Pages

Sunday, 20 March 2016

Anak ramai , rezeki atau beban?

Catatan oleh : Nor Azura Ismail
pnnorazuraismail@gmail.com



Beberapa hari lepas, hari itu hari Sabtu, saya dan suami pergi makan tengahari di luar. Jarang dapat makan tengahari di luar bersama kerana pada hari biasa , masing-masing sibuk dengan kerja. Kami berdua sahaja tanpa anak-anak,  kesempatan ini digunakan untuk berbual-bual mesra sambil makan tengahari. (nak romantik di usia –usia 40 an ini)

Ketika sedang makan,  saya terlihat seorang ibu muda yang sedang sarat mengandung memegang tangan anaknya yang berusia lebih kurang setahun lebih. Disekeliling ibu muda itu juga kelihatan anak-anaknya yang lain seramai 3 orang yang mungkin berumur antara 3 ke 6 tahun. Semuanya berpimpinan tangan antara satu sama lain menuju ke meja makan. Mana pula  ayah kepada anak-anak tersebut,  tanya saya di dalam hati.  Oh rupanya si ayah sedang memesan makanan di kaunter makanan. Mata saya terus memandang gelagat ibu  tersebut dan juga anak-anaknya. Dia kelihatan begitu sabar melayan anak-anaknya.  Kelihatan sebelah tangan memegang perutnya yang memboyot manakala sebelah lagi  tangannya  lagi memimpin tangan si anak kecil, wanita tersebut  terus mengarahkan anak-anak yang lain duduk di meja yang telah dipilhnya.

Semua anak-anak kecil itu patuh mengikut  arahan ibunya. Si kakak yang paling tua membantu mendudukkan adik yang mungkin berumur hampir  3 tahun itu di kerusi yang disediakan. Yang lain-lain telah pun duduk sendiri.  Tiada pun kelihatan mereka berlari-lari sementara menunggu si ayah membawa makanan. Aduhai pandai sungguh si ibu mendidik anak-anaknya yang ramai itu berdisplin di tempat awam, detik saya di dalam hati.. Tidak terdengar sekali bunyi si ibu marah atau bersuara tinggi.

Kemudian kelihatan pula si ayah datang berturut – turut  dua  ke  tiga  kali sambil membawa dulang berisi makanan yang telah dibeli. Setelah selesai membahagi- bahagikan makanan kepada semua anak-anak, lalu si ayah dengan tenangnya pula duduk makan. Anak-anak yang lain juga makan dengan sendirinya. . Hanya anak yang paling kecil didudukkan dalam troli pasaraya dan  disuap makan oleh ibunya. Peliknya tiada kedengaran anak-anak membuat kerenah ketika makan. Maka si ibu dengan tenang dan sabar terus menyuap anak yang  bongsu  manakala si ayah terus menjamah makanannya dengan berseleranya. Terkedu melihat situasi seterusnya, setelah selesai semua makan barulah si ibu yang sarat mengandung itu terakhir sekali makan.

Saya sempat menjeling ke wajah wanita tersebut. Penuh wajah keibuan dan penuh dengan riak ketenangan dan kesabaran.  Si ibu dan si ayah kelihatan masih muda persis seperti umur di awal 30an telah mempunyai empat orang anak –anak yang kecil2 dan bakal mendapat anak yang ke lima pula.
Sukarnya hari ini melihat keluarga orang muda mempunyai anak yang ramai. Kebiasaannya bilangan anak-anak mereka cuma dalam satu, dua dan paling ramai tiga orang, masuk sahaja yang keempat , dah dikata ramai.

Pernah serorang kawan sekerja saya berkata, bahawa jika dia berkahwin nanti, dia tidak mahu mempunyai mempunyai anak. Katanya mempunyai anak menyusahkan dan sukar baginya nanti untuk mengejar kejayaan dalam kerjayanya nanti.  Benarkah kenyataan itu? Agak-agaknya kalau semua orang berpandangan begitu, tiadalah kesinambungan generasi dan keturunan. Bukahkah salah satu hikmah dari perkahwinan itu ialah  untuk melahirkan zuriat keturunan yang bakal mewarisi kehidupan seterusnya di atas muka bumi ini.

Berbalik kisah ibu, ayah dan anak-anak nya tadi, saya sempat  mencuit lengan suami saya dan menyuruhnya melihat ke arah keluarga tersebut. Hmmm seperti apa yang ada dalam minda saya, suami saya terus berkata, “ sama macam kita dulu”
Bila melihat keluarga tersebut, memang sangatlah persisi saya dan suami suatu ketika dulu membesarkan anak-anak. Ketika saya berumur 30 tahun, anak-anak sudah pun seramai 5 orang. Ya, memang  betul, itulah saya dan suami suatu ketika dulu ketika anak-anak masih kecil dan semuanya memerlukan pemerhatian dan penjagaan rapi. Saya mempunyai lapan orang anak yang berusia antara 6 tahun lebih  hingga 21 tahun.Suatu masa dahulu , memang letih dan penat menguruskan anak-anak yang kecil dan rapat antara satu sama lain. Seingat saya dulu, sepanjang tempoh kelahiran dan membesarkan  mereka semua, saya sentiasa berada dalam dua keadaan samada sedang mengandungkan anak ataupun sedang menyusukan anak. Setiap tahun bila  bulan Ramadhan , saya sentiasa berada dalam kategori wanita uzur, boleh berbuka puasa jika keadaan memudharatkan. Tapi, selalunya saya gagahi juga untuk berpuasa penuh.

Teringat dulu dulu, memang bersusah payah menjaga dan memantau anak-anak yang kecil. Masih saya ingat lagi, ketika anak saya yang sulung berumur 7 tahun, dia sudah pun mempunyai adik seramai 4 orang . Semuanya masih kecil. Waktu itu saya mengusahakan TADIKA sendiri. Disamping ingin meraih pendapatan daripada perniagaan TADIKA ( ketika itu saya bekerja sendiri sebab ramai anak yang masih kecil), di TADIKA yang saya usahakan sendirilah anak-anak mendapat pendidikan awal. Bila saya ke TADIKA , saya bawa anak-anak bersama termasuk yang masih menyusu hingga adalah yang mengatakan saya tak professional dalam mengendalikan TADIKA sebab saya bawak anak bersama. Kalau di rumah pula, jiran-jiran kata anak saya bising sebab biasalah anak-anak, mana reti duduk diam, keluar masuk longkang depan rumah dah jadi rutin mereka.

His, memang susah mata yang melihat sebab mungkin mereka tidak memahami orang-orang yang mempunyai anak yang ramai.  Akhir sekali, bila nak beli rumah, saya dan suami rancang beli tanah di kawasan kampong dan bina rumah. Biar anak-anak yang ramai ini dapat meneroka persekitaran dengan bebas dalam kawasan yang selamat. Hem,  kalau nak kata anak-anak saya sewaktu kecil, kalau tak jatuh memang tak sah namanya. Biasalah, kanak-kanak belajar dari sesuatu pengalaman.

Saya juga masih ingat lagi ada seketika , ketika saya dan suami membawa anak-anak keluar berjalan-jalan ke pasaraya atau pergi bercuti, saya memegang tangan 2 orang anak, manakala suami pula mendukung yang paling kecil ( tentunya masih bayi) . Anak yang besar sedikit saya suruh pimpin tangan adiknya dan jalan berdekatan dengan kami. Bimbang betul  jika bawa anak-anak ke  tempat awam , takut hilang dari pandangan. Terasa agak sukar juga waktu itu mengawal semua anak-anak.

Sewaktu sudah memasuki fasa anak ke 7, ketika itu anak yang sulung baru masuk tingkatan 1, jika bawa mereka ke tempat ramai orang, saya selalu secara tiba-tiba akan mengira bilangan anak , khuatir  ada yang tercicir pula. Memang pernahlah saya dan suami melalui pengalaman anak hilang di pasaraya dan dijumpai semula di kaunter pertanyaan pasaraya setelah pengumuman dibuat di corong pembesar suara.
Kini, jika terdengar pengumuman seperti itu di pasaraya, saya akan tersenyum teringat pengalaman saya sendiri. Tapi bila difikirkan di zaman sekarang ini, memang bahaya anak-anak hilang di tempat awam apatah lagi ada  manusia yang tidak bertanggungjawab dan tidak mengasihani anak-anak, menculik anak untuk cepat kaya.

Berbalik lagi kisah tadi, saya meneruskan perbualan bersama suami. Kata suami saya,  sekarang ini zaman orang itu ( ibu dan ayah tadi), zaman kita telah pun berlalu.

Anak saya memang lapan orang tetapi sekarang ini kalau kemana-mana, sukar orang percaya jika saya sebut anak saya lapan orang. Bila keluar makan bersama-sama sekeluarga, ada yang kata anak saya yang no 1, 2 dan 3 itu adalah adik beradik saya atau suami.

Kini, anak-anak dah semakin remaja. Anak-anak saya terdiri dari dua generasi iaitu Y dan Z. Generasi Y yang telah meningkat remaja sedang sibuk dangan dunia mereka mengharungi tanggungjawab mereka sebagai pelajar. Manakala si generasi Z , yang berumur antara 6 hingga 10 tahun sedang sibuk meneroka dan terus dengan dunia bermain mereka.
Sekarang, semua anak-anak saya sedang belajar. Baru-baru ini setelah keputusan SPM dan STPM dikeluarkan ( anak no  2 dan no 3 antara calonnya), banyak hari jugaah suami saya, sambil saya mencelah-celah sibuk sama-sama mengisi borang UPU anak. Ada masanya seperti kami pula yang beria-ria hendak  masuk universiti. Anak-anak saya kelihatan rilek saja. Semuanya memerlukan perbelanjaan yang bukan sedikit , belum lagi dikira keperluan harian kami sekeluarga. Tapi, sesungguhnya saya bahagia dan bangga  mempunyai anak-anak yang ramai  Rupanya bila anak-anak sudah remaja, mereka persis seperti kawan-kawan pula terutamanya suami saya sangatlah prihatin dengan perkembangan semasa anak-anaknya. Oh ya , lupa nak cerita, anak-anak saya kebanyakannya lelaki.

Anak-anak  semua tidak banyak kerenah samada yang telah remaja maupun si adik yang bersekolah rendah itu. Tidak sukar pun menguruskan mereka semua. Cuma, memanglah tidak saya nafikan seperti yang saya katakan tadi,   keluarga besar belanja pun besar juga. Namun saya yakin dan saya pernah dengar bahawasanya Allah akan mencukupkan keperluan hambaNYa mengikut keperluan hambaNYA samada sedikit ataupun banyak.
Sudahpun tamat zaman  membesarkan anak-anak yang kecil dulu.  Walau masih ada yang kecil tapi anak-anak saya sangat berdikari. Manakala si abang dan si kakak sangat membantu dan ringan tangan dalam urusan rumah maupun menjaga adik-adiknya.

Saya selalu  bersyukur kepada Allah, anak-anak kurniaan dariNya yang tidak ternilai dan sangat berharga. Biar mungkin pada pandangan sesetengah orang tidak relevan lagi  untuk mempunyai anak-anak yang ramai antaranya kerana faktor terbesar ialah dari segi kemampuan keperluan  kewangan yang diperlukan. Tapi sekali lagi bagi saya, rezeki itu Allah yang tentukan. Walaupun tidak kaya,  rezeki saya dan suami tidak pernah putus untuk anak-anak. Walau tidak banyak tetapi anak-anak sendiri sentiasa belajar untuk hidup secara sederhana dan tidak bermewah dalam perbelanjaan harian mereka sendiri. Insyallah rezeki anak-anak tetap ada.

Bersyukur memiliki anak-anak yang ramai kerana merekalah penghibur hati. Manakan tidak jika selalunya ada  beberapa orang  anak-anak bersekolah dan tinggal di asrama, saya seolah seperti terasa ada kekurangan di rumah saya.

Pada saya dan suami, yang penting pendidikan yang diberi kepada mereka perlulah betul dan sesuai dengan potensi anak-anak. Hanya doa yang terbaik sentiasa mengiringi mereka. Biar kuatiti dan kualiti sama hebatnya.  Paling tidak boleh dinafikan ialah memberi   keutamaan kepada pendidikan akhirat, ajar, bimbing dan pantau anak-anak  supaya mereka jadi orang-orang yang sentiasa menjaga solat, puasa dan sentiasa memperelokkan akhlak.  Mudahan  kelak  apabila mereka dewasa , mereka tidak akan lupa pada saya dan suami dan akan jadi anak-anak yang beriman, soleh dan  solehah yang bakal menyelamatkan saya dan suami  di negeri abadi kelak.  InsyAllah.

Doa dari saya untuk anak-anak setiap masa....
Wahai Tuhan, jadikanlajh anak-anak ku yang ramai ini anak-anak yang soleh solehah,  bukan sekadar untuk disebut  tetapi jadilkanlah ianya realiti dalam kehidupan mereka. Kurniakan kejayaan hidup duna akhirat kepada mereka. Permudahkanlah segala  urusan kehidupan mereka di dunia dan akhirat.
Wahai Tuhan, jadikanlah anak-anakku  ini sebagai anak-anak yang mampu mendoakan aku ketika aku telah tidak  mampu lagi dan akhirnya  ketika aku berada di alam barzakh nanti. Hanya doa dari merekalah yang akan menyelamatkan diriku.
Amin

***********************************************************************************************



Siapa saya?


Norazura Childcare Practitioner
#Pakar Pengajar  Sijil Kemahiran Malaysia Asuhan dan Didikan Awal kanak-kanak
#Jurulatih/Fasilitator Asuhan dan Didikan Awal Kanak-Kanak
#Coaching Penubuhan TASKA/TADIKA
#Coaching Persijilan Kemahiran Malaysia
#Penulis EBOOK;
- Panduan Perniagaan TASKA
- 50 Koleksi Idea Kreatif Permainan Kanak-Kanak
- Panduan SOP Pengendalian  TASKA
#Bengkel Seni Kreatif Kanak-Kanak

Jika anda merupakan pendidik awal kanak-kanak, jom berbengkel bersama saya.


Datang berkumpulan untuk dapatkan bayaran diskaun.
PERCUMA, EBOOK tulisan saya.


No comments:

Post a Comment