Monday, 21 September 2015

CATATAN PERJALANAN KE MRSM PENGKALAN HULU.

Oleh : Nor Azura Ismail
pnnorazuraismail@gmail.com



Assalam dan salam sejahtera pembaca blog saya yang budiman dan yang senantiasa ceria selalu, terima kasih kerana bersama dengan saya dalam entri blog saya kali ini.

Cuti sekolah bulan Sept 2015 baru saja bermula. Beberapa  hari lepas saya, suami dan beberapa orang anak yang bersekolah rendah berkereta menyusuri Lebuhraya Utara Selatan, meyusur keluar ke Kuala Kangsar dan terus menuju ke Gerik Perak. Tujuan utama kami ialah untuk  ke MRSM Pengkalan Hulu menjemput anak remaja kami yang berada dalam Tingkatan 5 untuk pulang bercuti.
Selalunya dia akan balik sendiri menaiki bas yang disediakan oleh pihak MRSM. Hmm kali ini saya beria-ria pula ingin menjemputnya.
Memang sedari Cuti Hari Raya Puasa tempohari anak saya belum balik lagi bercuti . Jarang benar dia balik cuti apatah lagi dia bakal menduduki peperiksaan besar pada tahun ini.

Ok, jom bersama saya mengikuti sedikit catatan perjalanan saya dan keluarga saya ke MRSM Pengkalan Hulu, Perak.  Kali ini saya ingin membawa anda menyusuri perjalanan  indah dan menarik ke sana.
Ade sesiapa  yang pernah ke Pengkalan Hulu? Tahukah anda dimanakah terletaknya Pengkalan Hulu? Saya pun pada mula-mula anak dapat tawaran ke MRSM tertanya tanya juga di mana letaknya Pengkalan Hulu ini.

Pengkalah Hulu merupakan satu daerah kecil di Hulu Perak. Menurut sejarah cerita yang saya baca, Pengkalan Hulu suatu ketika dulu juga dikenali sebagai Kroh. Terletak di bahagian Hulu Perak  bersempadan dengan Baling Kedah dan juga bersempatan dengan daerah Betong Thailand.
Bagi saya ia merupakan satu daerah di Hulu Perak yang mempunyai pemandangan yang mendamaikan dan menenangkan jiwa.



Menyusuri Lebuhraya Utara Selatan dari Tol Pedas Linggi hinggalah sampai ke susur keluar tol Kuala Kangsar, satu perjalanan yang telah biasa saya lalui sebelum ini. Tiada apa yang terlalu menarik melainkan ketika menyusuri daerah Gopeng  ke Simpang Pulai dan sebelum tiba ke Ipoh. Banyaklah kelihatan gua- gua tempurung sepanjang kiri kanan lebuhraya. Terasa Indah sungguh dan Maha Besar ciptaan Tuhan.




Dari susur keluar ke Kuala Kangsar ( saya tidak pula singgah ke pekan Kuala Kangsar) , kami terus menyusuri Lenggong. Perjalanan menyusuri Lenggong memang menenangkan dan mendamaikan mata yang melihat pemandangan di kiri kanan jalan. Sesekali kelihatan  pokok - pokok tirus yang saya rasa pokok pain yang biasanya hidup di tempat tinggi dan sejuk. Sesejuk itu jugalah pemandangan yang dilihat oleh kami. Redup dengan kehijauhan pepohon dan pokok pokok yang segar. jauh dari keriuhan dan kesibukan kota. Meskipun pada waktu itu musim jerebu,  bahagian ke utara tidaklah teruk jerebunya berbanding ke arah selatan tanahair.



Apa yang menarik lagi di Lenggong ialah ia terkenal dengan kesan peninggalan sejarah lama  dan bandar arkeologi. Antara yang boleh dilawati ialah Muzium Arkeologi dan Tapak Arkeologi Lenggong yang telah pun diiktiraf sebagai warisan sejarah dunia.
Menurut sejarah juga di Lenggong inilah dijumpai Perak Man, dimana sekumpulan penyelidik sebuah universiti tempatan telah menjumpai skeleton manusia tertua di negara kita.

Penat melihat kesan sejarah, bolehlah singgah ke Lata Kekabu. Terletak di kawasan Hutan Lipur Lata Kekabu. Mempunyai air terjun yang cantik dan sungai yang bersih serta dingin airnya. Kami sempat singgah sebentar merehatkan diri dan mandi manda di situ. Memang teruja anak-anak dapat menyegarkan badan seketika.

Dah penat berjalan dan mandi manda, jangan  singgah solat di salah sebuah masjid yang cantik dan unik di Lenggong. Lupa pula saya nak tengok nama masjid ini.




Dari Lenggong untuk ke Pengkalan Hulu akan melalui bebrapa pekan antaranya pekan Larwin dan terus menuju ke Gerik . Dek kerana penat dan memang pun kami merancang untuk  bermalam saja di Gerik di Hotel yang yang biasa kami singgah sebelum ini.

Bandar  Gerik lebih kurang sama sahaja seperti bandar-bandar kecil di Malaysia. Cuma saya perasan di Gerik ini banyak barangan dan makanan dijual dengan harga yang agak murah  berbanding di tempat saya di Rembau apatah lagi jika di Kuala Lumpur. Misalnya, harga secucuk satay masih boleh dibeli dengan  50 sen secucuk berbanding 80 sen di tempat saya.
Suami saya agak teruja bila terjumpa ikan haruan dijual dengan harga RM 12 sekilo. Murah tu.
Begitu juga pakaian-pakaian  yang dijual, bolehlah dikatakan murah.Sealunya saya shopping baju sekolah dan barangan sekolah anak di Gerik sahaja.
Setelah bermalam di Gerik, keesokan harinya kami menuju ke destinasi yang ingin ditujui iaitu Pengkalan Hulu.

Dari Gerik ke Pengkalan Hulu cuma lebih kurang 40 km lebih, tak sampai satu jam perjalanan, dah boleh sampai ke pengkalan Hulu. Jalanraya  menuju ke Pengkalan Hulu pun cantik dan tak ada sebarang masalah. Oleh kerana kami bersarapan dan berjalan-jalan sebentar di bandar Gerik maka kami tiba di MRSM Pengkalan Hulu pukul 12.15 tengahari. Waktu tiba yang sangat sesuai sebab anak pun baru habis kelas.

Tak tahu mengapa, sejak pertama kali tiba di Pengkalan waktu kali pertama menghantar anak ke MRSM dulu, hati saya telah mula terpaut dan jatuh cinta pada keheningan dan kedamaian daerah Pengkalan Hulu ini. nasib baik Pengklan Hulu ni jauh dari Rembau, kalau tidak memang selalulah saya ke sini menjemput anak.
Seperti yang saya tulis di awal tadi, Pengkalan Hulu ini dikenali suatu ketika dulu sebagai Kroh. Banyak jugalah tempat menarik untuk di lawati di sini antaranya beberapa gua lama yang menjadi tumpuan mereka yang menggemari suasana adventure.

Paling menarik juga,  daerah Betong Thailang hanya lebih kurang beberapa km sahaja jauhnya dari Pengkalan Hulu. Kalau teringin nak shopping barang murah bolehlah ambil pas masuk ke Betong ini. dengar cerita banyak juga tempat menarik untuk dilawati di Betong.

Telah dinyatakan tadi, kami tiba  di MRSM telah pun waktu tanghari. Pelajar baru keluar dari kelas dan sedang bersiap sedia untuk pergi menunaikan solat Jumaat. Memandang wajah anak-anak yang sedang berjalan berbaris menuju ke asrama mereka  ini (mereka sama seperti anak saya), terlintas doa spontan  di hati ini, mudahan apabila anak-anak ini cemerlang dalam akademiknya , diharap dan didoakan agar mereka juga dapat menjadi insan dan mukmin yang cemerlang yang sarat dengan kecintaan terhadap agama dan penuh dengan keimanan. InsyAllah.

Menunggu beberapa ketika barulah dapat bejumpa dengan anak kesayangan kami Muhammad Tsaqif, dia kelihatan teruja dan gembira kerana kali ini kepulangannya  untuk bercuti dijemput oleh kami.
Harapan dan keinginan kami sebagai ibu bapa, biarlah anak ini cemerlang dari segala aspek kehidupan  dan paling utama menjadi anak soleh yang menyejukkan pandangan mata. Bukan sekadar Muhammad Tsaqif bahkan begitu juga harapan  untuk anak-anak kami  yang lain.
Jadilah permata yang senatiasa menyinarikehidupan diri sendiri dan juga kehidupan orang lain.

Selepas suami dan anak menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek pengkalan Hulu kami sekeluarga pun meneruskan perjalanan balik ke Rembau. Sambil balik, sempat juga singgah di beberapa tempat lain yang menarik. Hajat hati nak ke Betong, apakan daya tak de passport. lain kali je lah nampaknya.

Sekian saja catatan perjalanan ke MRSM Pengkalan Hulu dari saya sekeluarga. Terima kasih kerana sudi membaca hingga habis.

FAMILY FIRST



MASJID JAMEK PENGKALAN HULU
Di sini lah anak-anak MRSM Pengkalan Hulu mengerjakan Solat Jumaat



Bangunan Pentadbiran MRSM Pengkalan Hulu

Asrama Putera





Norazura Childcare Practitioner
#Pakar Pengajar  Sijil Kemahiran Malaysia
#Jurulatih/Fasilitator ECCE
#Coaching Penubuhan TASKA/TADIKA
#Coaching Persijilan Kemahiran Malaysia
#Penulis EBOOK;
- Panduan Perniagaan TASKA
- 50 Koleksi Idea Kreatif Permainan Kanak-Kanak
- Panduan SOP Pengendalian  TASKA

Nak jemput saya memberi  ceramah/bengkel  keibubapaan @sebarang  Training/bengkel  untuk guru@pengasuh TASKA TADIKA, hubungi saya;

TEL : 016 7235080
EMEL : pnnorazuraismail@gmail.com

No comments:

Post a Comment