Wednesday, 12 August 2015

Memahami setiap anak adalah berbeza

 
Teks & Foto : Nor Azura Ismail
pnnorazuraismai@gmail.com

 
Setiap anak adalah individu yang berlainan maka setiap anak adalah berbeza antara satu sama lain dari segi sikap, perangai dan juga potensi serta kebolehan  diri. Kita sebagai ibubapa , penjaga , pendidik atau pengasuh kepada anak-anak ini perlu memahami setiap anak adalah berbeza.

Belajar mengenali dan memahami anak anda masing-masing nescaya anda  dapat membantu membentuk jati diri dan membina matlamat dalam kehidupan anak-anak anda. Lihat siapa anak anda sendiri,apakah kelebihan, potensi@minatnya sendiri, bukan melihat anak anda dalam diri anak orang lain. Anak anda adalah dirinya sendiri. Anak-anak anda atau anak-anak orang lain sekeliling anda adalah individu  berbeza.

 Jika anda mempunyai beberapa orang anak, apa yang anda perlu faham ialah anak pertama tidak mungkin sama dengan anak yang kedua atau anak yang ketiga. Jika anak pertama anda seorang yang bijak dan cerdik dalam pelajarannyanya, anda tidak boleh menganggap bahawa anak yang kedua juga sama.

Apabila anda meletakkan harapan yang sama kepada anak yang kedua tadi, dan ternyata anak itu tidak mampu bersaing seperti abangnya, tanpa disedari anda telah membandingkan anak anda sendiri. Anda juga yang mungkin menjadikan anak sebagai insan yang kurang keyakinan diri malah anak  mudah merasa kurang berbanding abangnya yang sentiasa berjaya dalam pelajarannya. Elakkan berkata seperti ini kepada anak anda;

“Hah tengok abang long tu, setiap kali dalam peperiksaan , mesti dapat nombor satu, tak macam angah asyik dapat nombor yang corot. Cubalah jadi seperti abang long tu.”

Agaknya apa perasaan anak anda?  Dia mungkin rajin dan telah berusaha tapi kemampuan akdemiknya mungkin sederhana dan tidak mempu mencapai kemampuan akademik abangnya. Tanpa disedari, anak anda tadi pasti merasa bahawa dirinya tidak dipandang tinggi oleh anda kerana dia tidaklah sepandai abangnya. Anda mungkin tidak berkata secara lisan kepadanya tetapi bahasa badan anda menunjukan bahawa anda lebih memandang tinggi anak yang pandai tadi berbanding dirinya yang kurang dari segi akademiknya. Anda lupa untuk melihat malah menghargai kemampuan lain yang ada pada diri anak yang kedua tadi.

Apa salahnya jika anda cuba melihat dan mengenalpasti  selain kecerdikan dalam akademik, apakah kelebihan dan keistimewaan anak anda ini dari sudut yang lain. Mungkin anak anda pandai melukis. Belajarlah memahami potensi lain dalam diri anak.  Anda boleh memberi dorongan kepada minat dan hobi melukisnya. Pujilah dia bila dia boleh menghasilkan satu lukisan yang istimewa walau dalam masa yang sama dia gagal menunjukkan kemampuan dalam pelajarannya.  Dia sebenarnya insan yang istimewa kerana dia boleh menzahirkan imiginasinya  dalam bentuk lukisan yang cantik. Dia sebenarnya seorang yang sangat kreatif dalam berfikir dan menghasilkan idea. Tidak mustahil, dengan minat apatah lagi ada dorongan dan galakan yang berterusan dari anda, hobi yang diminatinya ini boleh memberi kejayaan kepadanya di masa depan. Anda boleh galakkan anak untuk meneruskan pelajarannya dalam bidang kemahiran  yang diminatinya.

Kesilapan besar kita sebagai ibubapa ialah apabila kita menilai anak hanya dari segi akademiknya. Kesalahan kita sejak dari anak kita mula masuk TADIKA  ialah kita hendak sangat anak kita cepat pandai walaupun baru masuk TADIKA.  Ibubapa pasti akan merunggut atau bising  bila anak yang belajar di TADIKA lambat dapat menguasai kemahiran membaca. Kita sering beri galakan dari sudut kepandaian akademik hingga kita lupa bahawa kemampuan anak mungkin tidak sama dengan harapan kita.

Oleh kerana kita meletakkan harapan yang sangat tinggi pada anak yang masih di awal usia itu, hingga kita lupa untuk menggilap potensi diri anak dari aspek perkembangan yang lain. Kita sebagai ibubapa kekadang lupa untuk melihat potensi dan kemampuan anak dari sudut yang lain. Dan kita juga lupa untuk beri pujian pada anak dari sudut yang lain.

Jom lihat satu contoh. Ada anak kerana telah diberi latih tubi yang berterusan dari awal maka dia boleh membaca seawal 3 tahun tetapi anak ini kurang pandai bergaul dengan kawan-kawan sebayanya. Ibubapa mungkin nak anak fokus pada membaca hingga lupa bahawa dunia anak adalah bermain dan terus bermain. Ruginya anak-anak awal usia yang tidak diberi peluang untuk mengisi sepenuhnya ruang dalam kehidupannya untuk bermain. Seketika kita lupa bahawa dengan bermain anak-anak belajar pelbagai perkara.Tak salah mendedahkan anak pada pembacaan awal, yang salah ialah bila memaksa anak dan meletakkan harapan yang tinggi supaya anak-anak cepat pandai membaca sama seperti anak orang lain. Biarlah anak-anak awal usia ini memilih minat dan kecenderungan mereka sendiri.

Jom lihat pula apa berlaku di TASKA@TADIKA maupun anak-anak yang baru memasuki Tahun satu di Sekolah Rendah.  Pengasuh  pendidik maupun guru  di TASKA TADIKA dan sekolah sering membandingkan anak-anak dari sudut kepandaian akademiknya. Anak yang cepat pandai membaca di awal usia,  anak itulah yang selalu dipuji pengasuh pendidik@ guru. Manakala anak yang agak aktif dan banyak bertanya apatah lagi lambat sedikit menguasai pembacaan, anak itu tidak dipandang dan akan sering dimarahi. Para pendidik pun suka  anak-anak yang pandai sebab itulah yang diamanahkan oleh ibubapa yang menghantar anak ke TASKA TADIKA atau Sekolah. Untuk seketika kita semua lupa bahawa anak-anak adalah berbeza dari pelbagai sudut. Kita lupa untuk memahami setiap anak adalah berbeza.

Untuk anda yang mempunyai anak-anak yang telah bersekolah, cuba kenalpasti potensi diri anak. Fahami anak dari sudut sikap, tabiat, kecerdikan dan juga kemahiran yang dimilikinya. Jika anak anda berpotensi besar dalam akademiknya, beri galakan untuk anak meneruskan pelajarannya ke peringkat yang lebih tinggi. Sebaliknya untuk anak yang kurang pencapaian akademiknya, kenalpasti kemahiran yang diminatinya. Bimbing anak untuk menggilap kemahiran yang dimilikinya. Puji anak yang mempunyai bakat@potensi dalam bidang kemahiran tertentu. Jangan samakan anak yang cerdik akademiknya dengan anak yang mempunyai kepandaian  kemahiran dalam sesuatu bidang. Berlaku adil lah pada anak-anak anda sendiri.

Kesimpulannya, saya tekankan lagi setiap anak adalah tidak sama jadi belajarlah memahami perbezaan anak-anak. Paling penting peranan kita kita sebagai ibubapa ialah untuk beri peluang kepada anak memiih sesuatu yang diminatinya. Jangan sesekali memaksa anak dalam menentukan minat atau memilih bidang yang ingin  diceburinya. Anda perlu bertindak sebagai penasihat@pembimbing bukan sebagai diktator yang menentukan masa depan anak-anak anda sendiri.  Doakan kejayaan anak-anak kita dalam apa jua bidang yang diceburi @ diminatinya. Semoga anak-anak kita berjaya bukan sahaja dalam kerjayanya di dunia malah juga kejayaan di SANA jua.

 Untuk anda yang ingin memahirkan lagi ilmu pengasuhan dan pendidikan anak-anak, saya sarankan untuk mendapatkan EBOOK ini.
RM 30

No comments:

Post a Comment