Teks : Nor Azura Ismail
#41
Jun 2015 akan datang menghampiri dan menandakan telah 21
tahun aku dan dia bersama di bawah mahligai kehidupan sepasang suami dan
isteri. Ulangtahun ke 21 ini cukup
mematangkan cinta dan setiaku pada dia. Kisah cinta aku dan dia sentiasa menjadi
kenangan terindah untuk diingati dan direnungkan.
Dia adalah suamiku. Insan
bernama lelaki yang paling kucintai selain cinta agungku kepada Yang Maha Esa.
Kerana dia juga kunci kebahagiaanku di dunia dan kunci kenikmatan hidupku di
negeri abadi kelak. Tanpa redhanya manakah mampu ku buka pintu syurga nanti.
Oleh itu semua kesetiaan, ketaatan, rasa hormat, cinta kasih dan sayang ku kuhimpunkan
untuk dirimu jua.
Tiba-tiba rasa ingin mencatatkan sesuatu di sini, secebis
kisah, kisah bermulanya cinta aku dan dia. Bukan untuk dibanggakan sekadar untuk di jadikan contoh teladan jika
ada yang baiknya. Lama benar ianya
berlalu namun masih terasa seperti baru semalam berlaku.
Aku dan dia mula
saling mengenali ketika di alam persekolahan lagi. Usia masih mentah tapi dah
pandai berjinak dengan cinta, Aku tersenyum sendiri mengenangkannya. Mungkin
banyak perkara yang aku belum faham ketika itu, manakan tidak, bila tengok kawan lain
mempunyai kawan lelaki istimewa, aku pun
rasa ingin juga. Dialah lelaki yang menjadi idolaku, seorang lelaki yang
terkenal dengan sikap pendiamnya tetapi dialah yang berjaya menjadi teman
hatiku. Amboi , bangga betul ketika itu rasanya. Lama sekali
berkawan rapat,dari sekolah kami terus
berkawan hinggalah masing-masing
melanjutkan pelajaran di berlainan tempat dalam bidang yang berlainan.
Sememangnya cabaran
sepasang remaja berkawan memang hebat walaupun tidaklah sehebat remaja zaman
gadget masakini. Aku akui bila meletakkan rasa cinta pada seorang lelaki, pelbagai
dugaan perasaan, hati dan jiwa selalu datang menghampiri berselangseli dengan
tanggungjawabku sebagai pelajar.
Bila berada di usia kini, aku akui jua, bila meletakkan rasa cinta pada usia yang sepatutnya
ditumpukan pada pelajaran, terlalu banyak buruk daripada baiknya. Lalu aku
selalu berdoa supaya anak-anak remajaku tidak sepertiku dulu. Mungkin zaman ku
dulu berbeza . Walau ada rasa cinta sekalipun maruah diri dan keluarga tetap
sangat kujaga. Selalu ku katakan pada
diri bahawa dia adalah seorang lelaki walau istimewa di hati tetapi masih tetap asing untukku, walau sekadar di hujung jariku dia tetap haram untuk
berpegangan denganku apatah lagi lebih dari itu.
Bagaimana remaja zaman sekarang? Takut untuk memikirkannya, mudahan anak-anakku
sentiasa dijauhi dari kemungkaran. Doaku sebagai ibu yang pernah melalui cinta
zaman remaja, doa dan harapan untuk anak-anak remajaku jua.
Memang Allah yang merencanakan segalanya.Tetiba ketika itu, aku
merasakan perasaan cinta yang ada itu sangat melemaskan dan banyak buruk dari baiknya. Maka entah
bagaimana cinta remaja kami terhenti
buat seketika. Terhenti dari melihat wajahnya. Terhenti dari mendengar
suaranya. Terhenti daripada rasa rindu. Terhenti
dari segalanya. Semuanya takdir Allah yang hakikatnya mengandungi hikmah dan
pengajaran yang baik disebaliknya. Semuanya juga kerana atas tekad kerana aku dan dia semakin memahami bahawa cinta ini perlu dkawal
kerana belum tiba waktunya. Lalu kami berpisah seketika dengan janji dan
harapan sekiranya ada jodoh kami pasti bertemu jua. Ketika itu usiaku baru sahaja
memasuki 20 tahun.
Padaku waktu itu , aku
merasakan bahawa cinta yang pernah terbentuk ini perlu diasaskan dan dibajai
dengan iman dan disaluti diluarnya dengan cinta pada Allahterlebih dahulu. Kami
berpisah jua akhirnya atas dasar ingin
mencari cinta yang lebih hakiki iaitu cinta kepada Allah. Sekalung keampunan ketika itu jua kupohonkan ke hadrat Ilahi atas kelalaian masa remajaku yang lalu.
Alhamdullillah Tuhan,
Engkau restui niat , harapan dan hajat kami ini. Berselang 3 tahun, kami berjumpa
semula. Bukan untuk berkawan dan bercinta seperti sepasang kekasih lagi tapi kami bertemu untuk
disatukan di bawah satu ikatan yang di redhai Allah dan direstui oleh kedua
ibubapa. Syukur Ya Allah kerana Kau mendengar harapan kami.
Maka lelaki itulah suami ku kini dan insyallah buat
selamanya. Cinta dan kasih sayangku padamu suamiku telah acapkali diuji Allah
tetapi Alhamdullillah aku berjaya membuktikannya bahawa aku akan terus
memberikan rasa cinta ini kepadamu, cinta seorang isteri kepada suaminya untuk selama-lamanya.
Duhai suamiku, sedar tak sedar telah 21 tahun kita bersama seolah
seperti baru semalam kita bertemu semula. Terimakasih untuk segalanya. Terimakasih
untuk semua kenangan bersama. Asam garam berumahtangga telah kita tempoh
bersama.Semua ujian dan dugaan yang pernah datang bertandang ke mahligai cinta
kita ini kerana Allah sayang pada kita. Semuanya kerana Dia ingin menjadikan
kita sepasang suami dan isteri yang lebih baik, lebih tabah dan paling penting rasa selalu dekat padaNya.
Wahai suamiku, redhakan aku sebagaai isterimu supaya bila mataku tertutup nanti, aku akan pergi diiringi senyuman dan aku pergi membawa
bersama keredhaanmu, itulah kunci syurga
buatku kelak. Redhakan diriku dan
ampunilah segala kekhilafanku sepanjang bergelar isterimu. Kaulah suamiku dunia
dan akhirat. InsyAllah.
Wahai Allah, kau Yang Mahu Mengetahui, berkati dan
rahmatilah cinta aku dan dia untuk selamanya.
Untuk anak-anak remajaku dan juga anak-anak remaja yang
lain, usah sesekali terpedaya dengan cinta remaja yang akhirnya menjerumuskan
dirimu dalam kelalaian dan kelekaan yang
berpanjangan. Fokus pada matlamat yang ingin kau kecapi sebagai anak, sebagai
pelajar dan juga sebagai seorang generasi
yang berwawasan. Hiasi dirimu dengan akhlak , suburkan jiwamu dengan iman agar
menjadi remaja soleh solehah yang tahu menghargai diri serta dan tahu menjaga
maruah diri dan keluarga.
Ketahuilah, doa
kami sebagai ibubapa@pendidik sentiasa mengiringi setiap liku kehidupan remaja
kalian. InsyAllah.
No comments:
Post a Comment