Pages

Friday, 5 June 2015

Cinta aku dan dia

Teks : Nor Azura Ismail
#41


Jun 2015 akan datang menghampiri dan menandakan telah 21 tahun aku dan dia bersama di bawah mahligai kehidupan sepasang suami dan isteri. Ulangtahun ke 21 ini  cukup mematangkan cinta dan setiaku pada dia. Kisah cinta aku dan dia sentiasa menjadi kenangan terindah untuk diingati dan direnungkan.

Dia  adalah suamiku. Insan bernama lelaki yang paling kucintai selain cinta agungku kepada Yang Maha Esa. Kerana dia juga kunci kebahagiaanku di dunia dan kunci kenikmatan hidupku di negeri abadi kelak. Tanpa redhanya manakah mampu ku buka pintu syurga nanti. Oleh itu semua kesetiaan, ketaatan, rasa hormat, cinta kasih dan sayang ku kuhimpunkan untuk dirimu jua.

Tiba-tiba rasa ingin mencatatkan sesuatu di sini, secebis kisah, kisah  bermulanya cinta aku dan dia. Bukan untuk dibanggakan  sekadar untuk di jadikan contoh teladan jika ada yang baiknya.  Lama benar ianya berlalu namun masih terasa seperti baru semalam berlaku.  

Aku dan dia  mula saling mengenali ketika di alam persekolahan lagi. Usia masih mentah tapi dah pandai berjinak dengan cinta, Aku tersenyum sendiri mengenangkannya. Mungkin banyak perkara yang aku belum faham ketika itu, manakan tidak,  bila tengok kawan lain mempunyai  kawan lelaki istimewa, aku pun rasa ingin juga. Dialah lelaki yang menjadi idolaku, seorang lelaki yang terkenal dengan sikap pendiamnya tetapi dialah yang berjaya menjadi teman hatiku. Amboi , bangga betul ketika itu rasanya.   Lama sekali berkawan rapat,dari sekolah  kami terus berkawan hinggalah masing-masing melanjutkan pelajaran di berlainan tempat  dalam bidang yang berlainan.

Sememangnya  cabaran sepasang remaja berkawan memang hebat walaupun tidaklah sehebat remaja zaman gadget masakini. Aku akui bila meletakkan rasa cinta pada seorang lelaki, pelbagai dugaan perasaan, hati dan jiwa selalu datang menghampiri berselangseli dengan tanggungjawabku sebagai pelajar.

Bila berada di usia kini, aku akui jua, bila  meletakkan rasa cinta pada usia yang sepatutnya ditumpukan pada pelajaran, terlalu banyak buruk daripada baiknya. Lalu aku selalu berdoa supaya anak-anak remajaku tidak sepertiku dulu. Mungkin zaman ku dulu berbeza . Walau ada rasa cinta sekalipun maruah diri dan keluarga tetap sangat kujaga.  Selalu ku katakan pada diri bahawa  dia adalah seorang lelaki walau istimewa di hati tetapi masih tetap asing untukku, walau sekadar di hujung jariku dia tetap haram untuk berpegangan denganku apatah lagi lebih dari itu.

Bagaimana remaja zaman sekarang?  Takut untuk memikirkannya, mudahan anak-anakku sentiasa dijauhi dari kemungkaran. Doaku sebagai ibu yang pernah melalui cinta zaman remaja, doa dan harapan untuk anak-anak remajaku jua.

Memang Allah yang merencanakan segalanya.Tetiba ketika itu, aku merasakan perasaan cinta yang ada itu sangat melemaskan  dan banyak buruk dari baiknya. Maka entah bagaimana  cinta remaja kami terhenti buat seketika. Terhenti dari melihat wajahnya. Terhenti dari mendengar suaranya. Terhenti daripada  rasa rindu. Terhenti dari segalanya. Semuanya takdir Allah yang hakikatnya mengandungi hikmah dan pengajaran yang baik disebaliknya. Semuanya juga kerana  atas tekad kerana  aku dan dia  semakin memahami bahawa cinta ini perlu dkawal kerana belum tiba waktunya. Lalu  kami berpisah seketika dengan janji dan harapan sekiranya ada jodoh kami pasti bertemu jua. Ketika itu usiaku baru sahaja memasuki 20 tahun. 

Padaku  waktu itu , aku merasakan bahawa cinta yang pernah terbentuk ini perlu diasaskan dan dibajai dengan iman dan disaluti diluarnya dengan cinta pada Allahterlebih dahulu. Kami berpisah jua akhirnya  atas dasar ingin mencari cinta yang lebih hakiki iaitu cinta kepada Allah. Sekalung keampunan ketika itu jua kupohonkan ke hadrat Ilahi atas kelalaian masa remajaku yang lalu.


Alhamdullillah Tuhan,  Engkau restui niat , harapan dan hajat  kami ini. Berselang 3 tahun, kami berjumpa semula. Bukan untuk berkawan dan bercinta seperti  sepasang kekasih lagi tapi kami bertemu untuk disatukan di bawah satu ikatan yang di redhai Allah dan direstui oleh kedua ibubapa. Syukur Ya Allah kerana Kau mendengar harapan kami. 

Maka lelaki itulah suami ku kini dan insyallah buat selamanya. Cinta dan kasih sayangku padamu suamiku telah acapkali diuji Allah tetapi Alhamdullillah aku berjaya membuktikannya bahawa aku akan terus memberikan rasa cinta ini kepadamu, cinta seorang isteri kepada suaminya untuk selama-lamanya.

Duhai suamiku, sedar tak  sedar telah 21 tahun kita bersama seolah seperti baru semalam kita bertemu semula. Terimakasih untuk segalanya. Terimakasih untuk semua kenangan bersama. Asam garam berumahtangga telah kita tempoh bersama.Semua ujian dan dugaan yang pernah datang bertandang ke mahligai cinta kita ini kerana Allah sayang pada kita. Semuanya kerana Dia ingin menjadikan kita sepasang suami dan isteri yang lebih baik, lebih tabah  dan paling penting rasa selalu dekat padaNya.

Wahai suamiku, redhakan aku sebagaai isterimu supaya  bila mataku tertutup nanti, aku akan  pergi diiringi senyuman dan aku pergi membawa bersama keredhaanmu, itulah  kunci syurga buatku kelak. Redhakan diriku dan ampunilah segala kekhilafanku sepanjang bergelar isterimu. Kaulah suamiku dunia dan akhirat. InsyAllah. 
Wahai Allah, kau Yang Mahu Mengetahui, berkati dan rahmatilah cinta aku dan dia untuk selamanya.

Untuk anak-anak remajaku dan juga anak-anak remaja yang lain, usah sesekali terpedaya dengan cinta remaja yang akhirnya menjerumuskan dirimu dalam kelalaian  dan kelekaan yang berpanjangan. Fokus pada matlamat yang ingin kau kecapi sebagai anak, sebagai pelajar  dan juga sebagai seorang generasi yang berwawasan. Hiasi dirimu dengan akhlak , suburkan jiwamu dengan iman agar menjadi remaja soleh solehah yang tahu menghargai diri serta dan tahu menjaga maruah diri dan keluarga.  

Ketahuilah, doa kami sebagai ibubapa@pendidik sentiasa mengiringi setiap liku kehidupan remaja kalian. InsyAllah.
































No comments:

Post a Comment