Thursday, 26 March 2015

Panduan mengurut bayi

Teks : Nor Azura Ismail
 Foto : Carian Google

Entri 5

Pernahkah anda mengurut bayi anda sendiri?  Bagaimanakah cara urutan bayi yang betul?  Jom saya kongsikan bersama anda sedikit mengenai panduan mengurut bayi . Sumber rujukan saya untuk perkongsian kali ini ialah dari buku Modul Kursus Asuhan dan Didikan Awal Kanak-Kanak PERMATA. 



Urutan bayi merupakan satu langkah  yang boleh diaplikasikan dan  diamalkan untuk bayi yang baru lahir hingga enam bulan. Proses urutan perlu mengaplikasikan belaian dan sentuhan yang lembut. Urutan amat penting untuk perkembangan emosi ( memberi ketenangan dan merapatkan hubungan di antara bayi dan penjaga), fizikal bayi (penghadaman, pertumbuhan dan koordinasi anggota badan dan mengelakkan kembung perut (colic). Ibubapa@pengasuh perlu mahir dengan teknik urutan yang betul supaya tidak mendatangkan kecederaan kepada bayi yang akan diurut.

Kajian-kajian menunjukkan kesan sentuhan dan urutan untuk kanak-kanak boleh merangsang saraf otak untuk membantu penyerapan zat makanan dan penambahan berat badan lebih cepat. Selain itu, Pakar Perunding Pediatrik dan Kardiologi Pediatrik, Datuk Dr. Zulkifli Ismail menjelaskan bahawa kajian juga menunjukkan urutan bayi mampu mengurangkan tahap dan tempoh kolik pada bayi dan memperbetulkan masaalah tidur di kalangan kanak-kanak kerana urutan dapat membantu mereka tidur dengan lebih cepat dan kurang terjaga serta mampu untuk menyerlahkan perkembangan fizikal dan kesejahteraan bayi dan kanak-kanak. Perubatan moden juga turut menunjukkan bahawa urutan bayi meningkatkan tumbesaran tulang bayi sebanyak 15 peratus. Malah, urutan yang kerap juga ialah rahsia bagi menggalakkan perkembangan kemahiran motor yang lebih baik.Urutan yang lembut diberikan kepada bayi bukan sahaja menggalakkan pertambahan berat dan koordinasi otot badan bayi, bahkan menyumbang kepada kesejahteraan kesihatan bayi.

Melihat kepada banyaknya kebaikan urutan bayi ini, maka aktiviti mengurut bayi perlu dijadikan sebagai rutin harian di Taska dan dimasukkan dalam Jadual aktiviti kanak-kanak serta jadual tugasan pengasuh. Justeru iti juga, pihak Taska khasnya dan pengasuh amnya perlulah mempelajari dan memahami teknik urutan yang betul, berkesan dan selamat untuk diaplikasikan kepada bayi seterusnya dapat memberi kebaikan samada kepada bayi dan juga pengasuh. Bukan sahaja untuk diaplikasikan di Taska, bahkan semua ibubapa yang mempunyai bayi kecil, perlu mempelajari asas urutan bayi untuk sama-sama beroleh kebaikan daripada urutan bayi ini.

Apakah persediaan yang perlu dilakukan sebelum mengurut bayi?

i.              Pastikan kesediaan bayi

·         Bayi dalam keadaan mood ceria
·         Bayi sihat
·         Bayi dalam keadaan tenang
·         Tidak boleh urut selepas makan @ minum susu
·         Bayi tidak meragam
·         Bayi kelihatan selesa bila diurut.

ii.             Pastikan juga kesediaan ibubapa, penjaga @ pengasuh bayi

·         Berada dalam keadaan tenang.

iii.           Bermesra dengan bayi sebelum mengurut
iv.           Sentiasa berinteraksi dengan bayi semasa urutan.
v.            Cuci tangan anda sebelum urutan.
vi.           Pastikan bilik tidak sejuk dan persekitaran urutan adalah kondusif.
vii.          Tempat dan alas untuk membaringkan bayi adalah lembut dan selamat.
viii.         Pakaian bayi perlu disediakan supaya bayi dapat dipakaikan pakaian terus sejurus  
               selepas diurut,
ix.           Tanggalkan sebarang barang kemas atas jam ketika mengurut bayi.
x.            Pastikan kuku pegasuh pendek.
xi.           Lihat respon bayi semasa diurut.


Jom mula mengurut bayi anda, langkah demi langkah;





  • Pastikan kedudukan bayi dengan pengasuh adalah betul – perlu bertentang mata dengan bayi.

  •  Letakkan minyak atau losyen atas telapak atangan dan gosok di kedua –dua belah tapak tangan supaya ia tidak sejuk.


  • Urut kening bayi hingga hujung pelipis dengan kedua dua ibu jari.


  • Urut bahagian atas tulang sambil turun ke atas bahagian tulang pipi guna kedua dua ibu jari

  • Urut bahagian antara hidung dan bibir dari tengah hingga ke pipi dengan kedua-dua ibujari. 
  • Urutan ini boleh menggalakkan pertumbuhan gigi bayi yang belum tumbuh.
  •  Urut bahagian bawah bibir dari tengah kearah luar dengan menggunakan kedua dua ibujari.
·         Urut bahagian belakang telinga hingga ke bawah dagu dengan menggunakan jari jemari anda.

·       


  •   Urut kepala bayi dengan urutan bulatan kecil.



  •  Urutan silang – urut serong kea rah atas bahu, kemudiaan turun serong ke bawah, seterusnya bertukar tangan dan urut serong ke bahu yang satu lagi tanpa mengangkat kedua dua belah tapak tangan.





  • Urutan rama-rama – Urut bahagian tengan atas dada dari dalam keluar seperti sayap rama-rama hingga ke tengah dada tanpa mengangkat kedua-dua belah tapak tangan.






  • Urutan I L U – Urutan ‘I’ dari bawah, terbalik sambung selepas ‘I’, dan ‘U’ juga terbalik di bahagian perut bayi. Lakukan sambil menyebut ‘I Love you” dan nama bayi tersebut.





  • Urut perut bayi – dengan menggunakan hujung jari, urut mengikut gerakan bentuk ‘U’ terbalik tadi, dari kiri ke kanan.
  •  Urutan separa bulatan – urut mengikut urutan kiri ke kanaan tetapi hanya separuh bulatan.

  •   Urutan pergerakan roda – mengurut seolah-olah pergerakan roda menggunakan tepi tangan



  •   Untuk menguatkan otot otot bayi, angkat kaki bayi dan lipatkan di bahagian lutut. Sekiranya bayi enggan melakukan urutan ini, dengan menggerakkan kakinya biarkan dahulu kemudian cuba lagi.

  •  Mengurut tangan dari pangkal lengan hingga ke pergelangan tangan, dengan satu tangan pengasuh memegang pergelangan tangannya.





  • Urut tapak tangan ke jari bayi- bermula dari bawah hingga kea rah jari bayi dengan menggunakan ibu jari.
  • Urut jari jemari satu persatu dalam bentuk separa ‘U’. 
  • Urut pengelangan kaki bayi dengan menggenggam guna satu tangan manakala tangan yang satu lagi mengurut kaki bayi dari peha ke pergelangan kaki.





  • Urut tapak kaki bayi dengan ibu jaridari hujung tumit sehingga ke bahagian jari kaki.
  •   Urut jari jemari  kaki satu persatu.





  • Urut belakang bayi dengan kedudukan tulang belakang di antara ibu jari dan jari telunjuk. Mulakan urutan dari tengkuk ke punggung.
  • Urut belakang bayi dengan kedudukan tangan satu di atas dan satu di bawah bertentangan arah.
  • Urut di bahagaian belakang bayi dengan hujung jari bentuk bulatan kecil.
  •  Lalukan tangan dengan sentuhan yang lembut dan perlahan dari tengkuk hingga punggung.
  •  Pendidik juga boleh menepuk perlahan punggung bayi menunjukkan sesi mengurut telah selesai.
  • Berikan ciuman kasih sayang dan puji bayi.
  •  Sekiranya bayi menunjukkan reaksi penat atau mengantuk, tidurkan bayi.

Kesimpulan
Umumnya, bayi akan bertindak balas secara positif.Sebaliknya, jika dia menangis, cuba tenangkan dan jangan memaksa sekiranya dia ingin tidur ataupun menyusu. Mengurut bayi meningkatkan hubungan emosi dengan bayi dan boleh menenangkan dia, memperbaiki corak tidur dan pencernaan bantuan.

Sekian. Diharapkan perkongsian saya mengenai urutan bayi ini berguna buat para ibu dan pengasuh semua. 

Tuesday, 24 March 2015

Menghantar anak-anak balik asrama


Teks : Nor Azura Ismail
Foto : Koleksi Peribadi


Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca yang budiman,
Masa berlalu begitu cepat sekali sehingga sedar tak sedar saya telah pun mempunyai empat orang anak yang telah meningkat remaja.  Mereka terdiri dari tiga orang teruna dan seorang gadis remaja. Kali ini saya ingin bercerita sedikit mengenai kisah  4 orang anak-anak remaja saya  ini yang kesemuanya sedang belajar dan tinggal di asrama. Apa yang ingin saya fokuskan dalam kisah ini ialah pengalaman menghantar anak-anak ini balik ke asrama masing-masing dalam satu hari.  Kisah ini ialah coretan cerita saya pada hari Ahad lepas , 22 Mac 2015 iaitu pada hari terakhir cuti persekolahan suku penggal pertama baru-baru ini.
Sebelum itu, saya ingin memperkenalkan anak-anak remaja saya. Yang pertama, Muhammad Nabil Al Hakim sedang mengikuti program Diploma Multimedia – Animasi di Kolej Kemahiran Tinggi Mara , di Kundur, Negeri Sembilan. Anak remaja yang kedua ialah Siti Sarah Adibah, sedang mengikuti pembelajaran dalam Tingkatan 6 di Sekolah Menengah Agama Labu. Anak remaja yang ketiga pula  diberi nama Muhammad Tsaqif Al Mukmin, sedang belajar dalam Tingkatan 5 di MRSM Pengkalan Hulu, Perak bersempadan dengan Baling. Manakala anak remaja saya yang keempat ialah Muhammad Naqib Al Hariz, sedang  belajar dalam Tingkatan 4  di Maahad Ahmadi Gemencheh.  Sesungguhnya mereka berempat tidaklah jauh jarak usia antara satu sama lain. Bila keempat-empatnya balik bercuti bersama, banyaklah cerita dikalangan mereka adik beradik. Sebenarnya saya mempunyai empat orang lagi anak yang berusia di antara 6 hingga 14 tahun. Tapi kali ini, seperti yang saya maklumkan tadi, fokus kisah saya kali ini ialah mengenai empat orang anak remaja saya tadi.

Cuti sekolah selama seminggu telah kian hampir berakhir.  Anak-anak remaja saya ini seperti tidak menunjukkan reaksi seperti tidak  sabar untuk balik ke asrama setelah bercuti hampir seminggu di rumah.  Semuanya kelihatan rilek seperti cuti lama lagi akan  berakhir. Maksud saya di sini sepanjang cuti dan berada di rumah mereka tidak pun sibuk nak basuh baju atau beli barangan atau buat apa-apa persediaan  sebelum  balik termasuklah dalam hal memberi cadangan atau berbincang  mengenai bagaimana mereka akan balik. Macam saya tulis tadi, semuanya rilek sahaja seperti tidak mahu balik.Mereka seolah berkata  biarlah ibu dan ayah yang fikir semua perkara itu. Sepanjang di rumah, anak yang pertama,  kerjanya asyik melukis dan berimiginasi, yang kedua  , ulat buku sikit, jadi kerjanya asyik membaca, menelaah  dan menyiapkan tugasan sekolah. Sementara yang ketiga dan keempat kerjanya pula asyik bermain dan mengusik @ menyakat adk-adik yang kecil. Riuh sekejaplah rumah saya yang dimana apabila hari biasa kekurangan  ramai penghuni rumahnya. Untuk makluman rumah saya bukan di kawasan perumahan, sebaliknya ia terletak di tanah lot dalam kawasan kampong.  Memandangkan keluarga saya yang besar, saya dan suami memang dari awal telah mencari tanah dan membina rumah sendiri. Semuanya kerana kami mahu anak-anak di dibesarkan dalam kawasan persekitaran yang luas supaya sewaktu mereka kecil mereka dapat pelbagai pengalaman sebenar dari persekitaran. Ini sekaligus dapat menggalakkan perkembangan menyeluruh mereka dari pelbagai aspek perkembangan kanak-kanak. Jika dalam bidang kanak-kanak, mereka perlukan persekitaran yang kondusif untuk mereka menjalanakan pelbagai aktiviti dunia kanak-kanak dengan meneroka, merasai pengalaman sebenar dan mencuba. Inilah pendekatan yang dapat menyumbang kepada perkembanagn yang positif kepada kanak-kanak.

Berbalik pada kisah yang ingin saya ceritakan, tibalah hari Ahad dimana semua anak-anak ini perlu balik dan perlu sampai di asrama masing-masing sebelum pukul 6 petang. Seperti biasa, sayalah insan yang akan sibuk menyusun bagaimana anak-anak ini harus balik. Sememangnya telah menjadi kebiasaan bagi saya dan suami untuk menghantar sendiri anak-anak kami ini balik ke asrama. Dari anak yang pertama hinggalah yang keempat, dari hal persediaan barang yang hendak dibeli,  perancangan untuk balik,sehinggalah tiba waktu untuk  dihantar balik, kamilah yang uruskan. Bukan tidak mahu memberi anak peluang urus semua itu sendiri, tapi anak-anak seolah seolah-olah yang memberi kami ruang tersebut dan kami seperti merasa yang anak-anak itu masih memerlukan kami sebagai ibubapa untuk membuat keputusan bagi  mereka. Berbalik semula pada kisah hari dimana mereka berempat perlu balik, kebetulan malam sebelumnya kami  sekeluarga bermalam di rumah adik saya di Sg Buluh. Nak dijadikan cerita, disebabkan pada malam minggu itu kami ada program makan malam  bersama keluarga, jadi semuanya kepenatan sehinggalah keesokan hari anak-anak saya menyambung tidurnya semula selepas dikejutkan dari solat subuh. Jam telah menunjukkan pukul 9 pagi. Saya bergegas menyuruh semua bangun tapi arahan dan panggilan dari saya entah didengar atau tidak oleh anak-anak yang masih terpejam matanya ini.  Seperti halnya seorang ibu yang suka memberi arahan berkali-kali, maka berkali kali jugalah saya sergah seorang demi seorang untuk bangun mempersiapkan diri. Suami saya, seperti perihalnya sikap  seorang lelaki, juga kelihatan  rilek dan sabar dengan situasi tersebut.  Saya melihat jam di dinding rumah adik. Begitu cepat jarum jam bergerak. Dengan terhegeh-hegeh seorang demi seorang menunggu giliran untuk mandi seterusnya mempersiapkan diri masing-masing. Saya makin risau melihat jam di dinding. Sambil dalam hati berkata, masih adakah bas untuk ke MRSM pengkalan hulu ini?  Selalunya bas pada waktu pagi ialah pada pukul 11 pagi, sedangkan  jam sudah menunjukkan pukul 10 pagi. Sempatkah menuju ke Hentian  Jalan Duta ini, aduh makin pening kepala memikirkan. Saya saja yang kecoh dan kelam kabut tapi anak saya yang akan  balik ke MRSM itu benar-benar tenang . Semuanya sudah siap, tepat pukul 10. 20 pagi kami bersepuluh pun keluar dari rumah adik untuk menuju ke Hentian Jalan Duta. Oleh kerana bilangan  kami yang ramai, saya memandu satu kereta manakala suami pula memandu satu lagi kereta . Maknanya kami sekeuarga menaiki dua buah kenderaan yang berlainan. Untuk keluar dari kawasan Sg Buluh saya dan suami tidak berapa mahir jalannya, jadi kami menggunakan aplikasi waze untuk menjadi penunjuk jalan kami. Kereta saya menyusur kereta suami dari belakang akan tetapi entah macam mana setelah susur keluar dari tol Jalan Duta kami telah terpisah. Apa lagi,  saya ikut jalan lain manakala suami saya pula ikut arah lain untuk ke destinasi yang sama iaitu Hentian Bas Jalan Duta. Saya memandu dalam keadaan kurang tenang apatah lagi saya memang kurang mahir dengan jalan di sekitar Kuala-Lumpur.  Aduh,  memang berpusing-pusing dan sesat dibuat oleh cikgu’waze’ ini. Akhirnya sampai  juga ke Hentian Duta tepat pukul 11 pagi. Tempat untuk parkir kereta pula penuh, maka  berlegar-legar sekali lagi mencari parkir.  Dalam pada itu,  anak lelaki saya yang akan balik MRSM (namanya Tsaqif)  berada di dalam kereta lain  bersama suami saya , yang sesat juga dan belum sampai ketika itu.  Setelah dapat parkir,  saya bergegas turun dari kereta dan terus menuju ke kaunter tiket. Anak-anak lain menunggu  di dalam kereta bersama kakak dan abangnya. Belum sempat tiba ke kaunter  tiket, sudah ada yang bertanya pada saya, ‘kakak nak tiket bas ke mana?’. Lalu saya nyatakan yang saya mahu membeli  satu  tiket bas menuju ke Pengkalan Hulu. Kata adik tiket bas tu, ’ Tiket bas ke pengkalan hulu pukul 11 pagi  dah penuh kak, tunggulah kalau ada penumpang lain yang tak jadi naik.’  Aduh, mana pula suami saya ini?  Sementara itu saya meninjau –ninjau ke kaunter tiket  bas lain .  Rupanya, bas ke Pengkalan Hulu cuma satu sahaja, yang lain yang  berhampiran ialah bas ke Baling dan juga Sg Petani tetapi semuanya  pun sudah kehabisan tiket.

Pengkalan Hulu merupakan sebuah daerah kecil di Perak Hulu yang bersempadan dengan  Baling, Kedah dan juga Betong,  Thailand. Perjalanan dari Kuala Lumpur menuju Pengkalan Hulu melaiui Gerik  cuma mengambil masa selama lebih kurang   6 jam. Manakala perjalanan  ke Pengkalan Hulu melalui  Baling atau Sg. Petani mengambil masa lebih lama lagi. Berbalik pada cerita tadi, beberapa minit menunggu kelihatan kelibat suami saya bersama dengan anak saya,   Tsaqif dan adik- adiknya  yang  lain berjalan menuju ke kaunter tiket  tempat saya menunggu. Lalu kami terus mendapatkan adik tadi. Adik tersebut seperti menghubungi seseorang, akhirnya berkata, ‘Maaflah kak, bas tak ada yang kosong semuanya dah penuh.’  Jadi, macam mana ni? Hendak  dihantar balik jauh sangat sebab kami ada 3 lagi tugas menghantar anak yang perlu diselesaikan pada hari itu juga. Mahu tak mahu terpaksalah beli tiket bas pukul 11 malam sebab perjalanan cuma ada pagi dan malam sahaja. Kesian sungguh , maknanya Tsaqif tidak akan sampai sekolah sebelum pukul 6 petang. Saya sungguh risau tetapi raut wajah Tsaqif selamba sahaja. Memang budak-budak zaman sekarang ni tak kisah dengan peraturan yang dibuat oleh sekolah, iaitu kena sampai asrama sebelum atau pada pukul 6 petang. Akhirnya saya minta suami menghubungi cikgu sekolah untuk memaklumkan bahawa Tasqif hanya akan tiba di sekolah pada keesokan paginya. Habis satu cerita,  jadi sekarang ini terpaksalah kami hantar  Tsaqif ke rumah adik saya di Sentul,  Kuala-Lumpur,  sementara menunggu jadual perjalanan  bas pada puku 11 malam nanti. Naik semula kenderaan asing-masing, sekali lagi bepusing-pusing di bandaraya Kuala Lumpur  dek kerana tak mahir jalan di Kuala Lumpur. Tiba di rumah adik , waktu itu sudah pun hampir pukul 1 tengahari. Pagi ke tengahari yang memenatkan,  adik saya  pula memurahkan rezekinya dengan  membawa keluarga besar kami makan tengahari di luar setelah setengah hari kami yang mencabar. Tepat pukul 2.30 pm setelah selesai  mengamanahkan Tsaqif kepada ibu saudaranya, kami pun meneruskan misi kami yang kedua untuk menghantar anak kedua saya,  Siti Sarah Adibah pula ke sekolahnya. Sebelum meninggalkan Tsaqif, semua bersalaman sambil suami saya memeluk Tsaqif lalu berpesan, supaya Tsaqif jangan nakal dan belajar rajin –rajin.  Tsaqif yang tak banyak bercakap ( memang anak ini banyak suara yang tersirat) hanya tersenyum sambil mengganggukkan kepalanya tanda faham.



Misi diteruskan dengan masih menaiki dua kenderaan berasingan dimana misi seterusnya ialah ke Labu  yang terletak dalam perjalanan balik kami ke Negeri Sembilan. Kereta berjalan menyusur bersama  tetapi terpisah sekali lagi seterusnya melepasi Tol Sg, Besi.  Suami saya  menalipon saya untuk berjumpa semula dan bersolat di persimpangan susur keluar ke  Nilai selepas Tol Nilai.  Setelah solat bersama,  misi diteruskan lagi melalui Nilai menuju ke Labu. Dalam perjalanan itu, Siti Sarah memberitahu bahawa di hendak  membeli barang keperluan  untuk dibawa ke asrama. Aduh anak, sekarang baru hendak membeli barang keperluan.  Tanpa banyak bicara, kami singgah di Mydin Nilai bagi menuruti permintaan Siti Sarah tadi. Letih sungguh rasanya apatah lagi kerana saya turut memandu. Dalam hati saya  berkata juga, kenapa lah tak hantar anak kami belajar memandu supaya dia yang akan memandu  kereta,  bukan saya.  Selesai membeli  barang keperluan tersebut,  perjalanan  diteruskan menuju ke sekolah Siti Sarah iaitu  Sekolah Menengah Agama Persekutuan Labu, hanya terletak di tepi Jalan menuju ke Seremban. Dalam perjalanan itu hujan turun dengan lebatnya  sehinggalah sampai ke sekolah Siti Sarah hujan masih lebat lagi. Kami parkir kereta di bawah tempat letak kereta guru dan di situ kami bersalaman dan berpisah sementara dengan Siti Sarah Adibah. Seperti kebiasaan suami saya memeluk anaknya Siti Sarah dan memesan pada Siti Sarah supaya belajar rajin-rajin.

Selesai sudah  hal kedua, misi kami teruskan lagi  untuk menghantar Muhammad Naqib pula ke Gemencheh. Tiba-tiba Naqib berkata yang beg pakaian dan barangan ke asramanya masih berada di rumah. Aduh anak ingatkan hendak  terus ke Gemencheh tapi nampaknya terpaksa singgah dulu di rumah saya yang terletak pula dalam perjalanan ke Gemencheh.  Tiba di rumah dah hampir ke pukul 6 petang, memang sahlah Naqib akan tiba di sekolah juga lewat pada hari itu. Apa nak dibuat,  keluh hati saya, kami bukannya robot lalu memandangkan telah tiba di rumah , kami ambil kesempatan untuk  berehat sebentar dan seketika kemudian kami teruskan misi ketiga ini. Kali ini hanya menaiki satu kenderaan sahaja yang dipandu oleh suami saya. Kami pergi bertiga sahaja, saya, suami dan Naqib. Yang lain saya arahkan tinggal di rumah memandangkan anak yang sulung yang berusia 20 tahun ada di rumah. Dalam perjalanan mendekati waktu Maghrib, kata Naqib baiklah kita singgah solat maghrib di masjid terlebih dahulu.  Kami solat dulu dan selepas solat  terus menuju ke sekolah Naqib. Hasrat hati nak jumpa warden asrama untuk memberi penjelasan akibat kelewatan tersebut, tapi hasrat kami terbantut kerana ibubapa tidak dibenarkan masuk ke kawasan sekolah selepas pukul 6 petang. Sabarlah Naqib, pandai-pandailah menjawab dengan ustaz nanti. Bersalaman dan berpelukan dengan Naqib sekali lagi suami berpesan dengan pesanan yang sama pada anaknya supaya  belajar rajin rajin. Akhirnya selesai  ketiga  misi kami , sekarang tiba waktu untuk balik.


Tiba di rumah  yang mengambil masa 45 minit dari sekolah Naqib, kami terus mengambil anak sulung kami Muhammad Nabil untuk di hantar ke kolejnya yang terletak hanya setengah jam perjalanan dari rumah kami. Muhammad Nabil,  walaupun telah dewasa tetapi merupakan seorang anak yang pendiam dan kurang bersosial sebaliknya suka menghadap laptopnya menghasilkan skrip dan lukisan animasinya. Orangnya sungguh berseni dan kreatif melukis.   Setelah menghantar Nabil ke kolejnya,  maka selesailah seharian misi penghantaran  anak ke asrama pada hari ini. Hari yang memenatkan untuk saya dan suami tetapi kami puas dan senang hati kerana semuanya telah selamat diuruskan.


Untuk anak-anak saya yang kian meniti usia demi usia meningkat dewasa ini, sedari kelian kecil, setiap saat melihat kalian  membesar di depan mata ini, tiada pernah keluh kesah menemani hati ini. Biarlah hari ini ibu dan bapamu letih dan jerih menguruskann hal ehwal kamu tetapi inilah bakti kami kepada kamu. Walau kamu semua telah menginjak remaja, kami tatang kamu persis anak yang masih memerlukan pimpinan,  bimbingan dan bantuan yang berterusan dari ibu dan bapa.

 Duhai anak-anak, satu hari nanti bila kamu dewasa, ketahuilah  bukan harta yang kami minta dibalasi tetapi teruslah kamu mengasihani kami dan mendoakan, mensejahterakan sertakan membahagiakan sisa-sisa kehidupan hari tua kami nanti. Untuk kamu anak-anak, kami doakan semuga kamu semua berjaya di dunia dan di akhirat lebih-lebih lagi, menjadi anak-anak soleh solehah permata ketenangan  di hati sanubari kami. Amin

Monday, 23 March 2015

Cara mendidik anak suka mengamuk


Teks : Nor Azura Ismail
Foto : Carian google 


Pernahkah anda berhadapan dengan situasi anak anda sedang mengamuk atau ‘trantrum’? Bagaimanakah cara mendidik anak suka mengamuk? Apakah   tindakan yang harus anda lakukan sekiranya situasi tersebut berlaku pada anda?
Sebagai ibubapa, apabila anak-anak mula mengamuk atau ‘trantrum’, inilah satu perkara yang sangat stress dan memeningkan kepala untuk dikendalikan oleh ibubapa. Bayangkan anda berada di pasaraya dan anak anda inginkan satu permainan yang disukainya tetapi anda tidak mahu membeli atau melayan permintaan anak. Justeru itu anak anda berguling guling di lantai sambil mengamuk dan menangis tanpa anda fahami . Oleh  kerana semua mata melihat kepada gelagat anak dan anda  maka  anda pun mengambil langkah membelikan sahaja mainan tersebut untuk anak anda. Sebaik sahaja anak dapat apa yang diingininya amuknya pun hilang dengan mudahnya. Masalahnya  perkara yang sama berulang setiap kali anda ke pasaraya, Akhirnya anda buat keputusan biarlah tak payah bawa anak ke pasaraya lagi.

Mengapakah kanak-kanak suka mengamuk @ menunjukkan ‘trantrum’? Di sini saya ingin kongsikan antara sebabnya.

1.    Tidak mendapat apa yang mereka inginkan
2.    Mahukan perhatian
3.    Terlalu banyak diberi muka
4.    Keperluan asas tidak dipenuhi – penat, lapar, haus dsb
5.    Merasa bosan
6.    Belum mampu membezakan antara yang betul dan yang salah. Mereka akan    mengamuk sesuka hati mereka tanpa mengira masa dan temapat.
7.    Mempunyai kemahuan tinggi
8.    Mereka juga egosentrik atau mementingkan diri (terutama pada umur dua    tahun).
9.    Mereka juga sedang belajar untuk menjadi lebih berdikari dan suka melakukan  sendiri banyak perkara.
     Bagi mempraktikkan cara mendidik anak suka mengamuk, ibubapa perlulah mempunyai sedikit pengetahuan dan kemahiran mengenai tingkahlaku dan perkembangan anak-anak. Ada masanya ibubapa tidak faham dengan ragam anak dan menganggap kanak-kanak memang suka membuat perangai apatah lagi di depan  orang lain dan di tempat awam. Kerana pening kepala melayan ragam anak  ada juga ibubapa yang mula berang kerana semakin dipujuk semakin menjadi-jadi pula ragam si anak. Perlukah ibubapa memarahi anak? Perlukah ibubapa merasa tertekan ? Jawapannya tentu tidak perlu. Jadi apakah yang perlu dilakukan oleh ibubapa untuk berhadapan dengn ragam anak?

Mengikut kata seorang pakar kanak-kanak, kanak-kanak menunjukkan’ trantrum’ bukan kerana mereka nakal tetapi antaranya kerana ingin menunjukkan tanda marah atau sedih kerana mereka tidak boleh menyatakan dengan perkataan mengenai apa yang tidak kena pada diri mereka. Apa yang paling penting diketahui oleh ibubapa ialah mengamuk sebenarnya adalah satu perkembangan yang normal untuk kanak-kanak.  Walaupun begitu, sebagai ibu bapa, kita mesti menolong anak mengawal tabiat itu sejak di awal usia lagi.

Jom saya kongsikan juga sedikit cara   mendidik anak   suka mengamuk @ trantrum untuk panduan semua ibubapa yang mempunyai anak di awal usia.

1.    Tenang menghadapi kerenah anak.  Tarik nafas dalam-dalam.Cuba cari surah-surah yang sesuai untuk menenangkan hati anda dalam berhadapan dengan situasi dan ragam anak. Berdoalah juga untuk anak anda dan tiupkan di ubun-ubunnya dengan penuh kasih sayang. Cuba bacakan surah Al-Inshirah untuk melapangkan hati dan fikiran anda.

2.    Pastikan keinginan  asas dan keperluan emosi  kanak-kanak telah dipenuhi. Mungkin anak mengamuk kerana kurang diberi perhatian oleh anda. Mungkin anak berasa sedih, sakit, mengantuk atau lampin pakai buang mereka yang penuh tidak ditukar oleh anda. Jadi, uruskanlah  masalah anak-anak ini.

3.    Pastikan dalam kereta anda ada bekalan snek yang berkhasiat yang boleh diberi kepada anak sekiranya tiba-tiba mereka merasa lapar ketika  dalam perjalanan. Ini boleh jadi sebab untuk anak membuat kerenah dalam perjalanan. Tentu anda pening dan rasa terganggu ketika sedang memandu.

4.    Anak anda paling suka jika kita mahu mendengar masalah mereka. Pegang dan peluk  anak dan berikan mereka perhatian supaya mereka boleh menerangkan masalah mereka. Ini bukanlah bermakna apa sahaja yang anak inginkan, anda sebagai ibubapa perlu beri, cuma sebagai satu cara anda menunjukkan keperihatinan terhadap kehendak anak. Anak anda berhak menyatakan keinginan dan ketidakpuasan terhadap sesuatu.

5. Terangkan kepada anak secara berhikmah mengapa  keinginan mereka tidak boleh diikuti. Kebanyakan ibubapa hanya berkata ‘tidak boleh’ tetapi tidak menyatakan sebab mengapa’ tidak boleh’. Anak akan merasa sedih.
Ibubapa perlu beritahu pada anda sebab yang logik yang boleh diterima oleh anak. Saya bagi satu contoh anak yang mengamuk di pasaraya kerana inginkan gula-gula, jadi anda boleh ingatkan anak-anak tentang keburukan makan gula-gula yang banyak.
 
6. Alihkan perhatian anak apabila nampak simptom seperti hendak mengamuk.  Elak daripada memarahi atau menjerit pada anak . Anak tidak boleh dirotan  walaupun atas dasar untuk mendidik. Kesannya, anak-anak akan lebih dekat dengan kita dan merasakan kita sebahagian masa membesar mereka yang boleh dianggap sebagai rakan dan rujukan yang terbaik.
          Jika anak mengamuk kerana tidak dapat melakukan sesuatu cuba beri   
          sesuatu         yang        lain  atau permainan yang lebih mudah atau bantu anak. 
7.    Jika anak terus mengamuk, cuba jangan peduli dan tinggalkan sekejap.Jadi, jika anak terus mengamuk....buat -buat  jangan perhatikan. Cuma pastikan anak selamat. dan berada di persekitaran yang selamat juga. Apabila anak berhenti mengamuk, bincang   secara baik dengan anak akan kerenah mereka tadi. Terangkan juga bahawa kita akan tegas dengan pendirian kita.

8.    Tegas dan elakkan daripada mengalah dengan kehendak anak dan memenuhi permintaannya yang tidak sepatutnya kerana kanak-kanak memang bijak. Sekali kita mengalah apabila anak mengamuk, mereka akan tahu kelemahan kita dan akan mengamuk  lagi untuk situasi yang sama.
 
9.    Kawal amarah anda sebagai ibubapa. Anda merupakan ‘role model’ kepada anak anda. Jika anak mengamuk dan anda turut juga mengamuk sama, anak akan melihat dan merasa bahawa mengamuk adalah satu cara untuk menyatakan ketidakpuasan hati. Jadi, bertenanglah.
 
10. Peluklah anak walaupun selepas selesai mereka mengamuk. Beritahu pada anak yang anda sayangkan mereka.

Mengamuk atau ‘trantrum’  adalah antara contoh dari banyak kerenah kanak-kanak yang anda sebagai ibubapa perlu tahu dan fahami. Mengapa kita kadang-kadang sebagai ibubapa tidak mahu faham?Semuanya kerana kita  tidak peka cara mendidik anak suka mengamuk yang  berkesan dan sesuai untuk dipraktikkan dalam mendidik anak.

Jadi, .jangan lupa untuk cuba mengaplikasikan perkongsian di atas, antara cara yang boleh anda lakukan sekiranya  anak anda  suka mengamuk @ ‘trantrum’. Insyallah dalam catatan yang lain, saya akan kongsikan banyak lagi. Tunggu ye.


 

Tip kendali anak suka menggigit



Entri 2
Teks : Nor Azura Ismail
Foto : Carian google


Salam sejahtera semua,

Pernahkah anda berhadapan dengan anak yang suka menggigit kawan-kawannya? Kebiasaannya anak yang suka menggigit ini ialah anak-anak yang berumur sekitar 1 -2 tahun.
Atau mungkin anak anda sendiri suka menggigit?  Bagaimanakah cara  anda perlu kendali anak yang suka menggigit ini? Saya akan cuba kongsikan bersama anda beberapa tip kendali anak suka menggigit. Sebelum tu, cuba anda baca situasi di bawah ini.


Amir adalah seorang kanak-kanak yang berumur 2 tahun,  dihantar oleh ibunya untuk diasuh dan dididik di sebuah Taska yang berhampiran dengan rumahnya. Beberapa hari kebelakangan ini, ada beberapa  kali ketika mengambil Amir di Taska, cikgunya akan memberitahu bahawa Amir telah digigit oleh Faiz. Kebiasaannya  cikgu Taska tersebut akan memohon maaf atas perkara tersebut. Lebih memeranjatkan lagi bila cikgunya memaklumkan bahawa Amir telah digigit oleh kanak-kanak yang sama iaitu oleh Faiz. Pada mulanya ibu Amir tidaklah marah kerana menganggap perkara tersebut adalah perkara biasa di kalangan kanak-kanak kecil. Akan tetapi apabila telah beberapa kali digigit tambahan pula kesan gigitan tersebut sehingga melukakan bahagian luar kulitnya, mulalah timbul perasaan tidak puas hati pada ibu Amir. Akhirnya ibu Amir berjumpa dengan pihak pengurusan Taska bagi memaklumkan ketidakpuasan hatinya. Nak tahu apa soalan utama yang ditujukan kepada pengusaha Taska tersebut.
"Macamana anak saya asyik kena gigit dan kenapa cikgu tak betul-betul pantau anak yang bernama Faiz itu supaya dia tidak menggigit kawan-kawannya? Kenapa cikgu tak peka dengan anak-anak di Taska? Kenapa  cikgu Taska tidak  ambil  apa-apa langkah yang perlu  untuk mengatasi masalah gigit menggigit ini? Aduh, bertalu-talu soalan dari ibu Amir. Pening pihak pengurusan Taska nak menjawabnya.
Pernah berlaku di satu Taska kawan saya, disebabkan masalah gigit menggigit yang kronik telah berlaku, maka ibubapa kepada si anak yang menjadi mangsa gigitan telah mengambil keputusan memberhentikan  anaknya daripada Taska kawan saya itu , itupun setelah bertekak melahirkan ketidakpuasaan hatinya dengan pengusaha Taska tersebut.

Jadi, macamana cara untuk kita kendalikan anak yang suka menggigit ini  samada di rumah ataupun di Taska? Sudah  beberapa cara anda lakukan supaya dia tidak menggigit lagi tapi nampaknya anak masih terus suka menggigit?  Macam kes tadi, yang digigit ialah  kawan-kawan yang bermain bersamanya di Taska?  Aduh, memang  pening dibuatnya, dahlah anak yang kena gigit meraung menangis sakit kena gigit, cikgu di Taska pula pening nak cari idea  macamana nak berhadapan dengan ibubapa kepada anak yang telah digigit tadi.  Tambahan pula, seperti kes kedua di atas, bukan semua ibubapa memahami kerenah kanak-kanak dan mudah menerima situasi tersebut. Kalau sekali mungkin tak mengapa, tapi dah beberapa kali pulak anak yang sama kena gigit. Cuba anda perhatikan  macamana pula reaksi yang menggigiit itu, aduhai dia nampak rilek sahaja macam tak bersalah sahaja.

Jadi, sebelum saya kongsi tip kendali anak yang suka menggigit ini, saya akan kongsi dahulu mengenai kaitan tabiat suka  menggigit dengan perkembangan kanak-kanak. Mengapa kanak-kanak sekitar umur 1 - 2  tahun ini suka menggigit? Menurut kajian dari seorang ahli teori perkembangan kanak-kanak, Sigmun Freud, beliau mengatakan bahawa  personaliti manusia terdiri daripada tiga bahagian; id, ego dan superego.

  • Id ialah personaliti tidak sedar yang menekankan kepuasaan serta-merta tapi inginkan keseronokan ketahap maksima. Id tempat menyimpan segala keinginan manusia dan ia didorong oleh tenaga labido ( seks ) yang mengandungi desakan asas.
  • Ego ialah bahagian personaliti yang logis serta teratur. Ego mengawal Id supaya Id tidak mengawal norma-norma hidup.
  • Superego ialah bahagian personaliti yang bermoral. Superego berkembang secara beransur-ansur sejak kanak-kanak ketika berinteraksi dengan ibubapa atau gurunya. Superego akan menghantar maklumat kepada Ego dan Ego kepada Id.


Mengikut Freud, setiap kanak-kanak berkembang melalui lima peringkat. Saya hanya sentuh di sini peringat yang pertama iaitu peringkat Oral ( lahir- 18 bulan ). Pada peringkat ini kanak-kanak perlukan kasih sayang dan kepuasan dari ibubapa daripada aktiviti menghisap ( sebelum 18 bulan) dan menggigit ( selepas 18 bulan ). Anda mungkin biasa dengar orang berkata, kanak-kanak yang suka menggigit itu adalah kerana gusinya terasa gatal dan hendak tumbuh gigi. Jadi,kesimpulannya   menggigit itu adalah tabiat semulajadi kanak-kanak sejak lahir. Cuma bagaimana cara ibubapa atau pengasuhnya memberikan aktiviti yang sesuai dengan tabiat menggigit tersebut serta bagaimana mengawalnya daripada memudaratkan orang lain bahkan mungkin diri kanak-kanak itu sendiri. Seperti yang saya nyatakan tadi, tabiat mula menggigit orang lain ini akan mula kelihatan sekitar usia  1 - 2 tahun.

Mungkin, anda boleh mencuba tip  kendali anak suka menggigit yang saya berikan di bawah ini :

  • Berikan anak aktiviti yang sesuai dengan perkembangan tersebut. Anda boleh berikan dia alat permainan lembut yang mudah digigit dan tidak mencederakan bahagian mulut kanak-kanak.
  • Pantau anak ketika  bermain dengan kawan-kawannya.
  • Sekiranya didapati anak menggigit, cuba pisahkan anak sebentar dari kawan-kawannya.
  • Selalu beritahu pada anak yang suka menggigit bahawa menggigit adalah sikap yang tidak baik. Tapi, bukan perkara mudah untuk anak  faham. Perlulah beritahu secara konsisten dan sabar.
  • Jangan memarahi kanak-kanak tersebut, kerana mereka sebenarnya mungkin inginkan perhatian dari anda sebagai ibubapa atau pengasuh di Taska.
  • Jadi, sentiasa berikan perhatian dan kasih sayang kepada anak ini.

Ya, anda mungkin boleh cuba tip di atas ini. Saya ingin tambah tips lagi dimana baru sebentar tadi saya terjumpa dan terbaca sebuah blog  berbahasa Inggeris mengenai antara cara berhadapan dengan    anak  suka menggigit yang dikongsi melalui blog tersebut. Mungkin anda juga boleh ambil idea tesebut.
Penulis blog tersebut telah bertanya samada  anda  pernah dengar  cadangan atau cara@idea yang mengatakan jika anak menggigit orang lain, kita orang dewasa  perlu gigit dia pula. Teori atau pandangan itu mengatakan bahawa tujuan menggigit semula anak itu ialah supaya  dia sendiri  faham bahawa digigit adalah menyakitkan, jadi dia tidak boleh ulangi perbuatan itu terhadap orang lain, dia harus berhenti menggigit. Seperti penulis blog itu, saya juga macam tak setuju dengan cadangan menggigit semula anak yang telah menggigit kawannya itu. Ia seperti membuat anak berasa keliru. Kita beritahu  anak jangan menggigit sebab kena gigit tu sakit rasanya akan tapi kita sendiri pula yang menggigit anak kita.  Ini akan menyebabkan anak boleh jadi keliru dengan arahan kita. Kata orang melayu cakap tak serupa bikin.
Akhirnya penulis blog telah mencadangkan supaya anak yang menggigit itu, minta  dia gigit tangannya sendiri sehingga berbekas. Selepas itu, tanya  pada anak 'sakit tak kena gigit?' Apa agaknya jawapan anak?

Menurut penulis blog itu, dia  mempunyai anak berusia 2 tahun yang kuat menggigit.  Satu hari sedang anak tersebut bermain di tepi kaki ibunya, tiba-tiba tanpa disedari dia telah menggigit kaki ibunya. Si ibu tak marah sebaliknya dia meminta anaknya itu gigit pula  tangannya sendiri. . Bila anak itu menggigit tangannya  sendiri sehingga meninggalkan bekas, sambil merasa hairan, dia memandang bekas gigitan  tersebut.  Kemudian dipandangnya pula kepada ibunya dengan pandangan seperti dan seolah berkata , "ibu, memang sakitnya saya gigit tangan saya sendiri"
Selepas mencuba beberapa kali menggigit tangannya sendiri, dia mula sedar akan keburukan menggigit orang lain. Sakit juga kena gigit ini rupanya,  akhirnya sebagai 'option' lain, si ibu telah memberi si anak pilihan untuk mengunyah  benda lain sebagai ganti menggigit tersebut. Si ibu juga akan berkali-kali  ingatkan anak bahawa kena gigit itu sakit rasanya. Selang beberapa hari, anak tadi telah menggigit semula lalu si ibu mengulangi cara di atas dengan perasaan sabar.

Sumber rujukan 

Jadi, bagaimana? Mungkin kepada anda yang ada anak suka menggigit, bolehlah cuba idea di atas. Biasalah, seperti yang saya nyatakan tadi, menggigit adalah sebahagian daripada kerenah semulajadi kanak-kanak.

Kepada cikgu di Taska pula, berbincanglah dengan ibubapa kepada anak yang suka menggigit tersebut. Mungkin anda  boleh cadangkan idea di atas. Kerjasama di antara pihak Taska dan juga ibubapa adalah penting untuk mengatasi masalah  tersebut. Sebagai ibubapa pula, anda perlu belajar memahami perkembangan anak anda.
Ok, setakat ini dulu. semuga perkongsian di atas dapat memanfaatkan anda.