pnnorazuraismai@gmail.com
Setiap anak adalah individu yang berlainan maka setiap anak
adalah berbeza antara satu sama lain dari segi sikap, perangai dan juga potensi
serta kebolehan diri. Kita sebagai
ibubapa , penjaga , pendidik atau pengasuh kepada anak-anak ini perlu memahami
setiap anak adalah berbeza.
Belajar mengenali dan memahami anak anda masing-masing
nescaya anda dapat membantu membentuk
jati diri dan membina matlamat dalam kehidupan anak-anak anda. Lihat siapa anak anda
sendiri,apakah kelebihan, potensi@minatnya sendiri, bukan melihat anak anda
dalam diri anak orang lain. Anak anda adalah dirinya sendiri. Anak-anak anda
atau anak-anak orang lain sekeliling anda adalah individu berbeza.
Jika anda mempunyai beberapa
orang anak, apa yang anda perlu faham ialah anak pertama tidak mungkin sama
dengan anak yang kedua atau anak yang ketiga. Jika anak pertama anda seorang
yang bijak dan cerdik dalam pelajarannyanya, anda tidak boleh menganggap bahawa
anak yang kedua juga sama.
Apabila anda meletakkan harapan yang sama kepada anak yang kedua
tadi, dan ternyata anak itu tidak mampu bersaing seperti abangnya, tanpa disedari
anda telah membandingkan anak anda sendiri. Anda juga yang mungkin menjadikan
anak sebagai insan yang kurang keyakinan diri malah anak mudah merasa kurang berbanding abangnya yang
sentiasa berjaya dalam pelajarannya. Elakkan berkata seperti ini kepada anak
anda;
“Hah tengok abang long tu, setiap kali dalam peperiksaan , mesti
dapat nombor satu, tak macam angah asyik dapat nombor yang corot. Cubalah jadi
seperti abang long tu.”
Agaknya apa perasaan anak anda? Dia mungkin rajin dan telah berusaha tapi
kemampuan akdemiknya mungkin sederhana dan tidak mempu mencapai kemampuan akademik
abangnya. Tanpa disedari, anak anda tadi pasti merasa bahawa dirinya tidak
dipandang tinggi oleh anda kerana dia tidaklah sepandai abangnya. Anda mungkin
tidak berkata secara lisan kepadanya tetapi bahasa badan anda menunjukan bahawa
anda lebih memandang tinggi anak yang pandai tadi berbanding dirinya yang
kurang dari segi akademiknya. Anda lupa untuk melihat malah menghargai kemampuan lain yang
ada pada diri anak yang kedua tadi.
Apa salahnya jika anda cuba melihat dan mengenalpasti selain kecerdikan dalam akademik, apakah
kelebihan dan keistimewaan anak anda ini dari sudut yang lain. Mungkin anak
anda pandai melukis. Belajarlah memahami potensi lain dalam diri anak. Anda boleh memberi dorongan kepada minat dan
hobi melukisnya. Pujilah dia bila dia boleh menghasilkan satu lukisan yang
istimewa walau dalam masa yang sama dia gagal menunjukkan kemampuan dalam
pelajarannya. Dia sebenarnya insan yang
istimewa kerana dia boleh menzahirkan imiginasinya dalam bentuk lukisan yang cantik. Dia
sebenarnya seorang yang sangat kreatif dalam berfikir dan menghasilkan idea. Tidak
mustahil, dengan minat apatah lagi ada dorongan dan galakan yang berterusan dari
anda, hobi yang diminatinya ini boleh memberi kejayaan kepadanya di masa depan.
Anda boleh galakkan anak untuk meneruskan pelajarannya dalam bidang kemahiran yang diminatinya.
Kesilapan besar kita sebagai ibubapa ialah apabila kita
menilai anak hanya dari segi akademiknya. Kesalahan kita sejak dari anak kita
mula masuk TADIKA ialah kita hendak
sangat anak kita cepat pandai walaupun baru masuk TADIKA. Ibubapa pasti akan merunggut atau bising bila anak yang belajar di TADIKA lambat dapat
menguasai kemahiran membaca. Kita sering beri galakan dari sudut kepandaian
akademik hingga kita lupa bahawa kemampuan anak mungkin tidak sama dengan
harapan kita.
Oleh kerana kita meletakkan harapan yang sangat tinggi pada
anak yang masih di awal usia itu, hingga kita lupa untuk menggilap potensi diri
anak dari aspek perkembangan yang lain. Kita sebagai ibubapa kekadang lupa
untuk melihat potensi dan kemampuan anak dari sudut yang lain. Dan kita juga
lupa untuk beri pujian pada anak dari sudut yang lain.
Jom lihat satu contoh. Ada anak kerana telah diberi latih
tubi yang berterusan dari awal maka dia boleh membaca seawal 3 tahun tetapi
anak ini kurang pandai bergaul dengan kawan-kawan sebayanya. Ibubapa mungkin
nak anak fokus pada membaca hingga lupa bahawa dunia anak adalah bermain dan
terus bermain. Ruginya anak-anak awal usia yang tidak diberi peluang untuk
mengisi sepenuhnya ruang dalam kehidupannya untuk bermain. Seketika kita lupa
bahawa dengan bermain anak-anak belajar pelbagai perkara.Tak salah mendedahkan
anak pada pembacaan awal, yang salah ialah bila memaksa anak dan meletakkan
harapan yang tinggi supaya anak-anak cepat pandai membaca sama seperti anak
orang lain. Biarlah anak-anak awal usia ini memilih minat dan kecenderungan mereka
sendiri.
Jom lihat pula apa berlaku di TASKA@TADIKA maupun anak-anak
yang baru memasuki Tahun satu di Sekolah Rendah. Pengasuh pendidik maupun guru di TASKA TADIKA dan sekolah sering
membandingkan anak-anak dari sudut kepandaian akademiknya. Anak yang cepat
pandai membaca di awal usia, anak itulah
yang selalu dipuji pengasuh pendidik@ guru. Manakala anak yang agak aktif dan
banyak bertanya apatah lagi lambat sedikit menguasai pembacaan, anak itu tidak dipandang dan akan sering dimarahi. Para pendidik pun suka anak-anak yang pandai sebab itulah yang
diamanahkan oleh ibubapa yang menghantar anak ke TASKA TADIKA atau Sekolah. Untuk
seketika kita semua lupa bahawa anak-anak adalah berbeza dari pelbagai sudut.
Kita lupa untuk memahami setiap anak adalah berbeza.
Untuk anda yang mempunyai anak-anak yang telah bersekolah,
cuba kenalpasti potensi diri anak. Fahami anak dari sudut sikap, tabiat,
kecerdikan dan juga kemahiran yang dimilikinya. Jika anak anda berpotensi besar
dalam akademiknya, beri galakan untuk anak meneruskan pelajarannya ke peringkat
yang lebih tinggi. Sebaliknya untuk anak yang kurang pencapaian akademiknya,
kenalpasti kemahiran yang diminatinya. Bimbing anak untuk menggilap kemahiran
yang dimilikinya. Puji anak yang mempunyai bakat@potensi dalam bidang kemahiran
tertentu. Jangan samakan anak yang cerdik akademiknya dengan anak yang
mempunyai kepandaian kemahiran dalam
sesuatu bidang. Berlaku adil lah pada anak-anak anda sendiri.
Kesimpulannya, saya tekankan lagi setiap anak adalah tidak
sama jadi belajarlah memahami perbezaan anak-anak. Paling penting peranan kita
kita sebagai ibubapa ialah untuk beri peluang kepada anak memiih sesuatu yang
diminatinya. Jangan sesekali memaksa anak dalam menentukan minat atau memilih
bidang yang ingin diceburinya. Anda
perlu bertindak sebagai penasihat@pembimbing bukan sebagai diktator yang
menentukan masa depan anak-anak anda sendiri.
Doakan kejayaan anak-anak kita dalam apa jua bidang yang diceburi @
diminatinya. Semoga anak-anak kita berjaya bukan sahaja dalam kerjayanya di
dunia malah juga kejayaan di SANA jua.
No comments:
Post a Comment