Thursday 6 May 2021

FAHAMILAH TINGKAHLAKU KANAK-KANAK

 


FAHAMILAH TINGKAHLAKU KANAK-KANAK


Terdapat beberapa jenis tingkahlaku@kerenah @ perangai kanak-kanak, yakni seperti berikut;

i.        Kanak-kanak jenis visual

Mereka suka menggambarkan sesuatu yang mereka fahami. Kanak-kanak ini akan menggambarkan sesuatu imej jika dia ingat pada sesuatu perkara. Sukakan gambar yang besar dan cepat merasa bosan jika tiada perancangan. Sebaliknya kanak-kanak visual cepat belajar sesuatu yang baru kerana mereka cepat fokus dan memahami gambaran yang diberikan serta mempunyai banyak idea. Kelemahan kanak-kanak jenis visual ialah mereka cepat rimas dengan perubahan masa, kurang minat membaca sesuatu perincian dan kurang minat mendengar taklimat atau arahan secara terperinci.


Namun, kebanyakan kanak-kanak sangat cepat faham sesuatu menggunakan pendekatan visual atau gambaran ini. Oleh itu, pastikan setiap arahan kita adalah dalam bentuk perkara yang mempunyai gambaran di dalam otak kanak-kanak.

 

ii.       Kanak-kanak jenis Auditori

Kanak-kanak ini akan cepat ingat apa yang didengari satu persatu. Mereka banyak belajar melalui mendengar. Kanak-kanak ini suka bercerita dan bercakap sendiri. Mereka juga mempunyai banyak idea, boleh diajak berbincang dan suka menulis@menconteng serta menghasilkan tulisan kreatif. Kelemahan kanak-kanak jenis Auditori ini ialah mereka suka mengulangi ayat yang sama dan suka mendengar suaranya sendiri serta mudah marah jika ideanya tidak didengari. Mereka juga suka melompat dari satu idea kepada idea yang lain.


iii.      Kanak-kanak jenis Kinestetik

Kanak-kanak jenis ini biasanya suka bercakap dengan perlahan dan memerlukan banyak masa untuk menyesuaikan diri dengan keadaan yang baru. Kanak-kanak ini juga sukakan aktiviti luar yang mencabar dalam keadaan yang selesa.  Mereka banyak belajar melalui pengalaman. Mereka mempunyai kelebihan sukakan kerja berpasukan, pandai menjaga hati dan perasaan orang lain serta pandai menghiburkan dan menyenangkan orang di persekitarannya. Kelemahan kanak-kanank jenis Kinestatik ini pula ialah mereka sangat mudah terasa jika dipinggirkan dan suka mengelak. Mereka sanggup lakukan apa sahaja untuk menjaga hati orang lain dan gemar menarik perhatian orang. Kanak-kanak ini juga sukakan keadaan yang berselerak.

  

iv.      Kanak-kanak jenis Digital

Kanak-kanak jenis ini sukakan butiran secara terperinci tentang sesuatu dan mereka suka berfikir secara mendalam serta menghafal. Kanak-kanak ini suka merasa bermakna bagi orang disekelilinginya. Mereka juga perlukan lebih masa untuk memahami sesuatu maklumat baru. Kelemahannya pula ialah sukar memberi kepercayaan kepada orang yang baru dikenali dan juga perlukan lebih masa untuk membuat keputusan. Mereka perlu diberi ulasan logik supaya mereka lebih faham.

 


No comments:

Post a Comment