Tuesday, 24 March 2015

Menghantar anak-anak balik asrama


Teks : Nor Azura Ismail
Foto : Koleksi Peribadi


Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca yang budiman,
Masa berlalu begitu cepat sekali sehingga sedar tak sedar saya telah pun mempunyai empat orang anak yang telah meningkat remaja.  Mereka terdiri dari tiga orang teruna dan seorang gadis remaja. Kali ini saya ingin bercerita sedikit mengenai kisah  4 orang anak-anak remaja saya  ini yang kesemuanya sedang belajar dan tinggal di asrama. Apa yang ingin saya fokuskan dalam kisah ini ialah pengalaman menghantar anak-anak ini balik ke asrama masing-masing dalam satu hari.  Kisah ini ialah coretan cerita saya pada hari Ahad lepas , 22 Mac 2015 iaitu pada hari terakhir cuti persekolahan suku penggal pertama baru-baru ini.
Sebelum itu, saya ingin memperkenalkan anak-anak remaja saya. Yang pertama, Muhammad Nabil Al Hakim sedang mengikuti program Diploma Multimedia – Animasi di Kolej Kemahiran Tinggi Mara , di Kundur, Negeri Sembilan. Anak remaja yang kedua ialah Siti Sarah Adibah, sedang mengikuti pembelajaran dalam Tingkatan 6 di Sekolah Menengah Agama Labu. Anak remaja yang ketiga pula  diberi nama Muhammad Tsaqif Al Mukmin, sedang belajar dalam Tingkatan 5 di MRSM Pengkalan Hulu, Perak bersempadan dengan Baling. Manakala anak remaja saya yang keempat ialah Muhammad Naqib Al Hariz, sedang  belajar dalam Tingkatan 4  di Maahad Ahmadi Gemencheh.  Sesungguhnya mereka berempat tidaklah jauh jarak usia antara satu sama lain. Bila keempat-empatnya balik bercuti bersama, banyaklah cerita dikalangan mereka adik beradik. Sebenarnya saya mempunyai empat orang lagi anak yang berusia di antara 6 hingga 14 tahun. Tapi kali ini, seperti yang saya maklumkan tadi, fokus kisah saya kali ini ialah mengenai empat orang anak remaja saya tadi.

Cuti sekolah selama seminggu telah kian hampir berakhir.  Anak-anak remaja saya ini seperti tidak menunjukkan reaksi seperti tidak  sabar untuk balik ke asrama setelah bercuti hampir seminggu di rumah.  Semuanya kelihatan rilek seperti cuti lama lagi akan  berakhir. Maksud saya di sini sepanjang cuti dan berada di rumah mereka tidak pun sibuk nak basuh baju atau beli barangan atau buat apa-apa persediaan  sebelum  balik termasuklah dalam hal memberi cadangan atau berbincang  mengenai bagaimana mereka akan balik. Macam saya tulis tadi, semuanya rilek sahaja seperti tidak mahu balik.Mereka seolah berkata  biarlah ibu dan ayah yang fikir semua perkara itu. Sepanjang di rumah, anak yang pertama,  kerjanya asyik melukis dan berimiginasi, yang kedua  , ulat buku sikit, jadi kerjanya asyik membaca, menelaah  dan menyiapkan tugasan sekolah. Sementara yang ketiga dan keempat kerjanya pula asyik bermain dan mengusik @ menyakat adk-adik yang kecil. Riuh sekejaplah rumah saya yang dimana apabila hari biasa kekurangan  ramai penghuni rumahnya. Untuk makluman rumah saya bukan di kawasan perumahan, sebaliknya ia terletak di tanah lot dalam kawasan kampong.  Memandangkan keluarga saya yang besar, saya dan suami memang dari awal telah mencari tanah dan membina rumah sendiri. Semuanya kerana kami mahu anak-anak di dibesarkan dalam kawasan persekitaran yang luas supaya sewaktu mereka kecil mereka dapat pelbagai pengalaman sebenar dari persekitaran. Ini sekaligus dapat menggalakkan perkembangan menyeluruh mereka dari pelbagai aspek perkembangan kanak-kanak. Jika dalam bidang kanak-kanak, mereka perlukan persekitaran yang kondusif untuk mereka menjalanakan pelbagai aktiviti dunia kanak-kanak dengan meneroka, merasai pengalaman sebenar dan mencuba. Inilah pendekatan yang dapat menyumbang kepada perkembanagn yang positif kepada kanak-kanak.

Berbalik pada kisah yang ingin saya ceritakan, tibalah hari Ahad dimana semua anak-anak ini perlu balik dan perlu sampai di asrama masing-masing sebelum pukul 6 petang. Seperti biasa, sayalah insan yang akan sibuk menyusun bagaimana anak-anak ini harus balik. Sememangnya telah menjadi kebiasaan bagi saya dan suami untuk menghantar sendiri anak-anak kami ini balik ke asrama. Dari anak yang pertama hinggalah yang keempat, dari hal persediaan barang yang hendak dibeli,  perancangan untuk balik,sehinggalah tiba waktu untuk  dihantar balik, kamilah yang uruskan. Bukan tidak mahu memberi anak peluang urus semua itu sendiri, tapi anak-anak seolah seolah-olah yang memberi kami ruang tersebut dan kami seperti merasa yang anak-anak itu masih memerlukan kami sebagai ibubapa untuk membuat keputusan bagi  mereka. Berbalik semula pada kisah hari dimana mereka berempat perlu balik, kebetulan malam sebelumnya kami  sekeluarga bermalam di rumah adik saya di Sg Buluh. Nak dijadikan cerita, disebabkan pada malam minggu itu kami ada program makan malam  bersama keluarga, jadi semuanya kepenatan sehinggalah keesokan hari anak-anak saya menyambung tidurnya semula selepas dikejutkan dari solat subuh. Jam telah menunjukkan pukul 9 pagi. Saya bergegas menyuruh semua bangun tapi arahan dan panggilan dari saya entah didengar atau tidak oleh anak-anak yang masih terpejam matanya ini.  Seperti halnya seorang ibu yang suka memberi arahan berkali-kali, maka berkali kali jugalah saya sergah seorang demi seorang untuk bangun mempersiapkan diri. Suami saya, seperti perihalnya sikap  seorang lelaki, juga kelihatan  rilek dan sabar dengan situasi tersebut.  Saya melihat jam di dinding rumah adik. Begitu cepat jarum jam bergerak. Dengan terhegeh-hegeh seorang demi seorang menunggu giliran untuk mandi seterusnya mempersiapkan diri masing-masing. Saya makin risau melihat jam di dinding. Sambil dalam hati berkata, masih adakah bas untuk ke MRSM pengkalan hulu ini?  Selalunya bas pada waktu pagi ialah pada pukul 11 pagi, sedangkan  jam sudah menunjukkan pukul 10 pagi. Sempatkah menuju ke Hentian  Jalan Duta ini, aduh makin pening kepala memikirkan. Saya saja yang kecoh dan kelam kabut tapi anak saya yang akan  balik ke MRSM itu benar-benar tenang . Semuanya sudah siap, tepat pukul 10. 20 pagi kami bersepuluh pun keluar dari rumah adik untuk menuju ke Hentian Jalan Duta. Oleh kerana bilangan  kami yang ramai, saya memandu satu kereta manakala suami pula memandu satu lagi kereta . Maknanya kami sekeuarga menaiki dua buah kenderaan yang berlainan. Untuk keluar dari kawasan Sg Buluh saya dan suami tidak berapa mahir jalannya, jadi kami menggunakan aplikasi waze untuk menjadi penunjuk jalan kami. Kereta saya menyusur kereta suami dari belakang akan tetapi entah macam mana setelah susur keluar dari tol Jalan Duta kami telah terpisah. Apa lagi,  saya ikut jalan lain manakala suami saya pula ikut arah lain untuk ke destinasi yang sama iaitu Hentian Bas Jalan Duta. Saya memandu dalam keadaan kurang tenang apatah lagi saya memang kurang mahir dengan jalan di sekitar Kuala-Lumpur.  Aduh,  memang berpusing-pusing dan sesat dibuat oleh cikgu’waze’ ini. Akhirnya sampai  juga ke Hentian Duta tepat pukul 11 pagi. Tempat untuk parkir kereta pula penuh, maka  berlegar-legar sekali lagi mencari parkir.  Dalam pada itu,  anak lelaki saya yang akan balik MRSM (namanya Tsaqif)  berada di dalam kereta lain  bersama suami saya , yang sesat juga dan belum sampai ketika itu.  Setelah dapat parkir,  saya bergegas turun dari kereta dan terus menuju ke kaunter tiket. Anak-anak lain menunggu  di dalam kereta bersama kakak dan abangnya. Belum sempat tiba ke kaunter  tiket, sudah ada yang bertanya pada saya, ‘kakak nak tiket bas ke mana?’. Lalu saya nyatakan yang saya mahu membeli  satu  tiket bas menuju ke Pengkalan Hulu. Kata adik tiket bas tu, ’ Tiket bas ke pengkalan hulu pukul 11 pagi  dah penuh kak, tunggulah kalau ada penumpang lain yang tak jadi naik.’  Aduh, mana pula suami saya ini?  Sementara itu saya meninjau –ninjau ke kaunter tiket  bas lain .  Rupanya, bas ke Pengkalan Hulu cuma satu sahaja, yang lain yang  berhampiran ialah bas ke Baling dan juga Sg Petani tetapi semuanya  pun sudah kehabisan tiket.

Pengkalan Hulu merupakan sebuah daerah kecil di Perak Hulu yang bersempadan dengan  Baling, Kedah dan juga Betong,  Thailand. Perjalanan dari Kuala Lumpur menuju Pengkalan Hulu melaiui Gerik  cuma mengambil masa selama lebih kurang   6 jam. Manakala perjalanan  ke Pengkalan Hulu melalui  Baling atau Sg. Petani mengambil masa lebih lama lagi. Berbalik pada cerita tadi, beberapa minit menunggu kelihatan kelibat suami saya bersama dengan anak saya,   Tsaqif dan adik- adiknya  yang  lain berjalan menuju ke kaunter tiket  tempat saya menunggu. Lalu kami terus mendapatkan adik tadi. Adik tersebut seperti menghubungi seseorang, akhirnya berkata, ‘Maaflah kak, bas tak ada yang kosong semuanya dah penuh.’  Jadi, macam mana ni? Hendak  dihantar balik jauh sangat sebab kami ada 3 lagi tugas menghantar anak yang perlu diselesaikan pada hari itu juga. Mahu tak mahu terpaksalah beli tiket bas pukul 11 malam sebab perjalanan cuma ada pagi dan malam sahaja. Kesian sungguh , maknanya Tsaqif tidak akan sampai sekolah sebelum pukul 6 petang. Saya sungguh risau tetapi raut wajah Tsaqif selamba sahaja. Memang budak-budak zaman sekarang ni tak kisah dengan peraturan yang dibuat oleh sekolah, iaitu kena sampai asrama sebelum atau pada pukul 6 petang. Akhirnya saya minta suami menghubungi cikgu sekolah untuk memaklumkan bahawa Tasqif hanya akan tiba di sekolah pada keesokan paginya. Habis satu cerita,  jadi sekarang ini terpaksalah kami hantar  Tsaqif ke rumah adik saya di Sentul,  Kuala-Lumpur,  sementara menunggu jadual perjalanan  bas pada puku 11 malam nanti. Naik semula kenderaan asing-masing, sekali lagi bepusing-pusing di bandaraya Kuala Lumpur  dek kerana tak mahir jalan di Kuala Lumpur. Tiba di rumah adik , waktu itu sudah pun hampir pukul 1 tengahari. Pagi ke tengahari yang memenatkan,  adik saya  pula memurahkan rezekinya dengan  membawa keluarga besar kami makan tengahari di luar setelah setengah hari kami yang mencabar. Tepat pukul 2.30 pm setelah selesai  mengamanahkan Tsaqif kepada ibu saudaranya, kami pun meneruskan misi kami yang kedua untuk menghantar anak kedua saya,  Siti Sarah Adibah pula ke sekolahnya. Sebelum meninggalkan Tsaqif, semua bersalaman sambil suami saya memeluk Tsaqif lalu berpesan, supaya Tsaqif jangan nakal dan belajar rajin –rajin.  Tsaqif yang tak banyak bercakap ( memang anak ini banyak suara yang tersirat) hanya tersenyum sambil mengganggukkan kepalanya tanda faham.



Misi diteruskan dengan masih menaiki dua kenderaan berasingan dimana misi seterusnya ialah ke Labu  yang terletak dalam perjalanan balik kami ke Negeri Sembilan. Kereta berjalan menyusur bersama  tetapi terpisah sekali lagi seterusnya melepasi Tol Sg, Besi.  Suami saya  menalipon saya untuk berjumpa semula dan bersolat di persimpangan susur keluar ke  Nilai selepas Tol Nilai.  Setelah solat bersama,  misi diteruskan lagi melalui Nilai menuju ke Labu. Dalam perjalanan itu, Siti Sarah memberitahu bahawa di hendak  membeli barang keperluan  untuk dibawa ke asrama. Aduh anak, sekarang baru hendak membeli barang keperluan.  Tanpa banyak bicara, kami singgah di Mydin Nilai bagi menuruti permintaan Siti Sarah tadi. Letih sungguh rasanya apatah lagi kerana saya turut memandu. Dalam hati saya  berkata juga, kenapa lah tak hantar anak kami belajar memandu supaya dia yang akan memandu  kereta,  bukan saya.  Selesai membeli  barang keperluan tersebut,  perjalanan  diteruskan menuju ke sekolah Siti Sarah iaitu  Sekolah Menengah Agama Persekutuan Labu, hanya terletak di tepi Jalan menuju ke Seremban. Dalam perjalanan itu hujan turun dengan lebatnya  sehinggalah sampai ke sekolah Siti Sarah hujan masih lebat lagi. Kami parkir kereta di bawah tempat letak kereta guru dan di situ kami bersalaman dan berpisah sementara dengan Siti Sarah Adibah. Seperti kebiasaan suami saya memeluk anaknya Siti Sarah dan memesan pada Siti Sarah supaya belajar rajin-rajin.

Selesai sudah  hal kedua, misi kami teruskan lagi  untuk menghantar Muhammad Naqib pula ke Gemencheh. Tiba-tiba Naqib berkata yang beg pakaian dan barangan ke asramanya masih berada di rumah. Aduh anak ingatkan hendak  terus ke Gemencheh tapi nampaknya terpaksa singgah dulu di rumah saya yang terletak pula dalam perjalanan ke Gemencheh.  Tiba di rumah dah hampir ke pukul 6 petang, memang sahlah Naqib akan tiba di sekolah juga lewat pada hari itu. Apa nak dibuat,  keluh hati saya, kami bukannya robot lalu memandangkan telah tiba di rumah , kami ambil kesempatan untuk  berehat sebentar dan seketika kemudian kami teruskan misi ketiga ini. Kali ini hanya menaiki satu kenderaan sahaja yang dipandu oleh suami saya. Kami pergi bertiga sahaja, saya, suami dan Naqib. Yang lain saya arahkan tinggal di rumah memandangkan anak yang sulung yang berusia 20 tahun ada di rumah. Dalam perjalanan mendekati waktu Maghrib, kata Naqib baiklah kita singgah solat maghrib di masjid terlebih dahulu.  Kami solat dulu dan selepas solat  terus menuju ke sekolah Naqib. Hasrat hati nak jumpa warden asrama untuk memberi penjelasan akibat kelewatan tersebut, tapi hasrat kami terbantut kerana ibubapa tidak dibenarkan masuk ke kawasan sekolah selepas pukul 6 petang. Sabarlah Naqib, pandai-pandailah menjawab dengan ustaz nanti. Bersalaman dan berpelukan dengan Naqib sekali lagi suami berpesan dengan pesanan yang sama pada anaknya supaya  belajar rajin rajin. Akhirnya selesai  ketiga  misi kami , sekarang tiba waktu untuk balik.


Tiba di rumah  yang mengambil masa 45 minit dari sekolah Naqib, kami terus mengambil anak sulung kami Muhammad Nabil untuk di hantar ke kolejnya yang terletak hanya setengah jam perjalanan dari rumah kami. Muhammad Nabil,  walaupun telah dewasa tetapi merupakan seorang anak yang pendiam dan kurang bersosial sebaliknya suka menghadap laptopnya menghasilkan skrip dan lukisan animasinya. Orangnya sungguh berseni dan kreatif melukis.   Setelah menghantar Nabil ke kolejnya,  maka selesailah seharian misi penghantaran  anak ke asrama pada hari ini. Hari yang memenatkan untuk saya dan suami tetapi kami puas dan senang hati kerana semuanya telah selamat diuruskan.


Untuk anak-anak saya yang kian meniti usia demi usia meningkat dewasa ini, sedari kelian kecil, setiap saat melihat kalian  membesar di depan mata ini, tiada pernah keluh kesah menemani hati ini. Biarlah hari ini ibu dan bapamu letih dan jerih menguruskann hal ehwal kamu tetapi inilah bakti kami kepada kamu. Walau kamu semua telah menginjak remaja, kami tatang kamu persis anak yang masih memerlukan pimpinan,  bimbingan dan bantuan yang berterusan dari ibu dan bapa.

 Duhai anak-anak, satu hari nanti bila kamu dewasa, ketahuilah  bukan harta yang kami minta dibalasi tetapi teruslah kamu mengasihani kami dan mendoakan, mensejahterakan sertakan membahagiakan sisa-sisa kehidupan hari tua kami nanti. Untuk kamu anak-anak, kami doakan semuga kamu semua berjaya di dunia dan di akhirat lebih-lebih lagi, menjadi anak-anak soleh solehah permata ketenangan  di hati sanubari kami. Amin

No comments:

Post a Comment