Sunday, 4 October 2015

PENDIDIKAN AWAL KANAK-KANAK - PERLUKAH ANAK PANDAI MEMBACA SEAWAL 7 TAHUN?

Teks : Nor Azura Ismail
pnnorazuraismail@gmail.com



SETUJUKAH ANDA, anak-anak  yang bakal berumur 7 tahun yang  akan   memasuki  tahun 1 di sekolah rendah perlu dipastIkan telah pandai membaca? 

Sebagai seorang pengiat industri pendidikan awal kanak-kanak,  jawapan saya  ialah  sangat tidak bersetuju sama sekali.  Jawapan yang sering tak terjawab di minda saya,  aduhai mengapa perlu menekan  dan memaksa anak-anak di bawah 7 tahun ini belajar beria-ria  dan buat latih tubi membaca seperti anak-anak yang telah bersekolah? Kenapa nak marah pada anak memasuki umur 7 tahun yang belum dapat membaca lagi?  

Sebenarnya, kita sebagai pendidik dan ibu bapa belum memahami  anak-anak. Dan paling parah, kita tidak memahami konsep pendidikan awal kanak-kanak.

Suatu ketika dulu, saya pernah membuat kesilapan  dalam merealisasikan pendidikan awal kanak-kanak ini kepada anak-anak berumur 4, 5 dan 6 tahun . Ketika itu saya mengusahakan perniagaan TADIKA saya sendiri. Matlamat akhir saya dan juga bagi memenuhi harapan tinggi ibu bapa ialah di akhir tahun pembelajaran nanti, anak-anak ini mesti sudah  boleh membaca. Maka , saya akan sedaya upaya memastikan matlamat tersebut tercapai. Apa yang saya buat? Antaranya, saya perkenalkan kepada ibu bapa program membaca dengan cepat,  adakan  sesi belajar  ‘one to one’  dengan anak-anak kecil ini ,  adakan kelas tambahan membaca.  Lagi, saya beri latih tubi membaca setiap hari dan hakikatnya saya paksa emosi anak-anak ini  untuk belajar.  Hasilnya, kerana anak-anak ibarat span yang mudah menyerap apa sahaja,  lalu  ramailah anak-anak keluaran TADIKA saya boleh membaca dengan baik . Malah, bukan sekadar bacaan dalam Bahasa Malayasia bahkan bacaan dalam bahasa Inggeris juga.  Itulah yang diimpikan ibu bapa.

Aduh, bangganya saya kerana dapat melahirkan anak-anak yang boleh baca di awal usia. Anak-anak itu terus dilabel sebagai anak yang cerdik dan pintar yang boleh membaca di awal usia sebelum 6 tahun.  Itu yang kebanyakan TADIKA akan cuba capai. TADIKA yang dapat mengeluarkan  anak-anak yang boleh baca, itulah TADIKA yang terbaik pada pandangan dan persepsi ibu bapa. Secara tidak langsung inilah perkara utama yang dapat mempromosi TADIKA supaya ramai lagi ibu bapa yang menghantar anak ke situ.


Tetapi, saya mula perasan, anak-anak yang boleh baca awal usia biasanya adalah anak-anak yang kurang keyakinan diri, penakut, pemalu, pendiam, kategori anak-anak yang tak banyak bermain malah kurang pandai bergaul dan berkomunikasi.  Mereka mempunyai emosi yang kurang sihat dan self esteem yang rendah.  Saya perasan itu semua.

Saya juga perasan , anak-anak yang tak pandai baca pada usia 5@6 tahun adalah anak-anak yang tak boleh duduk diam, aktif dan banyak bermain serta banyak meneroka dan banyak keinginan serta perasaan ingin tahu. Saya mula tertanya mengapa?

Bila saya terjun ke bidang pendidikan awal kanak-kanak yang lebih muda sedari 0 hingga 4 tahun, saya mula sedar akan kesilapan saya. Saya mula belajar mengenai  tahap demi tahap perkembangan kanak-kanak. Saya korek pelbagai potensi awal  yang boleh dibentuk di peringkat  awal usia anak-anak.  Dan apa yang penting saya mula belajar memahami tingkahlaku , kerenah serta sikap semulajadi  kanak-kanak. 

Saya teruja untuk mengetahui bahawa antara sikap atau tabiat semulajadi anak-anak ialah BERMAIN. Kerja hakiki anak-anak  di bawah umur 7 tahun ialah BERMAIN dan bukannya belajar.

Selama ini persepsi saya dan juga kebanyakan ibu bapa di luar sana terhadap pendidikan awal kanak-kanak andalah salah. Pendidikan awal bukan bermaksud  memberi pelajaran formal seperti membaca kepada anak-anak. Pendidikan awal bermakna mengenalpasti tahap perkembangan  dan memberi galakan untuk anak mencapai tahap perkembangan yang tertentu. Pendidikan awal juga bermakna mengenalpasti  potensi diri anak  dan membantu  mengilap potensi tersebut.

Justeru itu,  saya dan anda sebagai  pendidik  maupun ibu bapa perlu tahu dan faham akan setiap aspek  tahap perkembangan kanak-kanak supaya  kita dapat beri galakan ,sokongan dan dorongan untuk anak.

Apakah aspek perkembangan awal kanak-kanak?

Perkembangan sosiemosi – bentuk emosi yang positif pada anak seperti yakin diri, berani
Perkembangan  bahasa – galak anak menggunakan bahasa yang betul dan bijak berkomunikasi
Perkembangan kognitif – galak anak berfikir , menggunakan deria untuk meneroka dan belajar pelbagai dari alam dan persekitaran.
Perkembangan kerohanian- terapkan nilai moral, akhlak dan ketuhanan
Perkembangan fizikal – galak anak tingkatkan moto halus dan moto kasar
Perkembangan  kreativiti dan estetika – galak anak supaya kreatif dan mempunyai imiginasi pelbagai


Malah mengikut kurikulum PERMATA yang menjadi panduan perkembangan pembelajaran di TASKA , antara perkembangan lain yang turut perlu dibentuk pada anak  ialah perkembangan sahsiah  - belajar bergaul  dan komunikasi  serta literasi awal.  


Bagaimana  pula cara terbaik menggalakkan semua aspek perkembangan ini? Adakah melalui pembelajaran formal seperti di sekolah? Adakah dengan memberi anak-anak kecil ini latih tubi dan pelbagai tugasan atau kerja rumah.

Tahukah anda sebenarnya setiap aspek perkembangan  ini boleh diterapkan kepada anak-anak dengan mudah hanya melalui  bermain sahaja.  Bukankah bermain kerja hakiki anak? Mereka memang bermain tetapi secara tak langsung mereka banyak belajar menyuburkan pelbagai aspek perkembangan tersebut  hanya melalui bermain. Jadi, biarkan anak-anak  bermain.

Anak main blok, mereka berfikir bagaimana susun blok menjadi tinggi
Anak main  pasir, bina istana, mereka cuba merealisasikan imiginasi mereka.
Anak berlari sekeliling rumah@ taman, mereka belajar meneroka persekitaran
Anak main olok-olok dengan kawan sebaya, mereka belajar bersosial dan bergaul serta berkomunikasi dengan bahasa yang betul.
Anak yang suka usik itu ini, mereka mempunyai perasaan ingin tahu yang tinggi.
Anak yang aktif berlari, mereka membina kecergasan diri.

Jad, mengapa perlu dipaksa anak duduk sebelah anda dengan keadan anda marah dan tinggi suara untuk  ajar mereka membaca. Mengapa pula masih ada TADIKA yang menyusun ruang susunatur dalam kelas sama seperti belajar di sekolah? Mengapa  pihak TADIKA perlu stress ajar anak-anak membaca dan beri pula kerja rumah yang banyak.


Entah kenapa saya memang tak boleh terima kalau dengar seorang cikgu di TADIKA cuba menakutkan dan menginggatkan ibu bapa supaya memastikan anak-anak boleh baca dengan baik sebelum  masuk tahun 1. Mereka terangkan pada ibu bapa betapa hebatnya persaingan akademik anak-anak  di  tahun 1. Kalau  kebetulan jika  anak 6 tahun  itu tak boleh baca, cikgu cadangkan pula  ibu bapa hantar anak ke kelas tambahan.  Bagi saya, memadai sajalah kalau anak yang tak boleh baca itu telah kenal huruf dan boleh menyebut dua sukukata. Mereka bukan tak pandai , mereka cuma belum bersedia. Percayalah.

Ini cerita anak saya yang berumur 6 tahun.  Saya hanya hantar dia ke TADIKA sebaik umurnya 6 tahun. Baru ni, saya baca ‘whatapp group’  dari guru TADIKA nya. Cikgu post  jadual peperiksaan akhir tahun dan pesan ibu bapa pantau anak-anak belajar di rumah.
Kalau ibu bapa lain, mungkin akan rasa cikgu TADIKA sangat prihatin .Aduhai kesian anak-anak, tahun-tahun di mana  kerja hakiki mereka sepatutnya bermain tetapi mereka perlu pula duduk menelaah seperti kakak abang yang akan menghadapi peperiksaan di sekolah.

Sekali lagi, ingin saya ingatkan, hakikatnya anak-anak memang perlu bermain. Hakikatnya anak-anak ini  tidak perlu dipaksa untuk belajar. Percaya tak bahawa apa yang perlu diterapkan terlebih dahulu ialah ilmu mengenai kehidupan disamping membentuk anak dalam setiap aspek perkembangan  yang telah saya nyatakan tadi.  Keinginan untuk belajar akan datang sendiri bila anak telah bersedia menerima pembelajaran formal. Masanya pasti akan muncul juga. Yang pasti setiap anak adalah berbeza pencapaiannya.  


Teringat saya  pernah terbaca bahawa pendidikan awal anak di Jepun bermula dengan mendidik akhlak. Pendidikan berteraskan peperiksaan bermula hanya bila anak berumur 10 tahun sahaja.

Berbeza dengan sistem pendidikan  kita yang telah  diwarisi begini, bila  nak masuk  tahun 1 sebolehnya anak mesti dah boleh  membaca dengan baik. Cikgu di tahun 1 suka kalau anak-anak sudah boleh membaca.  Lalu kasihan anak-anak yang dikelompokkan dalam kumpulan belum boleh membaca.  Seawal usia 7 tahun anak-anak telah mula dinilai tahap pencapaian akademiknya. Bukahkah sebenarnya dalam silibus pembelajaran tahun 1 anak-anak perlu diajar semua huruf dan gabungan sukukata hingga boleh baca. Akan tetapi,  anak-anak ini pula dikategori sebagai anak-anak yang ketinggalan. 

Lain orang mungkin lain pandangan. Mungkin ada ibu bapa tidak setuju dengan pandangan saya bahawa  anak tidak perlu dipaksa untuk belajar membaca.

Tapi saya membuktikan salah seorang anak saya  yang tidak boleh  membaca di awal usia dan yang kurang penonjolan akademik  ketika di sekolah rendah ( kini dia berusia 19 tahun),  dia merupakan pelajar terbaik SPM di sekolahnya,. Bakal menduduki STPM tahun ini dan dia akan membuktikan dia  bakal  pelajar terbaik STPM di sekolahnya juga.  Satu ketika dulu, ketika di sekolah  rendah dia tidak  pernah dapat nombor 1 dalam kelasnya.

Apa yang penting, biarlah anak-anak  kecil yang di bawah 7 tahun ini belajar kerana minat dan kesediaan  mereka. Tugas kita beri dorongan dan galakan bukan paksaan.  Apa yang penting,  kejayaan anak-anak bukanlah hanya diukur dari kejayaan akademik sahaja. Lihatlah kejayaan anak pelbagai aspek. Setiap anak mempunyai potensi diri yang berbeza.  Apa sahaja potensi yang berjaya digilap dan diserlahkan oleh anak,  itulah kejayaan buat anak-anak. Jangan lupa juga  doa kita sebagai pendidik dan juga ibu bapa.


CHILDREN ARE NATURAL LEARNERS. 
CURIOSITY IS THE ENGINE TO ACHIEVEMENTS


Norazura Childcare Practitioner
#Pakar Pengajar  Sijil Kemahiran Malaysia Asuhan dan Didikan Awal kanak-kanak
#Jurulatih/Fasilitator Asuhan dan Didikan Awal Kanak-Kanak
#Coaching Penubuhan TASKA/TADIKA
#Coaching Persijilan Kemahiran Malaysia
#Penulis EBOOK;
- Panduan Perniagaan TASKA
- 50 Koleksi Idea Kreatif Permainan Kanak-Kanak
- Panduan SOP Pengendalian  TASKA

Nak jemput saya memberi  ceramah/bengkel  keibubapaan @sebarang  Training/bengkel  untuk guru@pengasuh TASKA TADIKA, hubungi saya;

TEL : 016 7235080
EMEL : pnnorazuraismail@gmail.com






16 comments:

  1. Sy sgt setuju. Tq atas perkongsian

    ReplyDelete
  2. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  3. Ye, perkongsian yang menarik 👍 dan sangat setuju !

    ReplyDelete
  4. Desakan sistem pendidikan negara kita memaksa kita sebagai mak bapak terikut2 anak kena membaca plg lambat pon 7 tahun. Sebab tgk saja la buku2 tahun 1 sekarang dah kene buat ayat.

    ReplyDelete
  5. Desakan sistem pendidikan negara kita memaksa kita sebagai mak bapak terikut2 anak kena membaca plg lambat pon 7 tahun. Sebab tgk saja la buku2 tahun 1 sekarang dah kene buat ayat.

    ReplyDelete
  6. Insaf seleoas baca artikel puan.. tadi dah marah2 anak sebab tak kenal abc and cikgu dia ckp anak sy masih tak kenal abc walaupun dah hantar tadika sedari 4thn.tahun ni bakal 5 tahun bulan 10 ni..sedih sy bila cikgu dia ckp dia masih tak kenal abc..saya pun baru nak ajar dia..baru ajar huruf A, bila suruh ulang itu huruf apa dia lupa..banyak kali pulak tu..sudahnya kena marah lah dgn sy..lepas baca artikel puan,tersentuh hati and insaf..huhu.. terima kasih puan kerana telah menyedarkan sy sblm sy terbabas lg..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Puan anak saya lelaki pun begitu.... tapi bila masuk 5thb kr 6thn dia terus boleh mrnguasaai... cuma kita di rumah kena ulang benda yang di ajar di sekolah... bila masuk darjah 1 insyallah boleh membaca dan mengeja... cuma kadang2 anak lelaki dan perempuan berbeza... lelaki agak lambat berbanding girl...

      Delete
  7. Insaf seleoas baca artikel puan.. tadi dah marah2 anak sebab tak kenal abc and cikgu dia ckp anak sy masih tak kenal abc walaupun dah hantar tadika sedari 4thn.tahun ni bakal 5 tahun bulan 10 ni..sedih sy bila cikgu dia ckp dia masih tak kenal abc..saya pun baru nak ajar dia..baru ajar huruf A, bila suruh ulang itu huruf apa dia lupa..banyak kali pulak tu..sudahnya kena marah lah dgn sy..lepas baca artikel puan,tersentuh hati and insaf..huhu.. terima kasih puan kerana telah menyedarkan sy sblm sy terbabas lg..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Semoga puan anda lebih memahami anak pn selepas ini , mengenalpasti potensi dalam dirinya serta memberi peluang kepadanya untuk mencuba, meneroka dan mendapatkan pelbagai pelbagai pengalaman melalui pelbagai aktiviti yang disukainya selain daripada pembelajaran secara formal. Sentiasa berikan dia masa.

      Delete
  8. terima kasih atas perkongsian..saya pun dulu pernah marah2 dan stress juga bila anak2 tak reti kenal huruf dan menyebut suku kata seawal umur 4 tahun.tapi sekarang saya biarkan saja anak2 belajar mengikut perkembangan mereka sendiri yang penting bagi saya asal mereka sudah mengenal huruf2 pn memadai.

    ReplyDelete
  9. Setuju seratus peratus. Puan buat satu memo utk kementerian agar mendengar tulisan puan. Biar mereka faham dan merangka dasar yg betul. Pelajar yg tak boleh baca di tahun 1 di katakan LINUS. GAGAL MEMBACA DAN MENULIS MENGIRA. SEKOLAH SUDAH JADI MINI MILITARY. KEJAM!

    ReplyDelete
  10. Alhamdulillah.

    Terima kasih kerana berkongsi.

    Satu ketika dahulu saya juga risau anak sulung saya belum pandai membaca mass daftar darjah 1. Walaupun sudah bertadika sejak umur 4thn dah kenal huruf sejak 4thn. Tapi masih membaca dengan sukukata sampai lah awal darjah 1.


    Alhamdulillah. Hujung tahun 1, beliau boleh membaca BM rumi & jawi dengan baik. Dan kini Di tahun 2, boleh membaca BI dengan baik juga.

    Kami tidak memaksa, cuma memberi galakan tanpa jemu.

    InshaAllah semoga terus berjaya dunia & akhirat.


    Sedikit perkongsian mengenai beliau http://asyrafanisah.blogspot.my/2017/01/sawan-demam-buat-ibu-bapa-risau.html?m=0

    ReplyDelete
  11. Minta maaf.. ini betul tp it doesnt apply in our education system. Nak masuk sekolah ada periksa. Nak masuk sekolah prestasi tinggi lagi susah.. budak sekarang ramai yg pandai2. Klu parents ambil acuh tak acuh anak sendiri yg akan ketinggalan

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kekadang expectation parents tinggi sangat.anak2 yg tertekan. Malu kt anak jiran sebelah??

      Delete