Entri 1 : Pengenalan Diri
Assalamualaikum dan salam
sejahtera serta salam perkenalan dari saya yang bernama Nor Azura Ismail. Dilahirkan di ibukota Kuala-Lumpur dan
dibesarkan di beberapa tempat bergantung kepada dimana ayah bekerja mencari rezeki. Saya mendapatkan pendidikan menengah yang
terakhir di Sekolah Menengah Methodist
Anglo Chinese School Seremban, sebelum saya menyambung pelajaran dalam
bidang Perbankan di Institut Teknologi Mara (ITM) (kini dikenali UiTM). Mengapa
bidang perbankan? Jawapannya mudah sahaja, dimana saya sendiri tak pasti
mengapa saya mengambil jurusan tersebut? Yang pastinya, saya telah memilih
bidang yang sesuai dengan keputusan SPM saya pada waktu itu. Akhirnya apabila
saya tamat belajar, saya tidak pun bekerja dalam bidang perbankan. Maklumlah pada
ketika itu juga, nak dapatkan kerja
memang sukar, Alhamdullillah tidak lama mencari, akhirnya dapatlah saya bekerja sebagai kerani
jualan dan perakaunan di dua buah syarikat gergasi di Petaling Jaya. Syukurlah juga kerana walaupun
sekadar bekerja sebagai kerani, dapatlah juga saya mempunyai duit poket sendiri tanpa menyusahkan
kedua ibubapa . Waktu tu umur pun masih muda dan keinginan untuk menyambung
pelajaran dalam bidang kewangan juga
meluap-luap. Akan tetapi perancangan
Allah telah menemukan jodoh saya terlebih dahulu dalam usia saya 23 tahun. Setelah
berkahwin, saya hanya sempat bekerja selama 2 tahun sahaja sebelum saya meletakkan jawatan
untuk pekerjaan saya yang terakhir dan terus bergelar surirumah sepenuh masa
yang mempunyai 2 orang anak yang masih
kecil ketika itu.
Tahun-tahun awal duduk di rumah
saya rasa sangat selesa kerana dapat menguruskan anak dan rumahtangga sendiri.
Akan tetapi lama-kelamaan saya terpanggil untuk memulakan satu perniagaan
kerana saya ingin mempunyai pendapatan sendiri. Pada saya ketika itu, sekurang-kurangnya saya
mempunyai pendapatan sendiri dimana saya boleh beli apa yang saya mahukan tanpa
menyusahkan si suami pula. Itulah saya, mungkin kerana sebelum itu telah
terbiasa mempunyai duit sendiri. Jadi,
setelah berbincang dengan suami, perniagaan pertama saya akhirnya berjaya
ditubuhkan dimana saya telah mengusahakan Tadika sendiri di samping menjalankan
kelas fardhu ain untuk kanak-kanak.
Berbekalkan pengetahuan dan pengalaman yang minima dalam industri ini,
saya memilih untuk menjalankan perniagaan Tadika dimana dalam masa yang sama
saya dapat juga menguruskan anak-anak sambil dapat berada berdekatan mereka
sepanjang masa. . Pada waktu itu, saya telah pun mempunyai anak seramai empat
orang.
Mengusahakan Tadika, satu perniagaan
yang sangat fleksible pada permulaannya. Seronok, bersemangat dan
berkobar-kobar untuk menberikan didikan awal supaya kanak-kanak seawal usia boleh
belajar asas membaca, menulis dan mengira dengan cepat. Semuanya berjalan lancar
sehinggalah saya merasakan begitu banyak ranjau dan duri dalam perniagaan
Tadika ini. Manakan tidak, dalam waktu
saya bertungkus lumus memberi pendidikan awal kepada kanak-kanak ini, saya
diuji dengan kerenah pekerja dan paling memeningkan ialah cabaran berhadapan
dengan pelbagai kerenah ibubapa. Cabaran pahit dan manis saya harungi jua
sehingga sampailah ke penghujung genap lapan tahun perniagaan tersebut
beroperasi dan berakhir dengan saya
tekad untuk menutup perniagaan tersebut. Bukan kerana tak suka atau tak minat
lagi dengan pendidikan awal kanak-kanak tapi pada waktu itu saya
belum cukup tabah untuk mengharungi setiap
perit dan jerih sebagai seorang
pengusaha Tadika. Walaupunbagaimanapun selama lapan tahun mengurus dan megendalikan
Tadika banyak memberi saya ilmu baru dan pengalaman berharga mengenai dunia
pendidikan awal kanak-kanak. Dalam tempoh itu juga saya berkesempatan mengikut
pelbagai kursus berkaitan. Alhamdullillah, terimakasih tuhan.
Memetik kata-kata yang pernah diungkapkan oleh saudara Irfan Khairi, kegagalan adalah guru yang terbaik yang dapat mengajar kita untuk bangkit semula. Bila kita gagal bukan
bererti kita akan terus gagal bahkan kita perlu susuri semula segala kelemahan
dan kesilapan yang pernah kita lakukan supaya ia tidak berulang lagi, bersikap
positif dan berusaha bangkit semula. Seketika saya kembali semula menjadi sang
suri di rumah dalam keadaan tak pasti nak buat apa. Boleh dikatakan, tertekan juga
dengan situasi tersebut. Namun, akhirnya pada sekitar tahun 2009 , Allah telah
merezekikan saya semula untuk
mencurahkan ilmu, pengalaman dan pengetahuan sebagai seorang tenaga pengajar kemahiran di salah
sebuah kolej kemahiran swasta. Jawatan saya pada ketika itu dipanggil Pegawai Penilai
untuk program Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dalam bidang ‘Childcare
Provider’ . Satu program kemahiran untuk asuhan kanak-kanak yang pertama kali saya dengar pada waktu itu .
Rupanya ia merupakan satu program
kemahiran yang baru diwujudkan di bawah Jabatan Pembangunan Kemahiran,
Kementerian Sumber Manusia. Bermulalah episod saya
di kolej ini. Walaupun saya bukan lagi
pemilik sebuah perniagaan, tetapi sekali lagi saya sangat seronok memberi
khidmat di sini. Pelajar saya kebanyakannnya terdiri dari pelajar perempuan
lepasan SPM. Saya dengan sepenuh hati menjalankan tugas dan
tanggungjawab yang diberi apatah lagi minat saya memang telah sedia tertumpu
sebelumnya dalam bidang ini.
Dari seorang Pegawai Penilai saya
dilantik pula sebagai ketua untuk program. Di samping itu saya turut telah diberi peluang untuk mengikuti pelbagai
kursus untuk peningkatan diri dan
kerjaya saya dalam bidang ini iaitu asuhan dan didikan awal kanak-kanak. Hingga
kini saya sendiri tak ingat berapa banyak kursus yang telah saya hadiri. Antara
pengalaman berharga yang saya perolehi ialah saya berpeluang mengendalikan verifikasi akhir untuk pelajar kolej kemahiran
seumpama yang lain , menjadi panel
kurikulum standard kemahiran dan panel
pembangunan soalan kemahiran bagi bidang asuhan dan didikan awal kanak-kanak. Sesungguhnya pada ketika itu, saya sayang dengan apa yang
saya lalui di sini. Saya turut juga berpeluang menyelaras kursus Asuhan dan
Didikan Awal kanak-Kanak PERMATA , turut menjadi jurulatih dan juga fasilitator
kepada kursus tersebut. Kursus Asuhan dan Didikan Awal Kanak-Kanak PERMATA
iaitu sebuah kursus dibawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang diwajibkan kepada semua yang ingin
mengusahakan Taska dan bekerja di Taska. Seperkara lagi saya juga telah diberi
amanah untuk membantu menubuhkan serta menyelia
sebuah Taska di kolej tempat saya bekerja. Banyak betul tugas saya
di sini. Tapi terus rterang saya katakan
yang saya memang suka dengan karier saya ini. Alhamdullillah, syukur juga ya
Allah, hasil dari pengalaman dan ilmu saya melebihi sepuluh tahun dalam bidang
ini, saya akhirnya telah didaftarkan sebagai Pakar Pengajar di dalam Direktori
Pakar Industri Negara (DPIN) Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber
Manusia.
Sesungguhnya banyak betul
pengalaman yang saya perolehi di sini. Terimakasih tidak terhingga kepada puan
pengurus kolej kerana memberi peluang kepada saya mempertingkatkan diri dalam
bidang ini . Jasamu akan saya ingati. Namun, semua orang ada matlamat dan
keinginan baru dalam kehidupan. Kita mesti berfikir untuk terus memajukan diri
sendiri . Saya perlu ada wawasan untuk menjana pendapatan di masa depan yang
berterusan. Secara tiba-tiba saya terfikir
saya ingin berbuat sesuatu yang baru untuk diri saya sendiri. Saya ingin
mencapai kejayaan tersendiri . Bertolak dari situ, saya mula mencari buku dan
ebook mengenai perniagaan internet. Saya
juga suka menghadiri seminar berkaitan perniagaan internet ini., Saya suka
membaca kisah-kisah motivasi dan inspirasi jutawan internet , sambil sering berkata pada
diri sendiri , saya ingin jadi seperti mereka. Tanpa disedari saya sangat
meminati perniagaaan internet ini dimana saya bercadang untuk menjadikan bidang
yang saya ceburi sebagai satu pilihan untuk
menjana pendapatan melalui perniagaan di atas talian. Lalu kali ini saya sangat
teruja untuk menulis ebook . Sememangnya, sedari dulu, saya memang minat untuk menulis tapi sayangnya
tak kemana pun, sekadar menulis untuk
tatapan dan kepuasan diri sendiri sahaja. Saya mengikuti perkembangan pakar
perniagaan internet saudara Irfan Khairi . Saya mula meminati beberapa jutawan
internat seperti En Jamal sifubads dan
Ammar Zahar. Saya menjadi teruja membaca mengenai kisah bagaimana mereka boleh menjadi
jutawan hanya dengan menulis ebook. Lalu sekali lagi saya terfikir, untuk menggunakan
internet bagi menjalankan perkhidmatan dan menghasilkan produk fizikal maupun
digital melalui kepakaran saya dalam bidang asuhan dan didikan awal kanak-kanak
ini. Akhirnya inilah antara idea
perniagaan yang ingin saya jalankan kini:
1. Menjual
ebook penubuhan dan pengurusan Taska dan Tadika
2. Menjual
ebook aktiviti dan rancangan mengajar di Taska
3. Menjual
ebook idea menyediakan bahan permainan kanak-kanak.
4. Perkhidmatan
penubuhan Taska & Tadika
5. Perkhidmatan
pengiktirafan persijilan kemahiran.
6. Seminar
dan kursus berkaitan asuhan dan didikan awal kanak-kanak
Banyak betul idea yang saya fikirkan, masaalahnya ilmu saya belum cukup banyak dan
luas dalam perniagaan internet ini . Saya masih harus terus belajar dan
memahami. Masih terlalu banyak lagi ilmu perniagaan internet ini yang saya
kurang faham. Sebenarnya agak sukar juga nak faham sebab semuanya agak baru
bagi saya. Blog, Affiliate, FB Adv , forum group dan lain-lain semuanya baru saja mula menjengah dalam
kehidupan saya. Saya memang perlu dan sangat perlu untuk terus belajar. Hingga saat ini rasanya saya telah berkorban
wang simpanan saya bagi membeli ebook, mengikuti seminar dan kelas bimbingan
online. Terbaru entah bagaimana saya terjumpa kelas penulisan blog secara
online ini lalu saya tidak teragak-agak lagi untuk mendaftar. Harapan saya
semuga kelas penulisan dan bisnes online ini boleh memberi ruang dan nafas baru
untuk saya memulakan apa yang saya inginkan ini. Mudah-mudahan dapat menambah
serta menguatkan lagi kefahaman yang telah sedia ada.
Seterusnya untuk menjayakan
perancangan saya ini, saya terfikir untuk melepaskan semua jawatan saya
sekarang ini. Kenapa? Saya mula memikirkan inilah masanya yang sesuai untuk
saya lepaskan jawatan saya. Keadaan persekitaran dan situasi semasa kini di
kolej kini seolah mendorong saya untuk
beria-ria melepaskan jawatan saya dan
seterusnya memulakan apa yang saya rancangkan. Mungkin tidak semudah itu.
Selama hampir tujuh tahun di kolej, telah terbiasa menerima gaji hujung bulan,
kali ini, jika saya lepaskan segalanya, saya perlu berusaha untuk mencari
pendapatan sendiri semula. Puaslah saya berfikir dengan sebaiknya. Tanpa
disedari , walau dulu saya kata saya seronok bekerja di kolej, tapi hakikatnya
saya masih seorang pekerja yang tetap tertakluk kepada pelbagai syarat dan
peraturan kerja. Selari dengan peningkatan usia
saya mula ingin merasai kebebasan bekerja sendiri, menjadi boss dan kuli
pada diri sendiri. Saya benar-benar
ingin bebas kini.Saya selalu bertanya dan berdoa dalam hati memohon kepada Allah supaya tetapkan hati saya dan tunjukkan pada saya seterusnya jalan dan cara yang harus saya lalui. Saya benar-benar tekad untuk berhenti. Saya ingin memulakan
perniagaaan saya sendiri semula dan saya akan mulakan ia di rumah saya sendiri.
Kalau orang lain boleh, mengapa tidak saya. Sebagai permulaan, saya telah pun
mencuba untuk menghasilkan blog dan fanpage saya sendiri. Selain dari itu, saya
sudah mula menulis satu ebook yang bertajuk Panduan perniagaan dan pengurusan Taska.
Secara rasminya pada waktu
catatan pengenalan diri ini ditulis, saya belum melepaskan jawatan saya tetapi saya
telah memaklumkan kepada pihak pengurusan hasrat saya ini. Saya berkata pada
diri saya insyallah apa yang saya kata akan saya tetap akan saya kotakan.
Insyallah, sepertimana orang lain yang mengambil keputusan untuk berhenti
bekerja, saya juga yakin rezeki kurniaan Allah
itu maha luas dan ada dimana-mana, cuma kita sebagai hamba perlu untuk
berusaha mendapatkannya. Semuga Allah memudahkan
urusan saya kini akan akan datang. Semuga saya terus suksess berusaha semuanya
demi untuk keluarga tercinta. Biarlah
perit dan jerit mencari rezeki saya
kongsi bersama si suami demi untuk kesejahteraan kewangan keluarga dan
anak-anak yang kian membesar. Insyallah saya pasti boleh lakukan. Sekian dari
saya Nor Azura Ismail.
No comments:
Post a Comment