Teks : Nor Azura Ismail
pnnorazuraismail@gmail.com
SETUJUKAH ANDA, anak-anak yang bakal berumur 7 tahun yang akan memasuki tahun 1 di sekolah rendah perlu dipastIkan telah
pandai membaca?
Sebagai seorang pengiat industri pendidikan awal kanak-kanak,
jawapan saya ialah
sangat tidak bersetuju sama sekali. Jawapan yang sering tak terjawab di minda
saya, aduhai mengapa perlu menekan dan memaksa anak-anak di bawah 7 tahun ini
belajar beria-ria dan buat latih tubi
membaca seperti anak-anak yang telah
bersekolah? Kenapa nak marah pada anak memasuki umur 7 tahun yang belum dapat membaca lagi?
Sebenarnya, kita sebagai pendidik dan ibu bapa
belum memahami anak-anak. Dan paling
parah, kita tidak memahami konsep pendidikan awal kanak-kanak.
Suatu ketika dulu, saya pernah membuat kesilapan dalam merealisasikan pendidikan awal
kanak-kanak ini kepada anak-anak berumur 4, 5 dan 6 tahun . Ketika itu saya
mengusahakan perniagaan TADIKA saya sendiri. Matlamat akhir saya dan juga bagi
memenuhi harapan tinggi ibu bapa ialah di akhir tahun pembelajaran nanti, anak-anak
ini mesti sudah boleh membaca. Maka ,
saya akan sedaya upaya memastikan matlamat tersebut tercapai. Apa yang saya
buat? Antaranya, saya perkenalkan kepada ibu bapa program membaca dengan cepat, adakan sesi belajar ‘one to
one’ dengan anak-anak kecil ini , adakan kelas tambahan membaca. Lagi, saya beri latih tubi membaca setiap hari
dan hakikatnya saya paksa emosi anak-anak ini untuk belajar.
Hasilnya, kerana anak-anak ibarat span yang mudah menyerap apa
sahaja, lalu ramailah anak-anak keluaran TADIKA saya boleh
membaca dengan baik . Malah, bukan sekadar bacaan dalam Bahasa Malayasia bahkan
bacaan dalam bahasa Inggeris juga.
Itulah yang diimpikan ibu bapa.
Aduh, bangganya saya
kerana dapat melahirkan anak-anak yang boleh baca di awal usia. Anak-anak itu terus
dilabel sebagai anak yang cerdik dan pintar yang boleh membaca di awal usia
sebelum 6 tahun. Itu yang kebanyakan
TADIKA akan cuba capai. TADIKA yang dapat mengeluarkan anak-anak yang boleh baca, itulah TADIKA yang
terbaik pada pandangan dan persepsi ibu bapa. Secara tidak langsung inilah
perkara utama yang dapat mempromosi TADIKA supaya ramai lagi ibu bapa yang
menghantar anak ke situ.
Tetapi, saya mula perasan, anak-anak yang boleh baca awal usia
biasanya adalah anak-anak yang kurang keyakinan diri, penakut, pemalu, pendiam,
kategori anak-anak yang tak banyak bermain malah kurang pandai bergaul dan berkomunikasi.
Mereka mempunyai emosi yang kurang sihat
dan self esteem yang rendah. Saya
perasan itu semua.
Saya juga perasan , anak-anak yang tak pandai baca pada usia 5@6
tahun adalah anak-anak yang tak boleh duduk diam, aktif dan banyak bermain
serta banyak meneroka dan banyak keinginan serta perasaan ingin tahu. Saya mula
tertanya mengapa?
Bila saya terjun ke bidang pendidikan awal kanak-kanak yang
lebih muda sedari 0 hingga 4 tahun, saya mula sedar akan kesilapan saya. Saya
mula belajar mengenai tahap demi tahap
perkembangan kanak-kanak. Saya korek pelbagai potensi awal yang boleh dibentuk di peringkat awal usia anak-anak. Dan apa yang penting saya mula belajar
memahami tingkahlaku , kerenah serta sikap semulajadi kanak-kanak.
Saya teruja untuk mengetahui
bahawa antara sikap atau tabiat semulajadi anak-anak ialah BERMAIN. Kerja
hakiki anak-anak di bawah umur 7 tahun
ialah BERMAIN dan bukannya belajar.
Selama ini persepsi saya dan juga kebanyakan ibu bapa di
luar sana terhadap pendidikan awal kanak-kanak andalah salah. Pendidikan awal
bukan bermaksud memberi pelajaran formal
seperti membaca kepada anak-anak. Pendidikan awal bermakna mengenalpasti tahap
perkembangan dan memberi galakan untuk anak mencapai tahap perkembangan
yang tertentu. Pendidikan awal juga bermakna mengenalpasti potensi diri anak dan membantu mengilap potensi tersebut.
Justeru itu, saya dan
anda sebagai pendidik maupun ibu bapa perlu tahu dan faham akan
setiap aspek tahap perkembangan
kanak-kanak supaya kita dapat beri
galakan ,sokongan dan dorongan untuk
anak.
Apakah aspek perkembangan awal kanak-kanak?
Perkembangan sosiemosi – bentuk emosi yang positif pada anak
seperti yakin diri, berani
Perkembangan bahasa –
galak anak menggunakan bahasa yang betul dan bijak berkomunikasi
Perkembangan kognitif – galak anak berfikir , menggunakan
deria untuk meneroka dan belajar pelbagai dari alam dan persekitaran.
Perkembangan kerohanian- terapkan nilai moral, akhlak dan
ketuhanan
Perkembangan fizikal – galak anak tingkatkan moto halus dan
moto kasar
Perkembangan kreativiti
dan estetika – galak anak supaya kreatif dan mempunyai imiginasi pelbagai
Malah mengikut kurikulum PERMATA yang menjadi panduan
perkembangan pembelajaran di TASKA , antara perkembangan lain yang turut perlu
dibentuk pada anak ialah perkembangan sahsiah - belajar bergaul dan komunikasi
serta literasi awal.
Bagaimana pula cara terbaik
menggalakkan semua aspek perkembangan ini? Adakah melalui pembelajaran formal
seperti di sekolah? Adakah dengan memberi anak-anak kecil ini latih tubi dan
pelbagai tugasan atau kerja rumah.
Tahukah anda sebenarnya setiap aspek perkembangan ini boleh diterapkan kepada anak-anak dengan mudah hanya melalui bermain sahaja. Bukankah bermain kerja hakiki anak? Mereka memang
bermain tetapi secara tak langsung mereka banyak belajar menyuburkan pelbagai
aspek perkembangan tersebut hanya
melalui bermain. Jadi, biarkan anak-anak bermain.
Anak main blok, mereka berfikir bagaimana susun blok menjadi
tinggi
Anak main pasir, bina
istana, mereka cuba merealisasikan imiginasi mereka.
Anak berlari sekeliling rumah@ taman, mereka belajar meneroka
persekitaran
Anak main olok-olok dengan kawan sebaya, mereka belajar
bersosial dan bergaul serta berkomunikasi dengan bahasa yang betul.
Anak yang suka usik itu ini, mereka mempunyai perasaan ingin
tahu yang tinggi.
Anak yang aktif berlari, mereka membina kecergasan diri.
Jad, mengapa perlu dipaksa anak duduk sebelah anda dengan
keadan anda marah dan tinggi suara untuk ajar mereka membaca. Mengapa pula masih ada
TADIKA yang menyusun ruang susunatur dalam kelas sama seperti belajar di sekolah?
Mengapa pihak TADIKA perlu stress ajar anak-anak membaca dan beri
pula kerja rumah yang banyak.
Entah kenapa saya memang tak boleh terima kalau dengar seorang
cikgu di TADIKA cuba menakutkan dan menginggatkan ibu bapa supaya memastikan anak-anak
boleh baca dengan baik sebelum masuk
tahun 1. Mereka terangkan pada ibu bapa betapa hebatnya persaingan akademik
anak-anak di tahun 1. Kalau
kebetulan jika anak 6 tahun itu tak boleh baca, cikgu cadangkan pula ibu bapa hantar anak ke kelas tambahan. Bagi saya, memadai sajalah kalau anak yang
tak boleh baca itu telah kenal huruf dan boleh menyebut dua sukukata. Mereka
bukan tak pandai , mereka cuma belum bersedia. Percayalah.
Ini cerita anak saya yang berumur 6 tahun. Saya hanya hantar dia ke TADIKA sebaik
umurnya 6 tahun. Baru ni, saya baca ‘whatapp
group’ dari guru TADIKA nya. Cikgu post
jadual peperiksaan akhir tahun dan pesan ibu bapa pantau anak-anak
belajar di rumah.
Kalau ibu bapa lain, mungkin akan rasa cikgu TADIKA sangat
prihatin .Aduhai kesian anak-anak, tahun-tahun di mana kerja hakiki mereka sepatutnya bermain tetapi
mereka perlu pula duduk menelaah seperti kakak abang yang akan menghadapi
peperiksaan di sekolah.
Sekali lagi, ingin saya ingatkan, hakikatnya anak-anak
memang perlu bermain. Hakikatnya anak-anak ini tidak perlu dipaksa untuk belajar. Percaya tak
bahawa apa yang perlu diterapkan terlebih dahulu ialah ilmu mengenai kehidupan
disamping membentuk anak dalam setiap aspek perkembangan yang telah saya nyatakan tadi. Keinginan untuk belajar akan datang sendiri
bila anak telah bersedia menerima pembelajaran formal. Masanya pasti akan
muncul juga. Yang pasti setiap anak adalah berbeza pencapaiannya.
Teringat saya pernah
terbaca bahawa pendidikan awal anak di Jepun bermula dengan mendidik akhlak.
Pendidikan berteraskan peperiksaan bermula hanya bila anak berumur 10 tahun
sahaja.
Berbeza dengan sistem pendidikan kita yang telah diwarisi begini, bila nak masuk tahun 1 sebolehnya anak mesti dah boleh membaca dengan baik. Cikgu di tahun 1 suka
kalau anak-anak sudah boleh membaca. Lalu kasihan anak-anak yang dikelompokkan
dalam kumpulan belum boleh membaca. Seawal
usia 7 tahun anak-anak telah mula dinilai tahap pencapaian akademiknya. Bukahkah
sebenarnya dalam silibus pembelajaran tahun 1 anak-anak perlu diajar semua
huruf dan gabungan sukukata hingga boleh baca. Akan tetapi, anak-anak ini pula dikategori sebagai
anak-anak yang ketinggalan.
Lain orang mungkin lain pandangan. Mungkin ada ibu bapa
tidak setuju dengan pandangan saya bahawa
anak tidak perlu dipaksa untuk belajar membaca.
Tapi saya membuktikan salah
seorang anak saya yang tidak boleh membaca di awal usia dan yang kurang
penonjolan akademik ketika di sekolah
rendah ( kini dia berusia 19 tahun), dia
merupakan pelajar terbaik SPM di sekolahnya,. Bakal menduduki STPM tahun ini
dan dia akan membuktikan dia bakal pelajar terbaik STPM di sekolahnya juga. Satu ketika dulu, ketika di sekolah rendah dia tidak pernah dapat nombor 1 dalam kelasnya.
Apa yang penting, biarlah anak-anak kecil yang di bawah 7 tahun ini belajar kerana
minat dan kesediaan mereka. Tugas kita
beri dorongan dan galakan bukan paksaan.
Apa yang penting, kejayaan anak-anak
bukanlah hanya diukur dari kejayaan akademik sahaja. Lihatlah kejayaan anak pelbagai
aspek. Setiap anak mempunyai potensi diri yang berbeza. Apa sahaja potensi yang berjaya digilap dan
diserlahkan oleh anak, itulah kejayaan
buat anak-anak. Jangan lupa juga doa
kita sebagai pendidik dan juga ibu bapa.
CHILDREN ARE NATURAL LEARNERS.
CURIOSITY IS THE ENGINE TO ACHIEVEMENTS
Norazura Childcare Practitioner
#Jurulatih/Fasilitator Asuhan dan Didikan Awal Kanak-Kanak
#Coaching Penubuhan TASKA/TADIKA
#Coaching Persijilan Kemahiran Malaysia
#Penulis EBOOK;
- Panduan Perniagaan TASKA
- 50 Koleksi Idea Kreatif Permainan Kanak-Kanak
- Panduan SOP Pengendalian TASKA
Nak jemput saya memberi ceramah/bengkel keibubapaan @sebarang Training/bengkel untuk guru@pengasuh TASKA TADIKA, hubungi saya;
TEL : 016 7235080
EMEL : pnnorazuraismail@gmail.com



