Nama :
Nor Azura Ismail
Teks :
Nor Azura Ismail
Foto :
Carian Google
Emel : pnnorazuraismail@gmail.com
Entri :
19
Assalamualaikum
dan salam sejahtera rakan-rakan pembaca semua.
Hari ini
saya terfikir nak menulis tentang sikap keterlaluan memanjakan anak. Kenapa, salahkan
memanjakan anak-anak ? Bagaimanakah dikatakan sikap memanjakan anak yang
keterlaluan itu?
Tulisan
ini saya kali ini ingin saya fokuskan kepada anak-anak di antara umur 4 tahun hingga 8 tahun. Kenapa umur
ini yang saya pilih? Jawapannya ialah
kerana anak-anak awal usia seperti ini ,
telah faham arahan, telah boleh
membezakan apa yang salah dan yang betul dan mudah menyerap didikan samada didikan yang
positif atau sebaliknya. Jadi, bila tersilap ibubapa terlalu memanjakan mereka,dikhuatiri kesan negatifnya akan dibawa membesar bersama-samanya.
Apakah yang dimaksudkan dengan memanjakan
anak? Memanjakan adalah perlu apabila ibubapa memanjakannya dengan cara memberkan
belaian kasih sayang kepada anak dalam masa yang sama memberi didikan sahsiah
dan akhlak yang betul kepada anak
tersebut.
Akan tetapi memanjakan anak menjadi suatu
kesilapan apabila ibubapa memberi
sepenuhnya kasih sayang tetapi tidak dihiasi dengan aspek didikan serta
tunjukajar yang betul.
Jom saya
nak kongsikan pandangan saya mengenai
kesalahan memanjakan anak secara
keterlaluan ini.
IBUBAPA
MENURUTI APA SAHAJA KEMAHUAN ANAK
Anak minta duit yang banyak , ibubapa beri sahaja tanpa
bertanya untuk apa.
Asal
sajaja nampak permainan, lalu anak minta dibelikan permainan walaupun mahal, ibubapa
belikan juga sebab rasa tak sampai hati.
Anak asyik
minta dibelikan baju baru tanpa sebarang keperluan, ibubapa belikan
juga.
Anak minta
iPAd, boleh saja. Minta aplikasi permainan (games) pun ok juga.
Anak baru
berumur 8 tahun, minta telefon bimbit, ibubapa sanggup keluarkan duit untuk
beli.
Anak
tidak mahu ke sekolah, ibubapa sokong.
Anak
terlalu dimewahkan dengan pelbagai perkara sebab ibubapa tidak mahu anak merasa
susah walaupun sedikit.
Boleh
dikatakan apa sahaja kemahuan anak, ibubapa akan turuti tanpa memikirkan boleh
sepatutnya kemahuan itu dipenuhi atau tidak. Ibubapa tidak sampai hati jika
tidak dituruti kemahuan anak. Ibubapa merasa bila kemahuan anak dituruti , itu
menandakan bahawa mereka sayangkan anak-anak. Hakikatnya ibubapa merosakkan
anak-anak sendiri.
KESANNYA,
anak akan merasa bangga dan hidup dalam keadaan mewah. Sesekali anak jadi seperti tuan, kerana mereka tahu apa sahaja
yang mereka mahu pasti akan dituruti.Anak-anak tidak akan tahu erti kesusahan
kerana apa yang mereka tahu, segala keinginan mereka akan dipenuhi oleh
ibubapanya. Bila dewasa kelak, jika anak diuji dengan kesusahan atau kegagalan,
anak itu akan cepat merasa putus asa.
ANAK
TIDAK DILATIH KEMAHIRAN URUS DIRI
Anak
dimanjakan dengan tidak dididik menguruskan diri mereka sendiri seperti contoh
mandi sendiri, pakai baju sendiri, kemas barang permainan sendiri, basuh kasut
sekolah sendiri. Tak salah sebenarnya
mendidik anak mengurus diri sendiri mengikut keupayaan umur anak tersebut. Kalau semuanya
anda yang buat atau bibik di rumah yang buat, anak akan membesar sebagai individu
yang tidak tahu berdikari dan tiada keyakinan diri untuk berbuat sesuatu
Terlalu dimanjakan sehingga satu kerja pun tidak boleh disuruh ketika di rumah.
Hatta memakaikan baju pun ibubapa@bibik yang kena pakaikan.
Tak salah
sesekali kita tolong anak tapi kalau kita tak pernah beri peluang pada anak buat sendiri atas
alasan tidak mahu sususahkan anak, itu yang menjadi kesilapan.
Kalau di
Taska biasanya kemahiran urus diri menjadi satu aktiviti yang dilatih untuk
kanak-kanak berumur 3-4 tahun. Tujuannya, bukan untuk menyusahkan anak-anak
tapi untuk memberi bimbingan kepada anak menjadi seorang yang boleh berdikari sejak
dari kecil lagi.
ANAK
TIDAK DIMARAHI BILA MEMBUAT KESALAHAN
Cuba
baca kisah di bawah.
Ada
seorang jiran datang bertandang ke rumah saya membawa anaknya yang berumur 6
tahun. Sewaktu saya sedang berbual-bual dengan jiran saya ini, anaknya yang berumur 6 tahun
itu asyik bermain dengan televisyen di rumah saya. Sekejap on, sekejap off, sekejap
ditukarnya saluran tv tersebut sesuka hatinya
sampai saya berasa tidak selesa dibuatnya. Nak ditegur, takut jiran saya
kecil hati. Sebaliknya jiran saya buat
tak tahu sahaja dan dibiarkan anaknya terus menerus begitu. Betulkah tindakan jiran saya itu?
Tiba-tiba
anak jiran saya itu berbuat nakal dengan menganggu anak saya yang sedang membuat
kerja sekolahnya. Sedikit pun jiran saya
tidak menegur anaknya itu. Dari pandangan
saya anak itu terlalu dimanjakan sehingga apa sahaja yang dibuatnya tidak ditegur walaupun ternyata tidak betul.
Sepatutnya
anak itu dinasihatkan dan boleh didenda jika dia salah. Dengan memarahi anak @ mendendanya
lebih berkesan untuk melatih anak
menjadi baik dan berakhlak. Sebaliknya
jika dibiarkan sahaja, tentu anak tidak tahu perkara yang dilakukannya
itu tidak betul.
Apa
kesannya pada anak itu? Tentulah anak itu akan membesar menjadi insan yang
kurang elok akhlak dan budi perketinya
kerana dari kecil ibubapanya tidak
menegurnya jika dia salah. Anak itu sendiri akan membuat persepsi bahawa semua yang dilakukannya adalah betul belaka dan itulah
yang akan dibawanya sehingga dewasa.
ANAK
TIDAK DILATIH DENGAN DIDIKAN AGAMA.
Biasa
dengar percakapan seperti ini?
“Biarlah
dia, kecil lagi tu, tak payahlah kita hantar belajar agama . kesian, sebelah
pagi dah penat bersekolah”
“Kesian,
kecil lagi dah disuruh solat, kan baru umur 7 tahun, biarlah , tak perlu suruh solat
lagi.
“Kecil
lagi anak tu, tak payah paksa dia pergi mengaji”
Pepatah
orang tua, melentur buluh biar dari rebungnya. Mendidik dengan pendidikan agama perlu diterapkan sedari kecil, bukan
hanya bila anak telah berumur 10@12 tahun. Kesannya bila dah agak besar, susah
nak di suruh samada solat atau menutup aurat.
ANAK
TIDAK DIBAERI PELUANG MENCUBA DAN MENEROKA
Yang ini,
banyak saya jumpa ibubapa begini. Saya ambil
contoh pesanan ibubapa yang menghantar anak ke pusat asuhan TASKA .
“Cikgu, jangan bagi anak saya lari, nanti jatuh pula”
“Cikgu jangan
biar anak saya main di padang, nanti
kena panas”
“Cikgu,
jangan bagi anak saya aktiviti main air, nanti demam”
“Cikgu,
jangan bagi banyak sangat aktiviti pada anak saya , nanti dia penat”
Semua
aktiviti menjadi kesalahan. Kesannya
perkembangan positif anak itu tidak dapat digalakkan. Fitrah anak yang ingin
mencuba pelbagai perkara telah dinafikan. Anak akan membesar sebagai individu
yang kurang kreatif dan kurang perdedahan kepada persekitaran tempat dia
membesar.
IBUBAPA
MARAH JIKA ORANG LAIN MENEGUR KESALAHAN ANAKNYA
Anak aku,
anak aku, anak engkau jaga sendiri. Ibubapa yang mempunyai prinsip begini sangat
tidak boleh menerima jika anak dimarahi atau ditegur oleh orang lain.
Contoh
di sekolah, pantang dengar anak mengadu cikgu memarahinya contoh akibat tidak
siapkan kerja sekolah, tunggulah sekejap lagi ibubapa itu akan datang berjumpa
dengan cikgu tersebut.
Kesannya,
apa sahaja kesalahan anak itu sukar untuk diperbetulkan oleh orang lain yang nampak keslahan
itu. Anak akan suka berbohong dan berpura-pura di hadapan ibubapanya.
SUKA
MENANGKAN ANAK
Ibu
marah anak , ayah menangkan anak. Jika ayah pula yang marah anak, ibu pula beri sokongan. Kalau nak sokong anak pun, biarlah di
belakang anak. Jangan sesekali bila ayah marah dan ibu pula sokong anak di depan anak.
Anak
akan jadi mengada-gada kerana dia tahu
bila salah seorang marah, yamg seorang lagi tentu akan menyokongnya. Jadi
kesannya anak keliru cakap siapa betul dan perlu diikuti.
Ok lah
itu sahaja sedikit pandangan saya mengenai keterlaluan memanjakan anak. Mungkin ada banyak lagi. Jika ada yang baik dari tulisan ini, jom
sama-sama kita ambil sebagai panduan.
Kata orang tua lagi, sayangkan anak tangan-tangankan. Bila terlalu
dimanjakan, takut kelak menjadi seperti dalam cerita Anakku Sazali. Tepuk dada tanya
pada diri sendiri.
Sekian,
Wassalam.
Dalam permainan poker dan domino 99 online membutuhkan banyak strategi untuk menang,
ReplyDeletememanfaatkan kartu bagus, ronde, waktu, taktik mengertak dan menipu lawan anda.
seperti dalam semua varian poker, setiap individu bersaing untuk sejumlah uang atau chip yang diberikan oleh para pemain,
dengan proses pembagian kartu secara acak. (PIN BBM: 7AC8D76B)