Wednesday, 22 April 2015

Cara buat ‘homemade’ doh bersama anak-anak

Nama : Nor Azura Ismail
Teks : Nor Azura Ismail
Foto : Carian Google
Emel: pnnorazuraismail@gmail.com

Entri 21 

Doh ataupun selalu disebut  tanah liat adalah sejenis bahan permainan yang biasa digunakan oleh kanak-kanak untuk membuat bentuk dan sebagainya.  Saya rasa sewaktu saya kecil dulu pun, saya suka main tanah liat ni sebab boleh buat macam-macam bentuk , kalau kreatif  boleh bentukkan jadi ular, burung, bola  dan sebagainya.

Sekarang ini dipasaran selain daripada tanah liat, sudah banyak jenama lain yang seumpama dijual di pasaran. Dari harga cuma rm 1 sekotak sehinggalah ada yang berharga berpuluh-puluh ringgit untuk sekotak.

Anda sendiri sebagai ibubapa ataupun pengusaha TASKA  Tadika, pernah tak anda belikan anak permainan tanah liat atau seperti contoh  playdough. Selalunya tanah  liat yang dijual dalam kotak itu, harganya sangat murah manakala yang berjenama sikit seperti  playdough pula agak mahal harganya. Dari segi kualiti, jenama seperti  playdough adalah jauh lebih baik daripada tanah liat yang biasa kita main tu. Persamaannnya pula ialah kedua-duanya mengandungi bahan yang boleh merbahayakan kanak-kanak jika termakan. Kalau tak percya, beli yang murah itu, cuba bau.

Jadi, apakata hari ini saya kongsikan bagaimana anda boleh buat doh sendiri di rumah yang lebih selamat  digunakan dan boleh jadikan ia sebagai satu  aktiviti yang menyeronokkan untuk  anak-anak. Boleh juga dijadikan aktiviti di TASKA atau Tadika anda.

Biasanya di rumah mungkin anak-anak suka tengok anda bancuh dan uli tepung untuk buat kuih, apakata kali ini anda beri peluang pula anak anak pula yang buat doh sendiri.  Tugas anda cuma sediakan bahan, bantu  dan bimbing anak-anak.

Baiklah, bahan-bahan yang anda perlukan:
1 mangkuk atau bekas untuk membancuh dan menguli

1 gelas air


1 cawan garam

2 sudu kecil minyak masak

Sedikit pewarna makanan(beberapa warna berlainan

3 cawan tepung gandum

2 sudu makan tepung jagung



Semua bahan yang digunakan adalah bahan yang terdiri dari sumber makanan dan selamat sekiranya kanak-kanak termakan. Kenapa perlu dibuat dari bahan yang selamat, kerana anak-anak ini terutama yang berusia 1-2 tahun masih mempunyai hobi memasukkan sesuatu ke dalam mulutnya.

Jom sekarang kita  bimbing anak buat doh:
1.   Pakaikan anak dengan apron. Anda juga perlu pakai apron ye. (Saya nak bagi anak rasa   teruja dengan aktiviti ini)
2.   Beri tahu pada anak apakah aktiviti yang akan anda jalankan. Aktivitnya ialah , buat doh bersama-sama.

3.   Mula-mula sudah tentu anda perlu sediakan dulu semua  bahan di atas untuk memudahkan anak. Letakkan semua bahan dalam bekas yang mana  anak-anak boleh nampak bahan tersebut. Sebelum mula, kenalkan dulu bahan kepada anak-anak. Anda boleh juga bercerita pada anak-anak tentang kegunaan setiap bahan tersebut.
4.   Minta anak rasa dulu tekstur tepung gandum dan tepung jagung dengan jari jemarinya.. Kalau anak anda berumur 3-4 tahun anda suka boleh bertanya pada anak tentang perbezaan tekstur kedua jenis tepung tersebut.
5.   Minta anak rasa sedikit garam untuk dia belajar rasa masin pada garam. Anda boleh tunjuk dan  terangkan pada anak tentang warna-warna berlainan untuk bahan pewarna yang digunakan.
6.   Sekarang beri anak  satu  mangkuk@bekas  plastik , minta anak campurkan air, garam, minyak masak, dan sedikit pewarna.
7.   Kemudian minta anak masukkan pula  tepung gandum dan tepung jagung. Jom, kacau dan uli bahan bersama-sama dengan anak anda. Anda perlu beri peluang dan biarkan anak ambil masa untuk uli bahan tersebut sehingga menjadi doh.
8.   Anda boleh bantu jika anak anda berumur 1-2 tahun dan beri bimbingan jika anak berumur 3-4 tahun. Yang paling penting anda tetap beri mereka peluang mencuba buat doh sendiri. Saya yakin anak anda akan merasa seronok dan dihargai.
9.   Kalau anak suka, minta anak buat campuran bahan sekali lagi dan gunakan warna yang berlainan pula.
10. Sekarang dah siap doh, biarkan anak buat kreativiti dan cipta  imiginasi mereka sendiri. Anda mungkin boleh buat satu contoh dan kemudian biarkan anak bermain dengan  imiginasi mereka sendiri.

Contoh kreativiti anak


11. Akhir sekali, jangan lupa minta anak cuci tangan.

*Tip untuk simpan doh ini untuk tahan lama, boleh masukkan ke dalam peti sejuk dan keluarkan bila anak nak main.

Kesimpulannya  aktiviti di atas sesuai untuk merangsang rasa ingin tahu kanak-kanak, menggalakkan moto halus kanak-kanak dan seterusnya boleh menggalakkan kreativiti kanak-kanak melalui imiginasi mereka. Mereka juga akan cuba membina kefahaman melalui pengalaman yang  mereka perolehi sendiri.

** Perkembangan Deria & Pemahaman Dunia Persekitaran
**Perkembangan Fizikal-moto halus
**Perkembangan Kreativiti dan Estetika

 


No comments:

Post a Comment