Friday, 15 May 2015

Saya seorang cikgu

Nama & Teks : Nor Azura Ismail
Foto : Simpanan Peribadi
Emel : pnnorazuraismail@gmail.com




Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua rakyat Malaysia khasnya dan kepada sesiapa jua yang membaca catatan saya hari ini.
Hari ini saya nak berkongsi sedikit kisah dan rasa suka duka  pengalaman saya mula bergelar cikgu.

Saya seorang cikgu.  Istimewanya saya bergelar cikgu  kepada anak-anak kecil yang  belajar di TADIKA. Masih terngiang-ngiang di telinga saya, anak-anak ini memanggil saya dengan suatu gelaran istimewa iaitu cikgu. Pada anak-anak ini bila di TADIKA, cikgulah segalanya,  Bila tidak faham buat  aktiviti, cari dan tanya  cikgu. Hendak bermain, kena tanya cikgu. Hendak  ke tandas pun tanya cikgu, semuanya kena cari cikgu. Kiranya,  cikgulah segalanya bila di TADIKA.

Pada awalnya pendidikan saya bukanlah dari bidang pendidikan awal kanak-kanak ataupun perguruan. Tetapi disebabkan excited untuk memulakan perniagaan TADIKA sendiri  di awal usia saya memasuki 30 an, maka bermulalah gelaran dan peranan cikgu itu pada diri saya.
Tetapi, pelik juga kerana sebelum saya mula bisnes TADIKA lagi, orang yang tidak mengenali saya, bila nampak sahaja kelibat saya terus tanya, ‘cikgu ke ni,?” Tak sangka pula, rupanya penampilan seorang cikgu itu sudah  memang ada pada diri saya.

Mula saja bisnes TADIKA ini, pada awalnya macam rasa janggal  saja panggilan cikgu itu, sebab saya memang bukan bidang perguruan sehinggalah akhirnya panggilan itu benar-benar sebati dengan saya. Dari anak didik TADIKA hinggalah ibu bapanya semua memanggil saya cikgu. Bukan mereka sahaja, bahkan jiran sekeliling rumah pun panggil saya cikgu. Betapa bernilai dan berharganya panggilan cikgu itu, mana-mana kita pergi, orang tetap ingat bahawa kita adalah seorang guru. Saya pun kenalah  bawa imej sebagai cikgu kemana-mana jua saya pergi. Yang saya ingat bila saya beli permainan untuk anak-anak saya, saya juga akan tergerak untuk belikan permainan untuk anak-anak TADIKA saya juga.

Saya seorang cikgu. Sebagaimana hebatnya panggilan cikgu itu, begitu jugalah hebat dan mencabarnya tugas sebagai seorang guru untuk saya apatah lagi menjadi guru kepada anak-anak awal usia ini iaitu yang berumur antara 3 hingga 6 tahun. Memang sungguh mencabar buat saya tapi itulah hakikatnya.
Bidang pendidikan awal kanak-kanak ini memang menyeronokkan dan ada auranya sendiri buat diri saya. Paling indah dan  paling seronok bila tengok anak-anak ini menjadi anak-anak yang baik dan berjaya dalam apa jua bidang mereka. Hmm, dah besar remaja anak-anak didik saya ini sekarang ini.

Tugas utama saya di TADIKA selain pengurusan TADIKA ialah untuk mengendalikan sesi kelas dan aktiviti bersama anak-anak TADIKA yang memang ada seribu macam kerenah dan tingkahlaku yang berbeza. Hendak  kata tak pening, memang memeningkan dan sentiasa menguji ketabahan dan kesabaran saya sebagai seorang guru TADIKA berhadapan dengan kerenah anak-anak ini. Cuma bezanya  hendak jadi guru TADIKA mesti juga selalu menunjukkan keceriaan, berwajah manis  dan happening lah kata orang. Kalau nak tahu, inilah rahsia awet muda guru dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak ini., selalu bersama anak-anak ahli-ahli syurga ini. Menjadi guru kepada kanak-kanak kecil, kita juga kekadang perlu jadi seperti anak-anakkecil  juga.

Itulah sebahagian daripada rasa suka ketika mengendali anak-anak di TADIKA. Yang duka, adalah juga tetapi kalau di TADIKA, sebenarnya anak-anak bukanlah menjadi masalah utama. Tapi, selalunya rasa duka itu datang daripada penilaian yang diterima dari ibubapa. Nak tahu, apa ?

Sebenarnya  anak-anak memang berbeza dari segi penerimaan sesuatu pembelajaran itu, ada yang serap cepat, ada yang banyak main, tak fokus malah ada yang tetap blur. Tapi mereka  masih anak-anak yang mana dunia mereka hanyalah  bermain . Kena selalu sabar menunggu mereka benar-benar bersedia untuk menerima pembelajaran awal di TADIKA. Kalau pergi TADIKA, semua peraturan dan displin kena ikut walhal mereka masih anak-anak lagi. Akan tetapi, bila tak dapat membaca atau menulis, tu dia, bukan anak yang jadi masalah, ibu bapa pula yang tak mahu faham perkembangan kanak-kanak . Waktu  ini lah sebagai cikgu di TADIKA,  kena sabar dan tabah pula berhadapan dengan kerenah dan runggutan  ibu bapa. Satu lagi, pantang kalau anak terjatuh atau luka sikit, biasalah anak-anak bukan boleh duduk diam, tapi cikgulah yang akan jadi mangsa hentaman ibu bapa. Sekali lagi, selalu saya pujuk hati ini, “sabarlah wahai hati”. Ada pada suatu ketika dulu, dalam bisnes TADIKA itu, saya makan hati betul dengan kerenah ibu bapa.

Hmmm, kalau nak dicerita pengalaman menjadi guru di TADIKA, memanglah banyak, susah nak cerita di sini semuanya . Kesimpulannya ada suka ada juga kisah yang duka. Yang penting ialah semua pengalaman awal yang ditimba menjadikan diri saya seperti sekarang ini. (walau masih banyak ilmu pengalaman  yang perlu ditimba lagi)

Lapan  tahun  bergelar guru TADIKA, akhirnya saya mengalah jua , bukan sebab tugas sebagai guru TADIKA tersebut tetapi lebih kepada (seperti saya nyatakan  tadi)  sikap sesetengah ibu bapa yang tidak pandai menghargai  dan menilai pengorbanan serta penat lelah seorang guru. Sayalah itu.

Selepas menutup perniagaan TADIKA saya, rupanya penampilan sebagai cikgu itu tetap saya bawa bersama hinggalah akhirnya saya tetap terjun juga ke bidang pendidikan awal ini. Saya seorang cikgu. Kali ini saya menjadi guru kepada pelajar-pelajar kemahiran dalam bidang asuhan dan pendidikan awal kanak-kanak. Dalam masa yang sama saya juga menjadi guru kepada anak-anak yang lebih  kecil  iaitu anak-anak di bawah 4 tahun di TASKA yang saya uruskan. Seronak agaknya untuk terus menjadi guru, lalu saya terus komited dengan tugas dan tanggungjawab saya.  Azam dan tekad saya untuk memastikan apa jua ilmu dan didikan yang saya beri akan diterima dan diaplikasikan oleh anak-anak, kalau bukan sekarang , bila mereka dewasa kelak.

Hmm, nak kongsi pengalaman saya sebagai cikgu kepada anak-anak TASKA pula. Berbeza sedikit dari cikgu TADIKA, sebab kurang  gangguan dari ibu bapa. Yang penting anak-anak diasuh dan dididik dengan  baik dan selamat. Walaupun hakikatnya saya tak asuh anak TASKA secara langsung tapi saya tetap bersama anak-anak ini memantau  aktiviti mereka. Yang paling tercuit di hati saya ialah walaupun saya tak asuh anak-anak TASKA ini, tapi anak-anak  ini sangat mengenali saya dan suka bila melihat saya berada di TASKA. Mereka akan mula menjerit memanggil nama saya. Yang kelakarnya mereka panggil saya cikgu puan Nor sebab mereka selalu terdengar pelajar kemahiran saya memanggil saya pn nor.  Terhibur jugalah hati seketika bila dapat melihat keletah anak-anak ini apatah lagi bila saya melawat ke bilik bayi. Bayi-bayi semua macam anak-anak saya  sendiri juga.

Berbeza jauh sekali pula menjadi guru kepada anak-anak yang telah meningkat remaja, itulah pelajar-pelajar saya yang mengambil bidang  Persijlan Kemahiran Malaysia Pengasuhan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak. Mereka juga umpama anak-anak remaja saya sendiri.  Kehidupan mereka penuh dengan cabaran dan gelora jiwa anak muda. Justeru itu di samping memberi  ilmu dan kemahiran kepada mereka, peranan  saya ialah untuk memahami kerenah dan jiwa mereka sebaiknya. Teharu juga kerana disamping saya ini adalah cikgu mereka , mereka juga selalu menganggap saya sebagai ibu dan motivator mereka. Walaupun mereka adalah pelajar kemahiran tapi mereka tetap mempunyai kelebihan tersendiri.  Terima kasih pelajar-pelajar saya, kerana terus menghargai dan menyayangi diri saya ini.

Hari ini 16 Mei seperti kebiasaan seperti  setiap tahun,  negara menyambut sambutan Hari Guru. Saya seorang cikgu. Sedari pagi tadi bertalu-talu pula pesanan masuk dalam inbox dan whatsapp saya, sekadar untuk menghantar  ucapan Selamat Hari Guru. Terima kasih semua  kerana sudi mengingati dan menghargai pengorbanan  saya yang masih sedikit ini.

Kepada semua guru-guru di luar sana, kejayaan  anak-anak didik kita ialah bila mereka berjaya menjadi insan yang berguna, cemerlang dan terbilang bukan sekadar di atas dunia ini malah di akhirat kelak. Percayalah bahawa  doa mereka akan mengiringi keikhlasan kita sebagai guru yang mendidik. Dan yakinlah bahawa andai  ilmu berguna yang kita salurkan kepada anak-anak didik kita, inilah yang bakal kita bawa bersama ke akhir hayat kita nanti.
HAKIKATNYA, KITA SEMUA ADALAH CIKGU.

SEKIAN, SALAM SAYANG DARI SAYA DAN SELAMAT HARI GURU

No comments:

Post a Comment