Catatan oleh : Nor Azura Ismail
pnnorazuraismail@gmail.com
Beberapa
hari lepas, hari itu hari Sabtu, saya dan suami pergi makan tengahari di luar. Jarang
dapat makan tengahari di luar bersama kerana pada hari biasa , masing-masing
sibuk dengan kerja. Kami berdua sahaja tanpa anak-anak, kesempatan ini digunakan untuk berbual-bual
mesra sambil makan tengahari. (nak romantik di usia –usia 40 an ini)
Ketika
sedang makan, saya terlihat seorang ibu
muda yang sedang sarat mengandung memegang tangan anaknya yang berusia lebih
kurang setahun lebih. Disekeliling ibu muda itu juga kelihatan anak-anaknya yang lain
seramai 3 orang yang mungkin berumur antara 3 ke 6 tahun. Semuanya berpimpinan
tangan antara satu sama lain menuju ke meja makan. Mana pula ayah kepada anak-anak tersebut, tanya saya di dalam hati. Oh rupanya si ayah sedang memesan makanan di kaunter
makanan. Mata saya terus memandang gelagat ibu tersebut dan juga anak-anaknya. Dia kelihatan
begitu sabar melayan anak-anaknya.
Kelihatan sebelah tangan memegang perutnya yang memboyot manakala
sebelah lagi tangannya lagi memimpin tangan si anak kecil, wanita
tersebut terus mengarahkan anak-anak
yang lain duduk di meja yang telah dipilhnya.
Semua
anak-anak kecil itu patuh mengikut arahan
ibunya. Si kakak yang paling tua membantu mendudukkan adik yang mungkin berumur
hampir 3 tahun itu di kerusi yang
disediakan. Yang lain-lain telah pun duduk sendiri. Tiada pun kelihatan mereka berlari-lari
sementara menunggu si ayah membawa makanan. Aduhai pandai sungguh si ibu
mendidik anak-anaknya yang ramai itu berdisplin di tempat awam, detik saya di
dalam hati.. Tidak terdengar sekali bunyi si ibu marah atau bersuara tinggi.
Kemudian
kelihatan pula si ayah datang berturut – turut
dua ke tiga kali sambil membawa dulang berisi makanan yang telah
dibeli. Setelah selesai membahagi- bahagikan makanan kepada semua anak-anak,
lalu si ayah dengan tenangnya pula duduk makan. Anak-anak yang lain juga makan
dengan sendirinya. . Hanya anak yang paling kecil didudukkan dalam troli
pasaraya dan disuap makan oleh ibunya. Peliknya
tiada kedengaran anak-anak membuat kerenah ketika makan. Maka si ibu dengan
tenang dan sabar terus menyuap anak yang bongsu
manakala si ayah terus menjamah makanannya dengan berseleranya. Terkedu
melihat situasi seterusnya, setelah selesai semua makan barulah si ibu yang
sarat mengandung itu terakhir sekali makan.
Saya
sempat menjeling ke wajah wanita tersebut. Penuh wajah keibuan dan penuh dengan
riak ketenangan dan kesabaran. Si ibu
dan si ayah kelihatan masih muda persis seperti umur di awal 30an telah
mempunyai empat orang anak –anak yang kecil2 dan bakal mendapat anak yang ke
lima pula.
Sukarnya
hari ini melihat keluarga orang muda mempunyai anak yang ramai. Kebiasaannya
bilangan anak-anak mereka cuma dalam satu, dua dan paling ramai tiga orang,
masuk sahaja yang keempat , dah dikata ramai.
Pernah
serorang kawan sekerja saya berkata, bahawa jika dia berkahwin nanti, dia tidak
mahu mempunyai mempunyai anak. Katanya mempunyai anak menyusahkan dan sukar
baginya nanti untuk mengejar kejayaan dalam kerjayanya nanti. Benarkah kenyataan itu? Agak-agaknya kalau
semua orang berpandangan begitu, tiadalah kesinambungan generasi dan keturunan.
Bukahkah salah satu hikmah dari perkahwinan itu ialah untuk melahirkan zuriat keturunan yang bakal
mewarisi kehidupan seterusnya di atas muka bumi ini.
Berbalik
kisah ibu, ayah dan anak-anak nya tadi, saya sempat mencuit lengan suami saya dan menyuruhnya melihat
ke arah keluarga tersebut. Hmmm seperti apa yang ada dalam minda saya, suami
saya terus berkata, “ sama macam kita dulu”
Bila
melihat keluarga tersebut, memang sangatlah persisi saya dan suami suatu ketika
dulu membesarkan anak-anak. Ketika saya berumur 30 tahun, anak-anak sudah pun
seramai 5 orang. Ya, memang betul,
itulah saya dan suami suatu ketika dulu ketika anak-anak masih kecil dan
semuanya memerlukan pemerhatian dan penjagaan rapi. Saya mempunyai lapan orang
anak yang berusia antara 6 tahun lebih
hingga 21 tahun.Suatu masa dahulu , memang letih dan penat menguruskan
anak-anak yang kecil dan rapat antara satu sama lain. Seingat saya dulu,
sepanjang tempoh kelahiran dan membesarkan mereka semua, saya sentiasa berada dalam dua
keadaan samada sedang mengandungkan anak ataupun sedang menyusukan anak. Setiap
tahun bila bulan Ramadhan , saya
sentiasa berada dalam kategori wanita uzur, boleh berbuka puasa jika keadaan
memudharatkan. Tapi, selalunya saya gagahi juga untuk berpuasa penuh.
Teringat
dulu dulu, memang bersusah payah menjaga dan memantau anak-anak yang kecil. Masih
saya ingat lagi, ketika anak saya yang sulung berumur 7 tahun, dia sudah pun
mempunyai adik seramai 4 orang . Semuanya masih kecil. Waktu itu saya
mengusahakan TADIKA sendiri. Disamping ingin meraih pendapatan daripada
perniagaan TADIKA ( ketika itu saya bekerja sendiri sebab ramai anak yang masih
kecil), di TADIKA yang saya usahakan sendirilah anak-anak mendapat pendidikan
awal. Bila saya ke TADIKA , saya bawa anak-anak bersama termasuk yang masih
menyusu hingga adalah yang mengatakan saya tak professional dalam mengendalikan
TADIKA sebab saya bawak anak bersama. Kalau di rumah pula, jiran-jiran kata
anak saya bising sebab biasalah anak-anak, mana reti duduk diam, keluar masuk
longkang depan rumah dah jadi rutin mereka.
His,
memang susah mata yang melihat sebab mungkin mereka tidak memahami orang-orang
yang mempunyai anak yang ramai. Akhir
sekali, bila nak beli rumah, saya dan suami rancang beli tanah di kawasan
kampong dan bina rumah. Biar anak-anak yang ramai ini dapat meneroka
persekitaran dengan bebas dalam kawasan yang selamat. Hem, kalau nak kata anak-anak saya sewaktu kecil,
kalau tak jatuh memang tak sah namanya. Biasalah, kanak-kanak belajar dari
sesuatu pengalaman.
Saya
juga masih ingat lagi ada seketika , ketika saya dan suami membawa anak-anak
keluar berjalan-jalan ke pasaraya atau pergi bercuti, saya memegang tangan 2
orang anak, manakala suami pula mendukung yang paling kecil ( tentunya masih
bayi) . Anak yang besar sedikit saya suruh pimpin tangan adiknya dan jalan
berdekatan dengan kami. Bimbang betul
jika bawa anak-anak ke tempat
awam , takut hilang dari pandangan. Terasa agak sukar juga waktu itu mengawal
semua anak-anak.
Sewaktu
sudah memasuki fasa anak ke 7, ketika itu anak yang sulung baru masuk tingkatan
1, jika bawa mereka ke tempat ramai orang, saya selalu secara tiba-tiba akan
mengira bilangan anak , khuatir ada yang
tercicir pula. Memang pernahlah saya dan suami melalui pengalaman anak hilang
di pasaraya dan dijumpai semula di kaunter pertanyaan pasaraya setelah
pengumuman dibuat di corong pembesar suara.
Kini,
jika terdengar pengumuman seperti itu di pasaraya, saya akan tersenyum teringat
pengalaman saya sendiri. Tapi bila difikirkan di zaman sekarang ini, memang
bahaya anak-anak hilang di tempat awam apatah lagi ada manusia yang tidak bertanggungjawab dan tidak
mengasihani anak-anak, menculik anak untuk cepat kaya.
Berbalik
lagi kisah tadi, saya meneruskan perbualan bersama suami. Kata suami saya, sekarang ini zaman orang itu ( ibu dan ayah
tadi), zaman kita telah pun berlalu.
Anak
saya memang lapan orang tetapi sekarang ini kalau kemana-mana, sukar orang
percaya jika saya sebut anak saya lapan orang. Bila keluar makan bersama-sama
sekeluarga, ada yang kata anak saya yang no 1, 2 dan 3 itu adalah adik beradik
saya atau suami.
Kini,
anak-anak dah semakin remaja. Anak-anak saya terdiri dari dua generasi iaitu Y
dan Z. Generasi Y yang telah meningkat remaja sedang sibuk dangan dunia mereka
mengharungi tanggungjawab mereka sebagai pelajar. Manakala si generasi Z , yang
berumur antara 6 hingga 10 tahun sedang sibuk meneroka dan terus dengan dunia
bermain mereka.
Sekarang,
semua anak-anak saya sedang belajar. Baru-baru ini setelah keputusan SPM dan
STPM dikeluarkan ( anak no 2 dan no 3
antara calonnya), banyak hari jugaah suami saya, sambil saya mencelah-celah sibuk
sama-sama mengisi borang UPU anak. Ada masanya seperti kami pula yang beria-ria
hendak masuk universiti. Anak-anak saya
kelihatan rilek saja. Semuanya memerlukan perbelanjaan yang bukan sedikit ,
belum lagi dikira keperluan harian kami sekeluarga. Tapi, sesungguhnya saya
bahagia dan bangga mempunyai anak-anak
yang ramai Rupanya bila anak-anak sudah
remaja, mereka persis seperti kawan-kawan pula terutamanya suami saya sangatlah
prihatin dengan perkembangan semasa anak-anaknya. Oh ya , lupa nak cerita, anak-anak
saya kebanyakannya lelaki.
Anak-anak semua tidak banyak kerenah samada yang telah
remaja maupun si adik yang bersekolah rendah itu. Tidak sukar pun menguruskan
mereka semua. Cuma, memanglah tidak saya nafikan seperti yang saya katakan
tadi, keluarga besar belanja pun besar juga. Namun
saya yakin dan saya pernah dengar bahawasanya Allah akan mencukupkan keperluan
hambaNYa mengikut keperluan hambaNYA samada sedikit ataupun banyak.
Sudahpun
tamat zaman membesarkan anak-anak yang
kecil dulu. Walau masih ada yang kecil
tapi anak-anak saya sangat berdikari. Manakala si abang dan si kakak sangat
membantu dan ringan tangan dalam urusan rumah maupun menjaga adik-adiknya.
Saya
selalu bersyukur kepada Allah, anak-anak
kurniaan dariNya yang tidak ternilai dan sangat berharga. Biar mungkin pada
pandangan sesetengah orang tidak relevan lagi untuk mempunyai anak-anak yang ramai antaranya
kerana faktor terbesar ialah dari segi kemampuan keperluan kewangan yang diperlukan. Tapi sekali lagi
bagi saya, rezeki itu Allah yang tentukan. Walaupun tidak kaya, rezeki saya dan suami tidak pernah putus
untuk anak-anak. Walau tidak banyak tetapi anak-anak sendiri sentiasa belajar
untuk hidup secara sederhana dan tidak bermewah dalam perbelanjaan harian
mereka sendiri. Insyallah rezeki anak-anak tetap ada.
Bersyukur
memiliki anak-anak yang ramai kerana merekalah penghibur hati. Manakan tidak
jika selalunya ada beberapa orang anak-anak bersekolah dan tinggal di asrama,
saya seolah seperti terasa ada kekurangan di rumah saya.
Pada
saya dan suami, yang penting pendidikan yang diberi kepada mereka perlulah
betul dan sesuai dengan potensi anak-anak. Hanya doa yang terbaik sentiasa
mengiringi mereka. Biar kuatiti dan
kualiti sama hebatnya. Paling tidak
boleh dinafikan ialah memberi keutamaan kepada pendidikan akhirat, ajar, bimbing
dan pantau anak-anak supaya mereka jadi
orang-orang yang sentiasa menjaga solat, puasa dan sentiasa memperelokkan
akhlak. Mudahan kelak apabila
mereka dewasa , mereka tidak akan lupa pada saya dan suami dan akan jadi
anak-anak yang beriman, soleh dan
solehah yang bakal menyelamatkan saya dan suami di negeri abadi kelak. InsyAllah.
Doa
dari saya untuk anak-anak setiap masa....
Wahai
Tuhan, jadikanlajh anak-anak ku yang ramai ini anak-anak yang soleh
solehah, bukan sekadar untuk disebut tetapi jadilkanlah ianya realiti dalam kehidupan
mereka. Kurniakan kejayaan hidup duna akhirat kepada mereka. Permudahkanlah
segala urusan kehidupan mereka di dunia
dan akhirat.
Wahai
Tuhan, jadikanlah anak-anakku ini
sebagai anak-anak yang mampu mendoakan aku ketika aku telah tidak mampu lagi dan akhirnya ketika aku berada di alam barzakh nanti. Hanya
doa dari merekalah yang akan menyelamatkan diriku.
Amin
***********************************************************************************************
Siapa saya?
Norazura Childcare Practitioner
#Jurulatih/Fasilitator Asuhan dan Didikan Awal Kanak-Kanak
#Coaching Penubuhan TASKA/TADIKA
#Coaching Persijilan Kemahiran Malaysia
#Penulis EBOOK;
- Panduan Perniagaan TASKA
- 50 Koleksi Idea Kreatif Permainan Kanak-Kanak
- Panduan SOP Pengendalian TASKA
No comments:
Post a Comment