Tuesday 2 January 2018

Penyelia TASKA

Disunting oleh : Nor Azura Ismail 
Teks Asal : Penulisan LPKT calon DKM ( Bab Pendahuluan)
pnnorazuraismail@gmail.com


Ada yang masih keliru dengan definisi TASKA?
Menurut Akta TASKA 1984, 


TASKA adalah mana-mana premis yang menjaga kanak-kanak di bawah umur 4 tahun  melebihi 4 orang dalam satu-satu masa dan menerima upah dari jagaan tersebut.  Menurut peraturan JKM juga, TASKA terdiri dari 4 kategori iaitu TASKA Institusi, TASKA di Rumah, TASKA Komuniti dan TASKA di Tempat Kerja.  

Apakah agensi yang bertanggungjawab dalam pematuhan peraturan penubuhan TASKA?
Penubuhan premis TASKA perlu didaftarkan dan dipantau di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di mana TASKA diwajibkan mematuhi semua peraturan yang ditetapkan sepertimana di dalam Akta TASKA dan seperti yang termaktub di bawah Peraturan-Peraturan TASKA 2012.   

Siapakah pengurusan TASKA?
Semua TASKA tersebut boleh diusahakan dan diuruskan oleh individu perseorangan atau mana-mana agensi dengan disyaratkan pemilik TASKA telah lulus Sijil Kursus Asuhan dan Didikan Awal Kanak-Kanak PERMATA (KAP).
Dengan kata lain, Pengurusan TASKA  adalah terdiri daripada pihak yang mengusahakan TASKA dan yang bertanggungjawab memastikan TASKA diuruskan pula  mengikut prosedur ketetapan peraturan JKM.   Adalah penting setiap TASKA diselia dengan baik bagi memastikan pula kelancaran operasi rutin sesebuah TASKA.  Di siniah peranan seorang individu yang bergelar penyelia TASKA bagi memastikan kelancaran operasi rutin di TASKA.  Di sesetengah TASKA, tugas penyeliaan dipikul bersama oleh pengusaha TASKA sendiri.  Besarnya peranan penyelia justeru itu,  tanpa penyeliaan harian berkala  yang efektif,  sesuatu tugasan  yang dijalankan mungkin tidak akan dapat dijalankan dengan berkesan.


Operasi di TASKA meliputi rutin aktiviti dan juga rutin perkembangan  serta hal-hal yang berkaitan dengan pentadbiran pengendalian rutin TASKA seperti pendaftaran kanak-kanak, bayaran bulanan yuran, pengemaskinian rekod TASKA, pengendalian pekerja dan beberapa perbincangan bersama ibu bapa. 

Kebiasaanya operasi TASKA boleh diselia oleh Penyelia di TASKA dengan pemantauan daripada pihak pengurusan TASKA.  Peranan penyelia sememangnya sangat besar bagi memastikan operasi di TASKA berjalan mengikut yang ditetapkan oleh pengurusan TASKA.  Operasi TASKA yang dapat berjalan dengan lancar tentu sahaja dapat pula meningkatkan kualiti perkhidmatan yang ditawarkan di sesebuah TASKA.  Manakala TASKA yang tidak diselia dengan baik, tentu akanmengalami pelbagai masalah dalaman yang sekaligus mencerminkan ketidakcekapan sesebuah operasi TASKA.  Kesannya tentu sangat besar kepada hak yang sepatutnya diperolehi oleh kanak-kanak di TASKA.


Secara umumnya, mengikut Peraturan TASKA 2012 ( Bahagian V – Penyelia Taman Asuhan Kanak-Kanak),  pernyataan jawatan penyelia TASKA digariskan seperti berikut;

Kelayakan Penyelia
12(1)    Pengusaha taman asuhan kanak-kanak di tempat kerja, komuniti atau di institusi hendaklah mengambil bekerja atau melantik seorang penyelia bagi taman asuhan kanak-kanak itu.
(2)        Penyelia hendaklah seorang yang;
            (a)        merupakan warganegara Malaysia
            (b)        berumur lapan belas tahun dan ke atas; dan
            (c)        telah lulus Kursus Asuhan dan Didikan Awal Kanak-Kanak PERMATA.


Kewajipan penyelia
13(1)    Seorang penyelia hendaklah mempunyai kewajipan yang berikut;

(a) Untuk menyelia pengasuh kanak-kanak berdaftar dan pekerja sesuatu taman asuha kanak-kanak.
(b)   Untuk menyelaraskan semua aktiviti yang dirancang di taman asuhan kanak-kanak.
(c)  Untuk memaklumkan pengusaha dengan segera atau jika pengusaha tiada, ibu atau bapa atau penjaga, jika kanak-kanak memerlukan rawatan perubatan.
(d)   Untuk memaklumkan pengusaha dengan segera, ataujika pengusaha tiada, untuk merujuk kanak-kanak dengan segerakepada pegawai perubatan untuk mendapatkan rawatan segera, jika penyelia itu mempercayai bahawa terdapat suatu wabak atau penyakit berjangkit yang boleh mengancam kesihatan kanak-kanak itu.
(e)       Untuk memastikan bahawa-
(i)      makanan bagi kanak-kanak disediakan dan dibuat mengikut skala diet yang dinyatakan dalam Jadual Keempat; dan
(ii)       kanak-kanak diberi susu mengikut kaedah penyusuan yang dinyatakan dalam Jadual Kelima
(f)              untuk menjalani pemeriksaan perubatan dalam satu bulan selepas diambil bekerja atau dilantik sebagai penyelia taman asuhan kanak-kanak; dan
(g)               untuk mematuhi semua syarat yang dikenakan oleh Ketua Pengarah di bawah seksyen 8 Akta.

(2)        Seseorang penyelia yang tidak mematuhi subperaturan (1) melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tiak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.


Berikut adalah beberapa perkara yang diambilkira berkaitan jawatan penyelia TASKA.

i.                     Kualiti penyelia TASKA
Kualiti penyelia akan dilihat daripada kelayakan pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki oleh penyelia di kedua-dua TASKA yang dinyatakan.  Seorang  penyelia TASKA perlu  telah terampil dalam tugasannya sebagai seorang penyelia di TASKA.

ii.                   SOP atau peraturan yang ditetapkan oleh TASKA
Bagi menjamin kelancaran sesebuah operasi TASKA, adalah menjadi satu keperluan untuk pihak TASKA menyediakan SOP untuk semua tugasan yang dilaksanakan di TASKA.  SOP ini boleh dipertanggungjawabkan kepada penyelia untuk menyusun dan menetapkannya dengan pemantauan dari pihak pengurusan TASKA. Dengan adanya SOP sangat memudahkan penyelia untuk melaksanakan penyeliaan terhadap operasi TASKA

iii.                  Penyeliaan TASKA vs kelancaran operasi
Seorang penyelia yang dapat menyelia TASKA dengan baik sehingga dapat memastikan semua operasi rutin di TASKA berjalan dengan lancar secara tidak langsung dapat juga meningkatkan kualiti perkhidmatan di sesebuah TASKA.



1 comment: