Monday 8 January 2018

Isu keselamatan kanak-kanak di TASKA


Oleh : Nor Azura Ismail
pnnorazuraismail@gmail.com

Isu keselamatan kanak-kanak bukan hanya dirujuk kepada aspek persekitaran bahkan juga kepada aspek penderaan dan pengabaian yang berlaku secara tidak sedari pada diri kanak-kanak.  Dari aspek keselamatan persekitaran, didapati masih terdapat kurang kesedaran dan kepekaan dikalangan personel TASKA dalam memastikan langkah keselamatan diaplikasi sepenuhnya setiap masa.  Personel yang leka dan cuai menyebabkan berlakunya kemalangan kecil yang boleh dielakkan jika personel lebih berhati-hati.  Umum mengetahui isu semasa di mana di dapati pelbagai kemalangan berlaku di TASKA akibat kecuaian pengendali di TASKA.  Wujudnya kemalangan kerana kecuaian pengasuh dalam memastikan semua langkah keselamatan di TASKA dipatuhi dan diikuti sewajarnya.



Antara faktor yang menyebabkan berlakunya kecuaian adalah kerana kurangnya pengetahuan dan kemahiran dalam pengendalian aspek keselamatan di TASKA.  Didapati personel TASKA tidak mengaplikasi secara bersungguh peraturan yang ditetapkan dalam usaha mengelakkan kemalangan di TASKA.  Sesetengah pengasuh mempunyai pengetahuan berkaitan langkah kecemasan seperti rawatan kecemasan tetapi masih terlalu rendah kemahiran mengendalikannya.  Begitu juga dari aspek keselamatan lain seperti latihan kebakaran, keselamatan ruang tertentu dan keselamatan penggunaan bahan dalam sesuatu aktiviti.  Personel sering bersikap acuh tidak acuh terhadap keperluan menjalankan pemeriksaan fizikal ke atas kanak-kanak setiap kali kanak-kanak datang ke TASKA.  Ini bagi memastikan atau mengesan langkah awal jika terdapat kecederaan atau sebarang unsur pengabaian dan juga penderaan terhadap diri kanak-kanak.   Di TASKA sendiri ada masanya wujud pengabaian dari segi memastikan keperluan asas kanak-kanak dipenuhi samada dipenuhi oleh ibu bapa maupun pihak TASKA.  Keperluan asas kanak-kanak seperti makanan yang berkhasiat dan keperluan diri kanak-kanak perlu dipastikan mencukupi dan memenuhi keperluan kanak-kanak. Penderaan secara tidak langsung juga boleh dikatakan berlaku jika tidak wujud sikap dan nilai yang positif dalam diri pengasuh ketika mengendalikan kanak-kanak.  



Kanak-kanak akan sentiasa berada di dalam persekitaran yang selamat sekiranya wujud kerjasama di antara personel TASKA dan juga ibu bapa.  Namun di dapati kerana kesibukan mengejar masa, ada kalanya ibu bapa cuai dengan keperluan kanak-kanak. Pihak TASKA sukar mencari ruang bagi berbincang dengan ibu bapa dalam bersama memastikan semua aspek keselamatan kanak-kanak dipenuhi.

No comments:

Post a Comment