Tuesday 12 May 2020

Pengenalan tingkahlaku kanak-kanak

Oleh : Nor Azura Ismail
pnnorazuraismail@gmail.com


Pengenalan Tingkahlaku kanak-kanak

Kanak-kanak yang berumur 0 – 4 tahun mempunyai pelbagai kerenah dan tingkahlaku. Tanpa kepelbagaian tingkahlaku atau kerenah, kanak - kanak belum dikira menghayati dan meneroka sepenuhnya dunia mereka sebagai seorang kanak-kanak. Kebanyakan tingkahlaku dan kerenah kanak-kanak banyak dipengaruhi oleh persekitaran di mana mereka berada atau persekitaran tempat mereka membesar. Seperkara lagi, kebanyakan tingkahlaku kanak-kanak adalah untuk menarik perhatian mereka yang berada di sisinya yakni ibu bapa, orang sekeliling atau pengasuh jika kanak-kanak berada di TASKA.


Ada antara tingkahlaku kanak-kanak merupakan tingkahlaku semuajadi yang telah ada sejak lahir dan ada juga tingkahlaku kanak-kanak dibentuk melalui persekitarannya. Tingkahlaku juga boleh disebabkan oleh faktor baka yang berasal dari kedua ibu bapa kanak-kanak. Tingkahlaku atau kerenah kanak-kanak boleh merangkumi tingkahlaku yang positif@ baik dan tingkahlaku yang negatif. Tingkahlaku yang baik perlu dipupuk dan diberi galakan seterusnya oleh orang dewasa. Manakala tingkahlaku yang negatif memerlukan bimbingan sepenuhnya juga daripada orang dewasa. Tingkahlaku yang negatif perlu diubah secara perlahan-perlahan supaya menjadi tingkahlaku yang lebih positif. 


 Sepertimana di TASKA, tugas dan peranan pengasuh sangat besar dalam mengendalikan tingkahlaku dan kerenah pelbagai kanak-kanak ini. Justeru itu, pengasuh memerlukan ilmu dan kemahiran yang baik dalam mengendalikan dan menanggani setiap tingkahlaku kanakkanak. Seorang pengasuh perlu mengetahui dan memahami tingkahlaku kanak-kanak supaya mudah untuk menguruskan kanakkanak ketika melaksanakan rutin harian dan rutin aktiviti mereka di TASKA.  Dengan mengetahui dan memahami setiap tahap perkembangan kanak-kanak di setiap tahap umur, dapat membantu pengasuh memahami tingkahlaku yang biasa di kalangan kanak-kanak. Apabila seorang pengasuh tahu setiap tahap perkembangan kanakkanak maka pengasuh juga boleh menerima pelbagai kerenah kanakkanak dengan berlapang dada serta rasional dan tahu pula bagaimana untuk mengendalikan kerenah tersebut dengan berkesan. 


Orang dewasa seperti ibu bapa maupun pengasuh di TASKA seringkali rasa stress dan merunggut jika berhadapan dengan masalah kanakkanak yang suka menunjukkan tingkahlaku yang negatif. Disinilah pentingnya mereka perlu menerapkan kepercayaan dan keyakinan bahawa segala tingkahlaku kanak-kanak adalah perkara biasa dan semulajadi bagi seseorang kanak-kanak. Justeru, pengasuh di TASKA khasnya perlu yakin bahawa mereka boleh mengendalikan kanak-kanak dengan cara yang berkesan. Pengasuh mesti berkata di dalam hati bahawa mereka mampu untuk melaksanakan tugas dan peranan mereka sebagai seorang pengasuh di TASKA. Jika pengasuh ingin kanak-kanak mengubah kerenah negatifnya menjadi positif, antara cara yang utama ialah pengasuh dulu mesti mengubah cara dan corak asuhan dan didikannya supaya sesuai dan berkesan. Pengasuh sendiri wajib menjadi contoh ikutan yang baik kepada kanak-kanak yang diasuhnya.


Pengasuh juga perlu tahu bahawa ibu bapa adalah contoh ikutan yang paling baik kepada anak-anaknya sendiri. Ibu bapa adalah model semulajadi kepada anaknya sendiri. Jangan terkejut jika sebahagian dari tingkahlaku yang ditunjukkan oleh kanak-kanak, dipelajarinya dari ibu bapanya sendiri.  Justeru itu, sangatlah penting untuk pengasuh juga perlu selalu menjalinkan komunikasi yang baik dan mengadakan perbincangan berkaitan secara berterusan dan berhemah bersama ibu bapa.


Kanak-kanak sering mempunyai persepsi atau anggapan yang kadangkadang jauh berbeza dari pandangan kita sebagai seorang pengasuh di TASKA. Mungkin kita suka dan kita hendak kanak-kanak banyak terdedah kepada bahan bacaan ringan di TASKA namun bagi kanakkanak pula, mereka lebih suka hanya membelek gambar-gambar yang berwarna- warni. Mendengar bacaan sangat membosankan bagi kanakkanak tetapi seolah suatu kemestian pula bagi kita orang dewasa. Pengasuh sepatutnya mesti cuba duduk di dalam kasut kanak-kanak untuk memahami sesuatu yang disukai atau diperlukan oleh kanakkanak pada satu-satu masa.

Put yourself in their shoes.


Nor Azura Ismail
Jurulatih Pendidikan Awal Kanak-Kanak




No comments:

Post a Comment