Sunday, 14 June 2020

Anak-anak sekarang, bermain kah seperti zaman kita dulu?

Oleh:Nor Azura Ismail
pnnorazuraismail@gmail.com 


Adakah kanak-kanak kini, bermain seperti zaman kanak-kanak kita dulu? 


Semasa zaman kanak-kanak saya dulu, apa sahaja permainan yang saya tidak pernah main? 


Cuba sebut permainan kanak-kanak dulu? 

Main Teng Teng, galah panjang, panjat pokok, main dalam bendang, Polis Entry, main lompat getah, main baling selipar, main batu seremban, main dalam anak air, main Datuk Harimau,  main bola baling, main tutup botol, main masak-masak, main cikgu-cikgu', main jual-jual, aduhaiii.. macam-macam jenis permainan ada. Memang wajib tahu dan mahir semua cara mainnya. Hebatnya saya bermain, ibarat seperti kanak-kanak lelaki 


Ahhh, masa itu tidak terfikir pun beza antara perempuan dan lelaki. Saya tinggal di kampung di mana rumah sepupu - sepupu rapat antara satu sama lain. Main jer lah kerja kami. Gaduh pun main juga. Kami kan kanak-kanak riang, gembira, ceria dan hidup bahagia dengan bermain sahaja. 


Sedari celik bangun pagi, ligat jer otak ni nak memikir apa yang nak main pada hari itu. Selalunya waktu siang, saya dan kawan-kawan sepupu sepapat itu, akan mainlah pelbagai aktiviti 'indoor' dulu'. Main sambil buat selerak dalam rumah, itu merupakan kerja hakiki zaman kanak-kanak saya. 


Waktu petang nanti, barulah kami semua akan wajib bermain permainan lain yang lebih lasak. 

Penat bermain, saya ubah pula kekreatifan zaman kanak-kanak saya. Habis satu kampung saya 'explore'.  Saja jalan-jalan keliling kampung. Nanti, dah hujung petang, baru saya balik rumah. 

Tu dia, riuh dan membebel lah para  mak berleter, panjang berulang-ulang sampai boleh hafal skripnya. Mak tak tau, sebelum itu saya dan kawan/sepupu dok puas 'explore sambil mencari pengalaman berkeliling kampung. Dahsyat tu, banyak yang saya dapat belajar asbab merayau keliling kampung itu. Yang penting, sebelum senja berlabuh, kaki mesti sudah kena jejak rumah. Nanti, kena sorok dek hantu kalau main masa nak masuk Maghrib, kata orang tua-tua dulu. Padahal mana ada hantu. Orang tua-tua semua itu, sekadar nak ajar anaknya berdisplin, jangan dok merayau lagi waktu malam. 

Lalu, tatkala malam berlabuh, usai habis belajar mengaji barulah kami semua (kanak-kanak) akan berkumpul ramai-ramai melangok depan TV yang siarannya tamat pada pukul 12 malam. Siaran TV pun banyak cerita mat salleh jer. Kalau mak bising, barulah tutup TV lebih awal. 


Nak cari 'games' atau 'hp', memang tak kenal lagi pun akan kebolehwujudannya pada masa itu. 


Ok, bila pergi sekolah, saya pun main lagi. Berkejaran sana sini dengan kawan-kawan tanpa letihnya. Paling best, dapat main rebut tiang. Leka dan ralit  sungguh main rebut tiang ini. 

Kalau aktiviti indoor di sekolah, mulalah saya main 'namakan - nama, negeri, buah dll). Ehhh.. ada lagi macam-macam permainan, lupalah pulak.

Main dan terus main, itu pasal  umur saya 6 tahun, masih tidak  boleh baca buku lagi. Masuk darjah satu pun begitu juga. Masuk darjah 2, merangkak-rangkak baru nak pandai membaca. Lepas tu, entah bilalah pulak tetiba pandai jer saya baca, tulis dan kira dengan sendirinya. 

Mak ayah pun tak kalut. 
Cikgu-cikgu di sekolah pun tak stress. Bila tiba masanya, saya tahu untuk belajar betul-betul. Tu dia, ayah saya pegang rotan. 


Hakikatnya, saya dan yang sebaya telah belajar banyak perkara dan menyerap nilai potensi serta perkembangan awal kanak-kanak secara semulajadi hanya melalui bermain. 


Saya tetap belajar pelbagai perkara dari persekitaran dan pengalaman asbab dari main yang macam-macam tadi.

Sehingga akhirnya, Alhamdullillah saya menjadi juga manusia yang berjaya dan seterusnya berjaya pula menempuhi zaman kanak-kanak yang ada di dalamnya macam-macam aktiviti main yang menerujakan. 

Bagaimana anak-anak kita kini? 

Jangan lupa kuasa main bakal melahirkan kanak-kanak yang lebih berpotensi dimasa akan datang. Sesuaikan mainnya dengan suasana dan keadaan di zaman digital ini.

Biar apa zaman sekali pun, kanak-kanak dan bermain sentiasa hidup seiring dan senada. Manakan bisa dipisahkan atau dihapuskan dari kamus hidup seorang kanak-kanak. 

Biarkan  kanak-kanak terus menjadi kanak-kanak.
Sebab.. itu adalah hak hakikinya. 

Catatan, 
Norazura
Trainer and Fasilitator ECCE 

No comments:

Post a Comment