Teks : Nor Azura Ismail
pnnorazuraismail@gmail.com
Petang semalam cuaca memang boleh tahan panasnya. Saya ajak suami saya minum 'coconut shake' di sebuah gerai minuman bawah pokok. Sedap dan nyamannya menghirup air yang sejuk di waktu cuaca panas ini. Sedang berbual, tiba-tiba terdengar seekor anak kucing datang mengiau di celah-celah kaki kami. Lapar agaknya. Kebetulan saya sedang makan kuih pau lalu saya cubit sedikit kuih pau tersebut lalu beri pada anak kucing tersebut. Memang dah agak , anak kucing tersebut cuma ambil bau sahaja, langsung tak dijamahnya pun kuih pau tersebut.
"Tentulah bukan makanan kucing dan tak sesuai dengan selera kucing tu," kata suami saya.
Oleh sebab anak kucing itu tidak mahu makan apa yang saya beri, saya pun tidak menghiraukannya lagi. Saya leka pula melayan panggilan telefon dari seorang pelanggan saya.
Sebaliknya, anak kucing itu terus mengiau lalu tetiba ia naik ke atas peha suami lalu memanjat ke bahunya pula. Suami saya membiarkan sahaja aksi anak kucing itu. Dalam hati saya, kalau kucing itu buat begitu pada saya, tentu saya dah menjerit sebab saya bukan pengemar kucing.
Kucing itu terus mengiau-giau sambil memanjat badan suami saya. Suami saya tiba-tiba berkata, "Anak kucing ni lapar betul agaknya, kena bagi dia makan ni."
Suami tiba-tiba bingkas bangun dari kerusi sambil berkata lagi, " Jom, abang nak belikan ayam KFC untuk anak kucing ni.
Aduh terkejut saya. Saya biarkan suami berlalu pergi sambil mendukung anak kucing itu. Saya pun tergesa-gesa habiskan dulu minuman saya yang masih bersisa itu. Kebeltulan KFC berada di seberang gerai minuman itu.
Dari seberang jalan, saya lihat suami saya meletakkan anak kucing itu di luar KFC dan dia sendiri masuk untuk beli makanan.
Tahu tak apa yang suami saya beli, seketul ayam goreng KFC. khas untuk si anak kucing. Adik yang di kaunter tu sampai berkali tanya, "nak beli seketul jer ke bang', "Ya, seketul saja", jawab suami saya dengan muka selamba.
Selepas beli ayam goreng yang hanya seketul itu, suami saya keluar dari KFC dan dia tengok anak kucing itu hilang seketika. Persis seperti anak sendiri yang hilang, suami saya mencari-cari lalu bertanya pada seorang kakak yang lalu di situ
"Kak, ada tak ternampak anak kucing kat sini tadi"', "Tu ada" , kata kakak tersebut sambil menunjukkan ke suatu arah.
Seolah seperti memahami ada orang nak beri ia makan, anak kucing tersebut meluru ke arah suami saya sambil mengiau bila ia ternampak suami saya berjalan ke arahnya.
Dengan beralaskan kotak makanan KFC tersebut, suami saya lalu meletakkan seketul ayam goreng tersebut di atas atasnya. Apalagi, tak sempat mengiau pun, anak kucing tersebut terus makan dengan berseleranya. Puas hati suami saya dapat memberi makan pada si anak kucing yang kelaparan itu.
Kenapa saya kongsikan cerita ini?
Sekadar untuk bersama-sama kita renungkan dan fikirkan, jika dengan binatang , seorang manusia sanggup bersusah payah memastikan yang ia tidak kelaparan, apatah lagi kita dengan sesama makhluk yang bernama manusia lebih -lebih lagi kasih sayang kepada anak-anak.
Bagaimana hubungan kita dengan anak-anak kecil? Apatah lagi, kita orang dewasa sangat perlu menzahirkan kasih sayang kepada anak-anak kecil tanpa mengira samada mereka adalah anak sendiri, anak asuhan , anak didik maupun anak-anak yang ada di sekeliling kita atau yang tak nampak di mata kita.
Sesekali bila membaca kisah anak-anak dibuang begitu sahaja, alangkah sedihnya. Di manakah nilai kasih sayang seorang ibu yang bersusah payah mengandungkan. Mati si anak dalam timbunan sampah persis seperti seekor binatang. Dimanakah nilai kasih sayang seorang lelaki yang bergelar ayah yang sepatutnya memberi nafkah dan kesempurnaan hidup kepada anak-anak.
Bagaimana pula dengan anak-anak yang di dera fizikal dan emosinya oleh orang dewasa yang sepatutnya menjadi pelindung kepada mereka? Dimanakah nilai kasih sayang kepada anak-anak kecil?
Terkenang pula saya pada kisah anak-anak di bumi Palestin maupun anak-anak di Syria. Sedih dan pilu melihat nasib mereka yang saban waktu didendangkan dengan bunyi letupan jerit pekik yang menganggu emosi dan perasaan. Usahkan dikata untuk melalui tahap demi tahap perkembangannya dengan sempurna, asal dapat meneruskan kehidupan pun sudah cukup bermakna buat anak-anak ini. Kasihan sungguh, nyawa mereka seumpama di hujung tanduk sedangkan apalah yang mereka tahu mengenai perselisihan orang dewasa dalam kehidupan.
Jelas sama sekali tiada belas dan kasihan orang dewasa walau sedikit buat mereka, anak-anak syurga ini. Kasih sayang kepada anak-anak tandus dan hilang dalam kekejaman orang dewasa.
Pada kita yang mempunyai anak, membesarkan anak perlu dengan kasih sayang yang benar-benar suci dan ikhlas. Kasih sayang bukan sekadar beri kemewahan dan kesenangan pada anak-anak tapi kasih sayang perlu lebih dari itu. Bukan kasih sayang jika kita sebagai ibu bapa sentiasa dan semata momokkan anak-anak dengan hiburan melalaikan atau dengan teknologi yan mengkhayalkan. Mari belajar memahami hakikat pengertian kasih sayang yang sebenarnya yakni kasih sayang yang lahir dari hati dan jiwa yang sempurna berteraskan keimanan.
Kasih sayang itulah yang mempunyai nilai yang tidak terhingga. ia perlu lahir dari hati dan sanubari. Kasih sayang yang bermakna dan ternilai juga akan lahir dari nilai keimanan yang tinggi dalam diri seseorang. Petuanya senang sahaja, berkasih sayang lah dahulu dengan ALLAH nescaya kasih sayang sesama makhluk terutamanya pada anak-anak kecil akan terpancar penuh ikhlas dalam hati-hati kita. Kasih sayang kepada anak-anak kita.
Sayangi anak-anak kerana mereka amanah kita paling penting yang perlu kita laksanakan sebagai makhluk tuhan di atas muka bumi ALLAH ini.
Wahai Tuhan, kurniakan kami anak-anak penenang jiwa dan penyejuk mata. Izinkan kami menzahirkan kasih sayang kepada anak-anak dengan kasih sayang yang bermakna dan tidak ternilai.
**********************************************************************************************************
Siapa saya?
Norazura Childcare Practitioner
#Jurulatih/Fasilitator Asuhan dan Didikan Awal Kanak-Kanak
#Coaching Penubuhan TASKA/TADIKA
#Coaching Persijilan Kemahiran Malaysia
#Penulis EBOOK;
- Panduan Perniagaan TASKA
- 50 Koleksi Idea Kreatif Permainan Kanak-Kanak
- Panduan SOP Pengendalian TASKA
No comments:
Post a Comment