Monday 12 March 2018

Salahkah anak boleh baca buku di awal usia kematangannya

Nor Azura Ismail
pnnorazuraismail@gmail.com

Apabila tulisan saya mengenai 'perlukah anak di bawah 7 tahun boleh membaca', di viralkan, saya sempat terjumpa pelbagai komen , samada yang menyokong atau yang menafikannya.

Terpulanglah pada penilaian semua yang membaca post saya itu. Sebagai pengamal pendidikan awal kanak-kanak, saya tetap dengan pendirian saya bahawa anak-anak tidak perlu dipaksa membaca. Biarkan dia suka membaca secara semulajadi bukan dengan paksaan. Biarlah orang kata anak ini lambat, tapi saya telah pernah mendengar kisah  seorang prof yang semasa zaman kecilnya penuh dengan bermain dan dia hanya boleh baca lancar di usia 9 tahun,  namun  kemudian dia telah mula.belajar kuat dengan keyakinan sendiri sehinggalah dia berjaya. Hakikatnya dia memang seorang yang mempunyai kecerdikan dalam diri cuma ia lambat diserlahkan.

Sememangnya juga, tidak pernah dikatakan  salah jika  anak-anak kita boleh membaca awal usia. Dan memang tetap juga kebanyakan anak yang boleh baca di awal usia ini terus membesar menjadi anak yang cerdik dan bijak. Saya tidak menafikannya sebab kebolehan dan potensi setiap anak tidak sama, ada yang memang sangat genius dan ada juga yang sebaliknya.
Namun jangan menyangka pula anak yang lambat boleh baca tu anak  yang tidak berjaya. Mereka juga sebenarnya telah berjaya mengikut potensi kelebihan dalam.diri masing-masing. Ramai juga yang menjadi orang cerdik pandai.

Apa sebenarnya yang saya ingin tekankan ialah cara bagaimana ibu bapa dan pendidik gunakan bagi membolehkan anak boleh membaca. Realiti nya  sangat tidak boleh dinafikan ialah pendekatan paksaan dan latih tubi yang berterusan tanpa memikirkan emosi anak dan kehendak hakiki anak iaitu untuk bermain. Itulah yang sebenarnya yang ingin saya fokuskan.

Jangan tipulah bahawa realiti hari ini, semua ibu bapa berlumba-lumba  nak anak cepat boleh baca. Ibu bapa sanggup hantar anak ke TADIKA mahal, sanggup bayar yuran tuisyen membaca anak bagi tujuan tersebut  walhal anak baru sahaja berumur dalam lingkungan 4 ke 6 tahun.

Baru- baru ini saya terima beberapa emel dari berlainan ibu bapa yang memberitahu saya bahawa mereka hingga terpaksa guna kaedah marah dan rotan supaya anak umur 5 tahun mahu fokus  belajar membaca.  Ada juga ibu bapa yang kesal , walau telah hantar anak ke TADIKA, anaknya masih belum boleh baca buku. Dia menzahirkan rasa kecewa terhadap anak yang katanya asyik banyak bermain sahaja.

Ada juga seorang ibu katanya dia rasa malu bila anaknya yang umur 6 tahun belum boleh membaca sedangkan anak adiknya telah lancar baca buku..
Ada juga seorang  ibu yang stress bila cikgu TADIKA beritahu yang anaknya tidak pandai dan dia ingin hantar anaknya ke kelas intensif untuk.membaca.
Anak menjadi perbandingan orang dewasa.

Nah, bukan kebolehan membaca itu yang salah tetapi niat, matlamat dan cara sahaja yang sebenarnya memihak kepada keinginan ibu bapa.  Lalu yang menjadi mangsa, tentulah anak-anak. Saya pernah lihatlah anak awal usia boleh baca, tetapi dia sebenarnya menghafal dan memang tidak faham.akan apa yang dibacanya. Kita ibu bapa atau pendidik, tahukah kalau emosi anak itu terganggu dek kerana paksaan membaca dan pengharapan tinggi kita ke atasnya.

Anak pandai membaca awal usia memang sangat tidak salah, itu memang menunjukkan anak itu bijak tetapi fikirkan apa yang telah kita lakukan hingga anak cepat boleh baca. Tidak boleh kah kita beri ruang dan peluang secukupnya  untuk anak bermain, meneroka dan mencuba pelbagai peluang baru serta  merasa seronok dengan dunia kanak-kanaknya. Apa kata biarkan anak  belajar dulu mencintai buku sebelum memaksanya membaca.

Apa pun, dengan hati yang tulus, cuba tanya, kenapa kita sibuk nak anak sedari seawal  3 atau 4 tahun atau sebelum 6 tahun itu diberi penekanan latih tubi pembacaan awal, kenapa?

Kena ingat, fitrah anak-anak ialah bermain.  Biarkan dia bermain dan jangan terlalu  risau tentang kenapa dia lambat  boleh baca. Berikan anak masa dan peluang. Bimbing dan ajar dia dengan kaedah @ cara  yang menyeronokkan. InsyAllah, di usia kematangannya nanti,  dia pasti akan boleh membaca juga.

Kena ingat, gilap dulu pelbagai tahap.perkembangan anak sebelum.kita sibuk suruh anak baca buku.

1 comment:

  1. Masalahnya kenapa di sekolah 1st day darjah satu dah ada test untuk asingkan bdk2 mengikut taraf kepandaian. Kalau tak boleh membaca/menulis alamatnya fail la exam & hasilnya masuk kelas corot. Sebab tu semua parents beriya nak make sure anak2 boleh baca/tulis sebelum masuk sekolah. Semua salah sistem pendidikan & expectatations cikgu2.

    ReplyDelete