Friday 20 October 2017

Keselamatan persekitaran, penderaan dan pengabaian kanak-kanak

Oleh : Nor Azura Ismail
pnnorazuraismail@gmail.com

Anak-anak merupakan aset negara yang sangat penting kerana kepada merekalah  harapan dan cita-cita negara di masa akan depan. Bakal kepada corak kepimpinan dan lakaran kejayaan negara di masa depan boleh dilihat melalui generasi kanak-kanak masakini.  Malangnya telah sering didengari dan dilaporkan kini, kanak-kanak kerap terdedah kepada pelbagai bahaya samada kerana kecuaian penjaga@ibu bapa, menjadi mangsa penderaan dan turut diabaikan oleh ibu bapa sendiri.  Segalanya mungkin boleh bermula dari rumah kanak-kanak itu sendiri.

Bagaimana pula jika isu tersebut berlaku di TASKA atau di TADIKA, tempat di mana kanak-kanak sepatutnya mendapat asuhan dan didikan awal yang sempurna.  Tidak dinafikan, hal ini juga turut dilihat ada berlaku di premis TASKA@TADIKA  dimana kanak-kanak sepatutnya diasuh dan dididik dengan penuh kasih sayang dalam aspek persekitaran yang kondusif. Namun, ada yang berlaku sebaliknya tanpa disedari oleh sesiapa.

Mari kita rujuk kepada akta berkaitan kanak-kanak, Akta Kanak-Kanak (Pindaan) 2016 adalah suatu akta yang menyatukan dan meminda undang-undang yang berhubungan dengan pemeliharaan, perlindungan dan pemulihan kanak-kanak dan untuk mengadakan peruntukan bagi perkara-perkara yang berkaitan dan berkenaan dengannya.  Dengan kata lain, akta ini diwujudkan bagi memberi perlindungan dan menjaga keselamatan kanak-kanak. Berdasarkan akta  tersebut juga menunjukkan mereka yang mengambil tanggungjawab menjaga kanak-kanak perlu memastikan kanak-kanak selamat dari pelbagai aspek seperti kecuaian, penderaan dan juga pengabaian.


Kecuaian juga boleh berlaku samada di TASKA maupun di rumah apabila persekitaran yang disediakan untuk kanak-kanak tidak kondusif dari pelbagai aspek.  Maksudnya tempat di mana kanak-kanak bermain dan diasuh tidak selesa, tidak sesuai dan tidak mematuhi langkah-langkah keselamatan untuk kanak-kanak. Ruang TASKA TADIKA sempit, sedangkan kanak-kanak kelihatan begitu ramai.  Bagaimana pula dari aspek pemberian makanan?  Adakah kanak-kanak di premis pendidikan awal tersebut diberi makanan yang seimbang.  

Justeru, peraturan operasi bagi premis tersebut diwartakan untuk dipatuhi oleh setiap individu yang ingin menjalankan operasi TASKA TADIKA ini. 

Seringkali juga terdengar berlaku kecuaian di premis TASKA khasnya. Akibat kecuaian tersebut, kemalangan yang boleh mengakibatkan kecederaan  berlaku terhadap kanak-kanak.   Selain dari itu, penderaan juga   boleh berlaku samada disedari atau tanpa disedari.  Penderaan yang berlaku dari rumah mungkin disebabkan pelbagai masalah yang wujud dalam kelurga kanak-kanak tersebut. 
Manakala penderaan turut berlaku secara fizikal maupun emosi di TASKA TADIKA akibat kekerangan kesedaran di kalangan personel dalam TASKA TADIKA tersebut. Hakikatnya,   penderaan berbentuk emosilah yang didapati banyak berlaku di TASKA TADIKA  tanpa disedari. 


Dari aspek pengabaian pula , jika dikaitkan di TASKA TADIKA berlaku apabila pihak berkaitan tidak menyediakan keperluan yang mencukupi serta sesuai kepada semua kanak-kanak yang  mendapat perkhidmatan di TASKA TADIKA.  Pemeriksaan fizikal yang dijalankan setiap hari di TASKA misalnya, boleh mengesan sebarang kecederaan, kesan penderaan atau unsur pengabaian pada diri kanak-kanak.



 Isu keselamatan kanak-kanak bukan hanya dirujuk kepada aspek persekitaran bahkan juga kepada aspek penderaan dan pengabaian yang berlaku secara tidak sedari pada diri kanak-kanak. Dari aspek keselamatan persekitaran , didapati masih terdapat kurang kesedaran dan kepekaan dikalangan personel TASKA dalam memastikan langkah keselamatan diaplikasi sepenuhnya setiap masa.  Personel yang leka dan cuai menyebabkan berlaku kemalangan kecil yang boleh dielakkan jika personel lebih berhati-hati.  Umum mengetahui isu semasa di mana di dapati pelbagai kemalangan berlaku di TASKA akibat kecuaian pengendali di TASKA.Wujudnya kemalangan kerana kecuaian pengasuh dalam memastikan semua langkah keselamatan di TASKA dipatuhi dan diikuti sewajarnya.


Akibat kekurangan kesedaran berkaitan aspek keselamatan kanak-kanak, timbul  beberapa isu utama yang berikut:

Antara faktor yang menyebabkan berlakunya kecuaian adalah kerana kurangnya pengetahuan dan kemahiran dalam pengendalikan aspek keselamatan di TASKA.  Di dapati personel TASKA TADIKA  tidak mengaplikasi secara bersungguh peraturan yang di tetapkan dalam usaha mengelakkan kemalangan di TASKA TADIKA.  Sesetengah pengasuh mempunyai pengetahuan berkaitan langkah kecemasan seperti rawatan kecemasan tetapi masih terlalu rendah kemahiran mengendalikannya.  Begitu juga dari aspek keselamatan lain seperti latihan kebakaran, keselamatan ruang tertentu dan keselamatan penggunaan bahan dalam sesuatu aktiviti.  Personel sering bersikap acuh tidak acuh terhadap keperluan menjalankan pemeriksaan fizikal ke atas kanak-kanak setiap kali kanak-kanak datang ke TASKA misalnya.  Ini bagi memastikan atau pengesan langkah awal jika terdapat kecederaan atau sebarang unsur pengabaian dan juga penderaan terhadap diri kanak-kanak.   Di TASKA TADIKA  sendiri ada masanya wujud pengabaian dari segi memastikan keperluan asas kanak-kanak dipenuhi samada dipenuhi oleh ibu bapa maupun pihak TASKA TADIKA.  Keperluan asas kanak-kanak seperti makanan yang berkhasiat dan keperluan diri kanak-kanak perlu dipastikan mencukupi dan memenuhi keperluan kanak-kanak. Penderaan secara tidak langsung juga boleh dikatakan berlaku jika tidak wujud sikap dan nilai yang positif dalam diri pengasuh ketika mengendalikan kanak-kanak.


Kanak-kanak akan sentiasa berada di dalam persekitaran yang selamat sekiranya wujud kerjasama di antara personel TASKA TADIKA dan juga ibu bapa. 
Namun di dapati kerana kesibukan mengejar masa, ada kalanya ibu bapa cuai dengan keperluan kanak-kanak. Pihak TASKA TADIKA  sukar mencari ruang bagi berbincang dengan ibu bapa dalam bersama memastikan semua aspek keselamatan kanak-kanak dipenuhi.


Apapun, keselamatan kanak-kanak di premis TASKA TADIKA adalah tanggungjawab kita sebagai orang dewasa dan semua pihak yang berkaitan dengan kanak-kanak.






No comments:

Post a Comment