Tuesday 6 July 2021

Peranan ibu bapa dan komuniti di TASKA dan TADIKA

 

Oleh : Nor Azura Ismail 

pnnorazuraismail@gmail.com


Bila kita sebut TASKA atau TADIKA, tentulah kita tidak boleh lari dari mengaitkan ia dengan penglibatan ibu bapa khasnya dan pihak komuniti setempat amnya. Sejauhmana peranan ibu bapa dan komuniti di TASKA dan TADIKA yang boleh memberi impak positif kepada keseluruhan operasi TASKA maupun TADIKA.


Dalam kontek industri TASKA, ibu bapa adalah pasangan yang menghantar anak untuk mendapatkan perkhidmatan asuhan dan didikan awal di mana-mana TASKA yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).  Manakala komuniti adalah kumpulan atau agensi terdekat yang berada di persekitaran berdekatan TASKA seperti kejiranan, rukun tetanga, klinik, polis, bomba atau sebagainya.  Mengikut panduan di dalam  Kurikulum Asuhan dan Didikan Awal Kanak-Kanak PERMATA Negara di dalam tajuk Kolaborasi Ibu bapa dan Komuniti, ada menyatakan bahawa kolaborasi bermaksud;

 

i.          Ibu bapa menjadi rakan kongsi dalam asuhan dan didikan kanak-kanak.

ii.   Ibu bapa mengambil inisiatif untuk melibatkan diri dalam perkembangan kanak-kanak samada di rumah atau di TASKA.

iii.  Ibu bapa terlibat dalam memahami program yang dijalankan di TASKA atau sebagai kesinambungan pembelajaran di rumah. 



Manakala dari kontek TADIKA pula, ibu bapa adalah terdiri dari mereka yang menghantar anak ke premis TADIKA bagi mendapatkan keperluan pembelajaran awal kepada anak-anaknya. Pada dasarnya samada premis TASKA maupun premis TADIKA, kewujudan ibu bapa adalah antara kayu ukur kepada kejayaan dan kelancaran operasi di sesebuah TASKA dan TADIKA.



Bagaimana pula dengan komuniti setempat?

Ahli masyarakat dan agensi dalam komuniti setempat juga dipastikan menyumbang dalam program di TASKA/TADIKA.  Melalui  kurikulum yang digunapakai di kedua-dua premis ini, ada menyatakan  bahawa kanak-kanak perlu belajar banyak perkara dalam persekitaran mereka, maka dengan adanya penglibatan pihak komuniti,  ia akan memperkayakan proses perkembangan pembelajaran kanak-kanak.  Dari pernyataan ini menunjukkan betapa pentingnya penglibatan@ kolobrasi ibu bapa di TASKA/TADIKA dalam membantu perkembangan menyeluruh kanak-kanak.  Umum mengetahui peranan institusi TASKA/TADIKA iaitu, di samping memberi asuhan dan pendidikan kepada kanak-kanak, ia juga  membantu menggalakkan pelbagai aspek perkembangan menyeluruh seorang kanak-kanak.

 

Tugas dan peranan instutusi TASKA/TADIKA ini bukan hanya terletak di bahu tanggungjawab semua personel di dalam TASKA?TADIKA bahkan ia sepatutnya turut menjadi tanggungjwab ibu bapa dan juga komuniti yang berada di persekitaran sesebuah TASKA/TADIKA.  Antara kepentingan kolaborasi ibu bapa dan komuniti  secara umumnya yang telah dikenalpasti adalah seperti berikut :

 

Ibu bapa;

i.               Mengeratkan hubungan siraturrahim yang baik dan berterusan dengan ibu bapa

ii.    Menggalakkan ibu bapa memahami apa yang berlaku di dalam TASKA/TADIKA dari segi pengendalian aktiviti dan proses pembelajaran kanak-kanak sepanjang hari.

iii.            Membantu mempercepatkan proses pembelajaran kanak-kanak

 

Komuniti;

i.  Memberi peluang kepada komuniti menyalurkan kepakaran bagi kebaikan pihakTASKA/TADIKA

ii.              Menzahirkan kerjasama yang baik di antara TASKA/TADIKA dan komuniti

iii.            Membantu mendedahkan kanak-kanak kepada fungsi agensi dalam komuniti.



Apakah sebenarnya peranan ibu bapa dan komuniti di TASKA dan TADIKA?



Apakah impak  positif perkembangan pembelajaran yang diperolehi oleh kanak-kanak hasil daripada kolaborasi penglibatan  ibu bapa dan juga komuniti  dalam pelbagai aktiviti@program   di TASKA/TADIKA? Sejauhmana ia  telah membantu  memperkuatkan pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak serta membantu meningkatkan kejayaan kanak-kanak dalam apa jua bidang yang diceburinya?   



Walaupun dilihat pentingnya penglibatan ibu bapa dan juga komuniti di TASKA maupun TADIKA, namun masih terdapat pelbagai pemasalahan yang menghalang pelbagai kerjasama penglibatan dari ibu bapa maupun pihak komuniti setempat. Antaranya;


1.2.1     i.   Bagi ibu bapa, paling penting ialah anak mereka selamat dan selesa berada di TASKA/TADIKA. Ibu bapa jarang dapat melihat impak positif yang bakal diperolehi oleh anak-anak sekiranya ibu bapa berkenaan dapat meluangkan masa melibatkan diri secara aktif dengan program di TASKA/TADIKA.

 

1.2.2     ii. Komuntiti setempat merupakan kumpulan yang agak hampir dengan TASKA/TADIKA.  Fungsi dan peranan setiap komuniti setempat berhampiran TASKA/TADIKA sangat mempengaruhi persekitaran di luar dan di dalam TASKA/TADIKA.  Namun, didapati pihak TASKA/TADIKA pula tidak menyedari atau tidak mahu mengambil peduli kepentingan berhubung dengan komuniti setempat secara serius. Oleh itu, ada kalangan pihak TASKA/TADIKA yang mengambil jalan mengamalkan dasar tertutup di TASKA/TADIKA dengan tidak merancang pelaksanaan aktiviti@program  yang boleh  melibatkan komuniti dengan TASKA/TADIKA  secara aktif.

 

1.2.3   iii. Mungkin juga terdapat kurang kesedaran di kalangan komuniti setempat khasnya seperti masyarakat kejiranan setempat  untuk melibatkan diri di dalam program TASKA/TADIKA. Sikap tidak ingin mengambil tahu kerana bukan anak mereka yang berada di TASKA/TADIKA menjadi perkara utama segelintir mereka yang berkenaan  tidak peka dengan  operasi sesebuah TASKA/TADIKA di persekitaran mereka.    


Kesimpulannya, menunjukkan bahawa semua pihak sangat bersetuju tentang betapa pentingnya kolaborasi mereka di TASKA khasnya dalam aspek perkembangan menyeluruh kanak-kanak di TASKA.  Kekurangan pihak pengusaha dalam merancang aktiviti yang melibatkan ibu bapa dan komuniti mungkin dapat  menyebabkan terdapatnya jurang dengan  TASKA itu sendiri. Pihak pengurusan TASKA perlu menyedari hakikat ini dan berusaha untuk memastikan aktiviti ini mendapat sambutan daripada ibu bapa di TASKA dan juga mendapat kerjasama sepenuhnya daripada komuniti setempat.  Pihak TASKA  perlu lebih kreatif dalam merancang dan mempelbagaikan program supaya aktiviti yang diadakan mendapat sambutan daripada pihak ibu bapa.   Pihak TASKA pula perlu lebih menunjukkan sikap keterbukaan dalam melibatkan pelbagai komuniti yang berkaitan denagan aspek perkembangan kanak-kanak untuk turut terlibat dengan program di TASKA.

 


               CADANGAN

 

4.2.1      Pihak pengusaha perlu kerap mengadakan Hari Bersama Pelanggan yang melibatkan perjumpaan di antara pihak TASKA dengan ibu bapa dan juga komuniti setempat.  Perjumpaan ini adalah untuk mengeratkan silaturrahim antara pihak TASKA  dan ibu bapa kanak-kanak termasuk menzahirkan sekali fungsi komuniti dalam prroram tersebut.  

 

Perjumpaan ini juga membolehkan semua pihak untuk menyelesaikan pelbagai masalah yang dihadapi secara damai dan saling berkongsi idea untuk memantapkan lagi perkembangan kanak-kanak di TASKA.  Segala ketidakpuashati terhadap perkhidmatan yang disediakan di TASKA dapat dibincangkan. Kolaborasi ibu bapa dan peranan komuniti dapat diperjelaskan lagi dalam perjumpaan pelanggan ini.

 

4.2.2      Pihak pengusaha boleh mengadakan seminar-seminar yang berkaitan dengan kepentingan penglibatan ibu bapa dengan perkembangan kanak-kanak. Kedua-dua pihak antara ibu bapa dan pihak TASKA boleh saling berhubung dengan membuat panggilan telefon atau e-mel. Hal ini membolehkan ibu bapa mengetahui setiap perkembangan anak-anak mereka secara cepat dan tepat apabila ibu bapa tiada masa untuk bertanyakan kepada pengasuh anak mereka. Seminar-seminar di adalah boleh juga melibatkan lebih lagi komuniti dari agensi yang pelbagai.

 

4.2.3      Membuat hari melawat ke TASKA.  Pihak pengusaha mengadakan satu hari di mana ibu bapa  dan juga boleh melihat sendiri bagaimana keadaan sebenar kanak - kanak  di TASKA. Banyak kelebihan ibu bapa dan komuniti apabila melawat ke TASKA  antaranya ialah mereka dapat melihat sendiri suasana dan keadaan TASKA  anak-anak mereka  sendiri atau operasi TASKA di persekitaran mereka. Ibu bapa dapat mengetahui aktiviti seharian yang dijalankan oleh anak-anak mereka di TASKA.  Komuniti pula dapatkan rasa tanggungjawab terhadap perjalanan operasi rutin di TASKA.

 

4.2.4      Pihak pengusaha boleh mempelbagaikan program yang diadakan di TASKA secara lebih kreatif.  Saban tahun hanya aktiviti@program yang menjadi kebiasaan diadakan.  Ini menyebabkan ibu bapa khasnya sudah berasa jemu. Pihak pengusaha boleh mengadakan aktiviti yang lain daripada yang lain. Contohnya seperti aktiviti gotong-royong bersama penglibatan komuniti pelbagai dan juga ibu bapa. Bergotong-royong diadakan adalah untuk membersihkan kawasan TASKA dan persekitaran TASKA dan  yang paling penting ialah merapatkan silaturrahim antara satu sama lain. Sikap bergotong-royong ini dapat memberi contoh kepada kanak-kanak antara nilai murni yang dapat diterapkan ialah bekerjasama, beramah mesra, rajin dan hormat-menghormati.  

 

Jika perlu, sentiasa gabungkan penglibatan ibu bapa dan juga komuniti bersama pihak TASKA dalam apa jua program di TASKA.

Pihak TASKA juga boleh merancang lawatan ke pelbagai agensi luar yang memberi impak positif kepada perkembangan kanak-kanak. Jangan hanya fokus kepada bebarpa komuniti yang biasa di lawati.  Pengurusan TASKA perlu lebih kreatif dalam mengendalikan lawatan bermanfaat ke mana-mana komuniti yang lebih pelbagai.

Peranan pengusaha sendiri perlu menekankan kepentingan penglibatan ibu bapa khasnya kepada ibu bapa secara tidak langsung semasa apa jua perjumpaan secara tidak langsung.  Pengusaha juga perlu mewujudkan pengetahuan dan kemahiran di kalangan pangasuh akan kepentingan kolobarasi ibu bapa dan komuniti supaya pihak pengasuh sendiri dapat menyalurkan maklumat yang betul mengenai kolaborasi ini kepada individu yang ingin mengetahuinya.P

Pihakpenguatkuasa seperti JKM juga perlu mewajibkan semua TASKA untuk menjalankan program penglibatan ibu bapa dan komuniti di TASKA yang beroperasi serta berdaftar dengan JKM.

 

Akhir sekali....


            Penglibatan ibu bapa dan juga komuniti dalam aktiviti kanak-kanak serta program di TASKA  adalah amat penting bagi menyokong potensi perkembangan kanak-kanak dalam pelbagai aspek.  Ibu bapa termasuk kerjasama dari komuniti  harus memahami kepentingan pendidikan awal yang diberikan di TASKA  kepada kanak-kanak kerana pendidikan inilah yang akan menjadikan mereka individu yang berdikari dan berguna pada masa akan datang.  Oleh yang demikian, ibu bapa dan juga individu serta komuniti  yang terlibat dengan TASKA  seharusnya mengambil pendekatan yang serius melibatkan diri dalam membimbing kanak-kanak seawal usia lagi kerana mereka merupakan pelapis negara kelak. Penglibatan ibu bapa dan komuniti adalah sangat digalakkan kerana ia adalah elemen penting dalam perkembangan dunia kanak-kanak. Ini adalah kerana, ibu bapa merupakan insan yang paling rapat dengan kanak-kanak. Kerjasama dan permuafakatan di antara pengasuh dan ibu bapa yang baik dapat membantu dalam perkembangan dan kemajuan kanak-kanak secara positif dan seimbang.

 

Manakala komuniti adalah kumpulan dan agensi berkaitan yang mempunyai tanggungjawab dalam bersama membantu dari pelbagai aspek yang dapat melancarkan operasi TASKA di sesuatu komuniti dan seterusnya membantu aspek perkembangan pembelajaran kanak-kanak itu sendiri.   Apa sahaja alasan yang wujud dalam menzahirkan kolaborasi ini harus di atasi bersama demi memastikan perkembanagn positif  dalam perkembangan pembelajaran kanak-kanak di TASKA  khasnya.  Ini adalah kerana kanak-kanak betpotensi menjadi insan yang berguna untuk masa depan mereka, masyarakat dan negara jika dibentuk dalam persekitaran yang sihat lagi memberangsangkan.


















No comments:

Post a Comment