Dalam perjalanan itu, Siti Sarah memberitahu
bahawa di hendak membeli barang
keperluan untuk dibawa ke asrama. Aduh
anak, sekarang baru hendak membeli barang keperluan. Tanpa banyak bicara, kami singgah di Mydin
Nilai bagi menuruti permintaan Siti Sarah tadi. Letih sungguh rasanya apatah
lagi kerana saya turut memandu. Dalam hati saya berkata juga, kenapa lah tak hantar anak kami
belajar memandu supaya dia yang akan memandu kereta,
bukan saya. Selesai membeli barang keperluan tersebut, perjalanan diteruskan menuju ke sekolah Siti Sarah iaitu Sekolah Menengah Agama Persekutuan Labu, hanya
terletak di tepi Jalan menuju ke Seremban. Dalam perjalanan itu hujan turun
dengan lebatnya sehinggalah sampai ke sekolah
Siti Sarah hujan masih lebat lagi. Kami parkir kereta di bawah tempat letak
kereta guru dan di situ kami bersalaman dan berpisah sementara dengan Siti
Sarah Adibah. Seperti kebiasaan suami saya memeluk anaknya Siti Sarah dan
memesan pada Siti Sarah supaya belajar rajin-rajin.
Selesai sudah hal
kedua, misi kami teruskan lagi untuk
menghantar Muhammad Naqib pula ke Gemencheh. Tiba-tiba Naqib berkata yang beg
pakaian dan barangan ke asramanya masih berada di rumah. Aduh anak ingatkan
hendak terus ke Gemencheh tapi nampaknya
terpaksa singgah dulu di rumah saya yang terletak pula dalam perjalanan ke
Gemencheh. Tiba di rumah dah hampir ke
pukul 6 petang, memang sahlah Naqib akan tiba di sekolah juga lewat pada hari
itu. Apa nak dibuat, keluh hati saya,
kami bukannya robot lalu memandangkan telah tiba di rumah , kami ambil
kesempatan untuk berehat sebentar dan seketika
kemudian kami teruskan misi ketiga ini. Kali ini hanya menaiki satu kenderaan
sahaja yang dipandu oleh suami saya. Kami pergi bertiga sahaja, saya, suami dan
Naqib. Yang lain saya arahkan tinggal di rumah memandangkan anak yang sulung
yang berusia 20 tahun ada di rumah. Dalam perjalanan mendekati waktu Maghrib,
kata Naqib baiklah kita singgah solat maghrib di masjid terlebih dahulu. Kami solat dulu dan selepas solat terus menuju ke sekolah Naqib. Hasrat hati
nak jumpa warden asrama untuk memberi penjelasan akibat kelewatan tersebut,
tapi hasrat kami terbantut kerana ibubapa tidak dibenarkan masuk ke kawasan
sekolah selepas pukul 6 petang. Sabarlah Naqib, pandai-pandailah menjawab
dengan ustaz nanti. Bersalaman dan berpelukan dengan Naqib sekali lagi suami
berpesan dengan pesanan yang sama pada anaknya supaya belajar rajin rajin. Akhirnya selesai ketiga misi kami , sekarang tiba waktu untuk balik.
Tiba di rumah yang
mengambil masa 45 minit dari sekolah Naqib, kami terus mengambil anak sulung
kami Muhammad Nabil untuk di hantar ke kolejnya yang terletak hanya setengah
jam perjalanan dari rumah kami. Muhammad Nabil, walaupun telah dewasa tetapi merupakan seorang
anak yang pendiam dan kurang bersosial sebaliknya suka menghadap laptopnya
menghasilkan skrip dan lukisan animasinya. Orangnya sungguh berseni dan kreatif
melukis. Setelah menghantar Nabil ke
kolejnya, maka selesailah seharian misi
penghantaran anak ke asrama pada hari
ini. Hari yang memenatkan untuk saya dan suami tetapi kami puas dan senang hati
kerana semuanya telah selamat diuruskan.
Untuk anak-anak saya yang kian meniti usia demi usia
meningkat dewasa ini, sedari kelian kecil, setiap saat melihat kalian membesar di depan mata ini, tiada pernah keluh
kesah menemani hati ini. Biarlah hari ini ibu dan bapamu letih dan jerih
menguruskann hal ehwal kamu tetapi inilah bakti kami kepada kamu. Walau kamu
semua telah menginjak remaja, kami tatang kamu persis anak yang masih
memerlukan pimpinan, bimbingan dan
bantuan yang berterusan dari ibu dan bapa.
Duhai anak-anak, satu
hari nanti bila kamu dewasa, ketahuilah bukan harta yang kami minta dibalasi tetapi
teruslah kamu mengasihani kami dan mendoakan, mensejahterakan sertakan membahagiakan
sisa-sisa kehidupan hari tua kami nanti. Untuk kamu anak-anak, kami doakan
semuga kamu semua berjaya di dunia dan di akhirat lebih-lebih lagi, menjadi
anak-anak soleh solehah permata ketenangan di hati sanubari kami. Amin
No comments:
Post a Comment