Sunday 29 April 2018

Perkembangan Pembelajaran Kanak-Kanak

Oleh : Nor Azura Ismail
Rujukan : Modul PERMATA Negara


Apakah itu Perkembangan Pembelajaran Kanak-Kanak?
Tahukah anda bahawa potensi perkembangan pembelajaran seseorang kanak- kanak bermula sejak awal kanak-kanak dilahirkan lagi, malah ketika di dalam kandungan lagi. Proses pembelajaran seseorang kanak-kanak bukanlah juga hanya menjurus kepada sesuatu yang berbentuk akademik sahaja, bahkan ia meliputi keseluruhan aspek dalam perkembangan kanak-kanak. Dengan kata lain, sepanjang menyusuri hari-hari awal usianya, kanak-kanak belajar pelbagai perkara dan benda baru. Uniknya, kebanyakan yang dipelajari oleh kanak-kanak diperolehi hanya melalui bermain. Bermain merupakan kerja hakiki dan sebahagian dari kehidupan normal seseorang kanak-kanak.
Pada peringkat awal, kanak-kanak mudah dilentur dan dibentuk peribadi dan inteleknya. Pada ketika ini. sangat penting kanak-kanak mendapat pendedahan pembelajaran mengenai kehidupan  secara holistik atau menyeluruh. 

Personaliti dan sahsiah kanak-kanak terbentuk sejak dari dalam kandungan ibunya lagi. Personaliti dan sahsiah diri kanak-kanak dapat dikembangkan dan menjadi lebih positif lagi sekiranya kanak-kanak mendapat pengasuhan dan pendidikan yang betul daripada orang dewasa dan juga persekitarannya.


Perkembangan awal kanak-kanak bukanlah bermaksud pendidikan awal yang berbentuk akademik semata iaitu memastikan anak-kanak cepat pandai membaca , menulis dan mengira di awal usia. Sebaliknya pendidikan awal kanak-kanak adalah satu bentuk pendidikan yang menekankan aktiviti yang antaranya bagi mencapai perkara-perkara berikut :



  • Membina emosi dan sahsiah diri yang sihat dan stabil serta positif dalam diri kanak-kanak melalui pelbagai aktiviti yang berkait dengan tahap Perkembangan Sahsiah, Sosioemosi dan Kerohanian kanak-kanak. 
  • Menjadikan kanak-kanak pandai bersosial dan bergaul dengan baik serta positif bersama rakan-rakan sebayanya. 
  • Membimbing kanak-kanak agar boleh menggunakan bahasa percakapan yang baik, mempunyai keyakinan diri ketika berbual dan berkomunikasi dengan rakan sebaya atau dengan  orang dewasa melalui Perkembangan Bahasa, Kominikasi dan Literasi Awal. 
  • Menanamkan pengetahuan dan memberi bimbingan terhadap cara pemakanan yang sihat di kalangan kanak-kanak melalui pelbagai aktiviti perkembangan yang dapat membimbing kanak-kanak memilih menu makan yang baik lagi berkhasiat. 
  • Membina hubungan positif dengan  sesiapa sahaja di persekitaran kanakkanak. 
  • Memberi peluang kepada kanak-kanak meneroka, mencuba dan merasai pelbagai pengalaman dengan dunia persekitarannya melalui pebagai aktiviti yang menarik dan menyeronokkan bagi menggalakkan  Perkembanagan deria dan Pemahamana Dunia Persekitaran kanak-Kanak. 
  •  Mendidik kanak-kanak supaya boleh  berdikari seawal usia 3 – 4 tahun lagi dengan memberi peluang kepada kanak-kanak menguruskan keperluan biasa  diri sendiri seperti mandi sendiri, pakai baju dan kasut sendiri serta mengemas barang permainan selepas bermain. 
  • Menjadikan kanak-kanak seorang yang aktif, cergas dan sihat serta menguatkan perkembanagan moto kasar dan moto halus kanak-kanak melalui pelbagai aktiviti berkaitan Perkembangan Fizikal kanak-kanak. 
  • Membantu kanak-kanak berfikir mengenai sebab dan akibat kepada sesuatu dan meningkatkan  keupayaan kanak-kanak mnenumpukan perhatian bagi merangsang Perkembangan Awal Matematik dan Pemikiran Logik kanakkanak. 
  • Memberi peluang kanak-kanak menghayati, menikmati dan menyusuri dunia awal kanak-kanak mereka melalui pelbagai aktiviti yang kreatif, ceria dan menarik. 




  • Pada dasarnya. perkara-perkara  di atas menunjukkan bahawa pada peringkat awal kehidupan kanak-kanak apa yang penting ialah menggalakkan tahap-tahap perkembangan menyeluruh kanak-kanak dalam pelbagai aspek perkembangan pembelajaran yang dapat membantu mereka melalui kehidupan dengan mudah dan lebih bermakna di hari seterusnya mereka menempuh pengalaman kehidupan sebagai seorang kanak-kanak.  




  • Perlu diingat bahawa sememangnya  kanak-kanak sentiasa ingin belajar mengenai sesuatu yang baru dalam kehidupannya. Dan hakikatnya kanak-kanak belajar melalui bermain. Kanak-Kanak main apa sahaja yang disukainya tanpa mengetahui sebab dan akibat. Maka peranan pendidik ialah untuk merancang dan mengendalikan  aktiviti yang menyeronojkkan (persis seperti bermain) untuk kanakkanak. Seorang pendidik perlu memahami setiap tahap perkembangan dan tingkahlaku semulajadi kanak-kanak. Pelbagai aktiviti yang dijalankan di TASKA khasnya  secara tidak langsung dapat membantu merangsang perkembangan kanak-kanak secara menyeluruh dan tidak hanya pada aspek-aspek tertentu sahaja. 



Kanak-kanak tidak usah dipaksa melakukan sesuatu yang tidak disukainya misalnya memaksa kanak-kanak belajar membaca terlau awal. Perlu diketahui bahawa kanakkanak adalah individu yang unik. Mereka mempunyai keunikan sendiri sedari lahir lagi dan ia perlu dikembangakan bagi mengenalpasti potensi yang ada pada diri mereka. Setiap kanak-kanak mempunyai potensi diri yang berbeza antara satu sama  lain. Justeru itu pencapaian kanak-kanak dalam apa jua bidang, tidak sama antara satu sama lain. Dengan kata lain, setiap kanak-kanak mempunyai sesuatu potensi unik yang tersendiri dalam dirinya. Potensi itulah yang perlu dicari dan digilap oleh pendidik dan juga ibu bapa serta masyarkat di persekitaran kanak-kanak. 
 

No comments:

Post a Comment